NEW YORK: Kemenangan Zohran Mamdani sebagai Datuk Bandar New York bukan satu-satunya kisah kejayaan wakil Muslim dan minoriti etnik dalam pilihan raya di seluruh Amerika Syarikat minggu ini.
Beberapa calon lain turut mencipta sejarah pada 4 November dengan kemenangan yang memperlihatkan perubahan landskap politik negara itu.
Antara tokoh yang mencuri perhatian ialah Cik Ghazala Hashmi, seorang pendidik dan pentadbir akademik dari Virginia, yang mencipta sejarah apabila menjadi wanita Muslim serta rakyat Amerika berketurunan India pertama dipilih ke jawatan peringkat negeri di Amerika Syarikat.
Ini selepas beliau menewaskan calon Republikan dalam persaingan bagi jawatan Timbalan Gabenor.
Cik Hashmi, 61 tahun, yang berasal dari Hyderabad di India, berhijrah ke Amerika Syarikat ketika masih bayi pada tahun 1969.
Beliau merupakan graduan Universiti Georgia Southern dan memiliki ijazah kedoktoran (PhD) dari Universiti Emory.
Dalam ucapan kemenangannya, beliau menekankan bahawa kejayaan itu membuktikan kekuatan peluang di Amerika.
“Kemenangan ini tercapai kerana luasnya peluang yang wujud di negara dan negeri ini,” kata Cik Hashmi. “Ia menunjukkan bahawa suara imigran dan komuniti pelbagai latar belakang kini mendapat tempat dalam sistem politik kita.”
Kerjaya politik Cik Hashmi bermula pada 2019 apabila beliau menewaskan calon Republikan Encik Glen Sturtevant untuk kerusi Senat Negeri Virginia menjadikannya wanita Muslim pertama menyertai dewan tersebut.
Beliau kemudian dipilih semula pada 2023 selepas menewaskan calon Republikan lain, Encik John Reid.
Dalam wawancara pada 2020, Cik Hashmi menjelaskan sebab beliau terjun ke dunia politik adalah kerana layanan tidak adil terhadap komuniti Muslim semasa pentadbiran Donald Trump. “Kita mempunyai ramai individu daripada komuniti imigran dan pelarian yang cuba mencari tempat dalam negara ini. Tetapi retorik dan dasar yang dilaksanakan waktu itu hanya memecahbelahkan masyarakat. Saya merasakan perlu tampil ke hadapan dan bersuara secara terbuka,” katanya.
Di Minneapolis, seorang lagi calon Muslim turut mencuri perhatian, Encik Omar Fateh, ahli politik muda berketurunan Somalia-Amerika yang kini berkhidmat sebagai senator negeri. Beliau terpaksa menunggu pusingan kedua selepas tiada calon mencapai majoriti mutlak.
Dalam keputusan awal, Datuk Bandar sedia ada dari Parti Demokrat, Encik Jacob Frey, mendahului dengan 41.7 peratus undi, manakala Encik Fateh di tempat kedua dengan jurang kira-kira 10 peratus.
Walaupun ketinggalan, kempen Encik Fateh dianggap memberi kesan besar kerana menekankan isu keadilan sosial dan kebajikan komuniti imigran yang semakin berpengaruh di Minneapolis.
“Kami sedang membina gerakan, bukan sekadar kempen,” katanya kepada penyokong selepas keputusan diumumkan. “Suara masyarakat pekerja, Muslim, dan imigran tidak boleh diketepikan lagi.”
Encik Fateh mencipta sejarah pada 2021 sebagai ahli Senat Minnesota pertama berketurunan Somalia dan Muslim. Seperti Encik Mamdani, beliau ialah seorang demokrat sosialis yang memperjuangkan cukai lebih tinggi bagi golongan kaya serta perumahan mampu milik.
Parti Demokrat–Farmer–Labor Minnesota telah menyatakan sokongan rasmi terhadap pencalonannya sejak Julai lalu, manakala Ahli Kongres Ilhan Omar turut tampil berkempen bersamanya di lapangan, menandakan solidariti kukuh dalam kalangan pemimpin progresif Muslim di negeri itu.
Sementara itu di Dearborn, Michigan, Datuk Bandar sedia ada Encik Abdullah Hammoud berjaya mengekalkan kedudukannya selepas meraih kemenangan besar bagi penggal kedua.
Anak kepada pasangan imigran Lebanon itu memperoleh 73 peratus undi, jauh meninggalkan pencabarnya, Encik Nagi Almudhegi.
Encik Hammoud, yang mula memegang jawatan Datuk Bandar pada Januari 2022, dikenali kerana tumpuannya terhadap isu alam sekitar, penjagaan kesihatan dan keadilan sosial.
Sebelum itu, beliau pernah menjadi ahli Dewan Perwakilan Michigan pada 2017, menewaskan calon Republikan Encik Terrance Gerin.
“Mandat rakyat kali ini jelas, kami akan terus berkhidmat dengan komitmen terhadap keadilan dan kemakmuran untuk semua penduduk Dearborn,” kata Encik Hammoud dalam ucapannya.
Dalam bandar bersebelahan, Dearborn Heights, seorang lagi tokoh Arab-Amerika turut mencapai kemenangan besar.
Encik Mo Baydoun menewaskan ahli majlis bandaran Denise Malinowski-Maxwell dengan 68 peratus undi.
Encik Baydoun sebelum ini bertugas sebagai Datuk Bandar sementara selepas Encik Bill Bazzi dilantik oleh Encik Trump sebagai Duta ke Tunisia pada Oktober.
Pemerhati politik melihat kemenangan tokoh-tokoh seperti Cik Hashmi, Encik Mamdani, Encik Hammoud dan Encik Baydoun memperlihatkan kebangkitan generasi baru politik Muslim dan minoriti di Amerika yang semakin diterima dalam arus perdana politik negara itu. Seperti ditegaskan oleh Cik Hashmi, “Setiap kemenangan ini membuktikan bahawa suara imigran dan rakyat pelbagai latar belakang bukan sahaja didengar, tetapi kini turut membentuk masa depan negara ini.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg