GAZA: Perjanjian gencatan senjata yang ditunggu-tunggu selepas hampir lapan bulan perang di Gaza meletus, melibatkan kumpulan Hamas dan Israel, diharap menjadi kenyataan.
Ini setelah Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan ketetapan gencatan senjata Amerika Syarikat pada 11 Jun.
Diplomat tertinggi Washington juga mengharapkan sedemikian, dengan Hamas dan Israel akan menerima tawaran yang diberikan itu.
Rakan sejawatan dari Britain juga mahu menyaksikan pembebasan tebusan oleh Hamas, pemulangan jenazah tebusan yang mati serta pertukaran tahanan Palestin.
Masyarakat sejagat mengharapkan gencatan kali ini lebih kekal berbanding gencatan senjata selama seminggu pada November 2023.
Sebanyak 17 negara mengulangi sokongan mereka terhadap pelan hala tuju baru untuk gencatan senjata di Gaza.
“Kami menyokong penuh daya usaha ke arah gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan yang digariskan Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden.
“Kami menggesa Hamas memuktamadkan perjanjian ini... memulakan proses membebaskan rakyat kami,” kata pemimpin Amerika, Argentina, Austria, Brazil, Bulgaria, Canada, Colombia, Denmark, Perancis, Jerman, Poland, Portugal, Romania, Serbia, Sepanyol, Thailand dan United Kingdom dalam satu kenyataan bersama itu.
Ketetapan baru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berhubung gencatan senjata serta-merta di Gaza turut menggesa pembebasan tanpa syarat semua tebusan dan menghapuskan halangan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan.
Ia dibuat ketika masyarakat sejagat menggesa pemberhentian perang untuk tujuan kemanusiaan, meningkatkan tekanan ke atas Israel supaya menamatkan tempoh lapan bulan pengebomannya ke atas wilayah Palestin.
Dalam keputusannya, Majlis Keselamatan hampir sebulat suara menyokong pelan gencatan senjata tiga fasa itu seperti diumumkan oleh Encik Biden pada 31 Mei.
Keputusan tersebut meningkatkan tekanan terhadap Israel dan Hamas supaya segera menamatkan perang di Gaza.
Israel menerima tekanan hebat daripada sekutu sejagat untuk mencapai gencatan senjata dalam perang yang dikatakan sudah ‘mengheret’ Gaza ke ambang kebuluran, menimbulkan kebimbangan konflik yang lebih meluas.
Peperangan itu juga membawa rakyat Gaza ke ambang kebuluran, manakala PBB dan kumpulan bantuan kemanusiaan berkata tindakan mengurangkan sebahagian besar wilayah itu menimbulkan kebimbangan konflik serantau yang lebih luas.
Selama berbulan-bulan lamanya juga negara pengantara Mesir, Qatar dan Amerika cuba untuk menjadi orang tengah bagi perjanjian baru antara kumpulan itu.
Perbincangan itu mengetengahkan dorongan baru untuk menghentikan pertempuran yang merangkumi prinsip digariskan oleh Amerika untuk gencatan senjata berkekalan.
Mesir, Qatar dan Amerika sudah mencuba untuk menjadi pengantara gencatan senjata baharu kali ini, sejak pertempuran dihentikan selama seminggu pada November 2023 dan menyaksikan 80 tebusan Israel ditukar dengan 240 warga Palestin yang ditahan di penjara Israel.
Prinsip tersebut menggabungkan tuntutan semua pihak dalam satu perjanjian yang memenuhi pelbagai kepentingan dan akan membawa kelegaan segera kepada rakyat Gaza, tawanan dan keluarga mereka yang telah lama menderita.
Negara pengantara itu turut menekankan bahawa “perjanjian itu menawarkan jalan baru untuk gencatan senjata kekal dan menamatkan krisis”.
Encik Biden pada 31 Mei berkata, Israel telah mengemukakan kepada Hamas, satu perjanjian tiga peringkat yang akan menamatkan konflik di Gaza dan memastikan pembebasan tawanan yang ditahan di wilayah berkenaan.
Encik Biden berkata Israel membentangkan perjanjian tiga fasa yang akan menamatkan permusuhan di Gaza dan menjamin pembebasan tebusan yang ditahan di kawasan pinggir pantai.
Pelan itu termasuk gencatan senjata, pertukaran tebusan-banduan dan pembinaan semula Gaza.
Laman web berita Axios, memetik dua pegawai Israel, melaporkan bahawa cadangan terkini Israel termasuk kesediaan untuk membincangkan “pemulihan ketenangan mampan” di Gaza selepas tebusan dibebaskan.
Menurut Axios, Ia adalah kali pertama pemimpin Israel mencadangkan pihaknya terbuka untuk membincangkan penamatan perang.
Sumber Hamas yang rapat dengan rundingan memberitahu agensi berita AFP, kumpulan itu terbuka untuk membincangkan cadangan baru itu secara positif.
Hamas mahu mencapai persetujuan menjamin gencatan senjata kekal, tiada syarat kembalinya orang yang terpaksa berpindah akibat perang itu, perjanjian yang boleh diterima untuk banduan termasuk pertukaran dan memastikan penamatan kepungan di Gaza
Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan, adalah antara pemimpin yang memberitahu bahawa langkah nyata dan tidak boleh diubah ke arah menubuhkan sebuah negara Palestin akan menjadi komponen penting dalam sebarang perjanjian untuk gencatan senjata yang tahan lama.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, adalah penentang tegar kepada kewujudan negara Palestin.
“Adalah salah untuk melihat cadangan ini sebagai lebih daripada satu perhentian,” kata Dr Natan Sachs, Pengarah Pusat Dasar Timur Tengah di Institusi Brookings.
“Paling penting, rancangan ini tidak menjawab persoalan asas siapa yang memerintah Gaza selepas konflik. Ini adalah rancangan gencatan senjata, bukan rancangan selepas satu hari,” kata Dr Sachs.
Menurut laporan media Amerika, pemimpin Hamas dan Israel, yang diketuai oleh Encik Netanyahu, sedang meneliti perjanjian itu bukan sahaja untuk masa depan perang, bahkan masa depan politik mereka sendiri.
Fasa pertama termasuk gencatan senjata penuh dan lengkap yang berlangsung selama enam minggu, dengan tentera Israel berundur dari semua kawasan berpenduduk di Gaza.
Tentera Israel akan berundur sepenuhnya dari Gaza di bawah fasa kedua rancangan itu, yang berlangsung sekitar enam minggu.
Manakala bagi fasa ketiga, pelan pembinaan semula dan penstabilan utama untuk Gaza akan bermula, disokong oleh Amerika dan masyarakat antarabangsa.
Di setiap kem Israel dan Hamas, terdapat tokoh-tokoh berpengaruh yang sanggup memanjangkan peperangan.
Beberapa kumpulan di dalam Hamas yang dikuasai oleh mereka yang masih berada di Gaza, seperti pemimpin tempatan Encik Yahya Sinwar, dikatakan tidak bersetuju dengan sebarang perjanjian yang tidak mewujudkan gencatan senjata kekal.
Encik Osama Hamdan, jurucakap Hamas, berkata kumpulan itu tidak akan meluluskan perjanjian yang tidak bermula dengan janji gencatan senjata kekal.
Ini termasuk peruntukan untuk pengunduran menyeluruh tentera Israel dan “serius dan benar” untuk menukar tebusan yang tinggal dengan lebih banyak tahanan Palestin yang ditahan di Israel.
Di Israel, hanya menyebut “hentikan perang dan pengunduran penuh tentera” telah menyebabkan sekutu sayap kanan Encik Netanyahu mengancam untuk menjatuhkan pemerintahannya.
Brigedier Jeneral (Bersara) dan penyelidik kanan di Institut Kajian Keselamatan Negara Amerika Syarikat, Encik Shlomo Brom, berkata kepada media Amerika bahawa adalah “jelas kepada semua orang bahawa cadangan ini kebanyakannya bersifat politik.”
“Fasa pertama adalah baik untuk Netanyahu, kerana beberapa tebusan akan dibebaskan,” kata Encik Brom.
“Tetapi ia tidak akan sampai ke fasa kedua.
“Seperti sebelum ini, beliau akan mendapati sesuatu yang tidak kena dalam perjanjian itu dan sukar untuk dicapai,” katanya lagi.
Lebih 100 tebusan telah dibebaskan di bawah perjanjian pada November 2023 dan Encik Netanyahu mendakwa Hamas tidak membebaskan semua tebusan wanita yang dijanjikan, manakala Hamas berkata Israel menolak alternatif.
Apabila gencatan senjata tamat, Hamas melancarkan roket ke Israel. Sejak itu, perang berterusan tanpa henti.
Encik Biden, yang membentangkan rancangan itu dari Rumah Putih pada pertengahan Jun, mempunyai pertimbangan politiknya sendiri untuk membuat Israel dan Hamas bersetuju.
Beliau jelas mahu menghentikan perang Gaza sebelum pilihan raya presiden pada bulan November, kata Encik Aaron David Miller, pakar Timur Tengah di Carnegie Endowment, sambil menambah:
“Satu-satunya pihak yang benar-benar tergesa-gesa ialah Biden.”
Penganalisis berkata Encik Netanyahu enggan memutuskan siapa yang akan mentadbir Gaza, jika bukan Hamas.
“Kita boleh menghalang Hamas daripada memerintah Gaza, tetapi siapa yang akan menggantikan mereka?” kata Encik Brom. – Agensi berita.
“
Adalah salah untuk melihat cadangan ini sebagai lebih daripada satu perhentian. Paling penting, rancangan ini tidak menjawab persoalan asas siapa yang memerintah Gaza selepas konflik. Ini adalah rancangan gencatan senjata, bukan rancangan selepas satu hari.“
Fasa pertama adalah baik untuk Netanyahu, kerana beberapa tebusan akan dibebaskan. Tetapi ia tidak akan sampai ke fasa kedua. Seperti sebelum ini, beliau akan mendapati sesuatu yang tidak kena dalam perjanjian itu dan sukar untuk dicapai.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg