Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemenangan Mamdani jadi tumpuan dunia

Nov 6, 2025 | 12:02 PM
Datuk Bandar New York terpilih, Zohran Mamdani (tengah), berdiri bersama ahli pasukan peralihan kuasanya, (dari kiri ke kanan) Pengerusi Bersama Peralihan Melanie Hartzog; Maria Torres-Springer; Grace Bonilla dan Lina Khan, ketika beliau berucap pada sidang media di Unisphere, Flushing Meadows Corona Park pada 5 November 2025 di daerah Queens, New York City. Mamdani meraih kemenangan bersejarah sebagai Datuk Bandar ke-111 kota itu selepas menewaskan calon bebas Andrew Cuomo dan calon Republikan Curtis Sliwa.
Datuk Bandar New York terpilih, Zohran Mamdani (tengah), berdiri bersama ahli pasukan peralihan kuasanya, (dari kiri ke kanan) Pengerusi Bersama Peralihan Melanie Hartzog; Maria Torres-Springer; Grace Bonilla dan Lina Khan, ketika beliau berucap pada sidang media di Unisphere, Flushing Meadows Corona Park pada 5 November 2025 di daerah Queens, New York City. Mamdani meraih kemenangan bersejarah sebagai Datuk Bandar ke-111 kota itu selepas menewaskan calon bebas Andrew Cuomo dan calon Republikan Curtis Sliwa. - Foto AFP

NEW YORK: Kemenangan luar biasa Zohran Mamdani sebagai Datuk Bandar Muslim pertama New York bukan sahaja mencipta sejarah di Amerika Syarikat, malah turut mendapat perhatian di seluruh dunia dari Queens hingga New Delhi, Istanbul, Kiev dan Dakar.

Hanya beberapa jam selepas keputusan diumumkan, berita kemenangan anak imigran berusia 34 tahun itu tersebar luas, menyentuh hati ramai yang melihat cerminan diri mereka dalam sosok pemimpin muda yang progresif, dekat dengan rakyat, dan bangga membawa identiti Muslimnya.

Di New Delhi, golongan muda yang mengenali Encik Mamdani melalui klip media sosialnya yang kerap mengaitkan mesej politik dengan filem-filem Bollywood meluahkan rasa bangga dan berharap beliau akan mengadakan lawatan rasmi ke tanah asal keluarganya. “Beliau seperti jambatan antara dua dunia membawa semangat India, tapi berjiwa global,” kata Rishabh Sharma, 25 tahun, pelajar universiti di Delhi.

Sementara itu di Istanbul, wanita kelas menengah muda terpesona dengan gaya Encik Mamdani dan isterinya, Cik Rama Duwaji, yang sering dilihat sebagai simbol Muslim bandar kosmopolitan. “Cara mereka berpandangan antara satu sama lain menggambarkan kasih yang tulus dan hubungan yang begitu jujur,” tulis pengguna Instagram Turkey, Cik Aylin Koc, yang menyifatkan pasangan itu sebagai “ikon Muslim moden dunia.”

Di Dakar, Senegal, Profesor Diome Faye mula menyiapkan kuliah bertajuk Impian Amerika Baru memuji kebangkitan seorang imigran muda di sebuah negara yang semakin tertutup terhadap pendatang. “Saya mahu pelajar saya faham bahawa impian Amerika masih hidup kehidupan, kebebasan, dan kebahagiaan masih mungkin,” katanya.

Walaupun tidak sebesar fenomena Barack Obama pada 2008, kemenangan Encik Mamdani tetap memberi inspirasi kepada ramai, terutamanya generasi muda yang menentang korupsi dan ketidaksamarataan di negara masing-masing.

“Golongan yang melihat diri mereka dalam sosok Mamdani ialah generasi muda yang kini menggerakkan perubahan politik di negara-negara dunia selatan, mereka mungkin kecewa dan letih dengan korupsi, namun tetap percaya bahawa masa depan boleh dibentuk dengan usaha sendiri,” kata Encik William Shoki, penulis dari Afrika Selatan.

Seperti Obama, Encik Mamdani juga seorang warga dunia. Beliau dilahirkan di Uganda sebelum berhijrah ke New York bersama keluarganya dan memperoleh kewarganegaraan pada 2018. Beliau kini memegang dua kewarganegaraan - Amerika Syarikat dan Uganda.

Kempen beliau tidak menonjolkan politik identiti. Sebaliknya, beliau menumpukan kepada isu “kemampuan hidup” di New York - kos sara hidup, sewa rumah, dan pengangkutan awam. Namun di luar negara, identitinya sering dijadikan bahan politik.

Di India, kenyataannya yang pernah menyebut Perdana Menteri Narendra Modi sebagai “penjenayah perang” telah menimbulkan kemarahan kumpulan sayap kanan Hindu. Seorang ahli parlimen India menuduh Mamdani “berniat menghapuskan agama Hindu.”

Sementara itu, akhbar Haaretz di Israel memetik seorang utusan yang mendakwa Encik Mamdani sebagai “ancaman jelas terhadap komuniti Yahudi New York.” Dalam ucapan kemenangannya, Encik Mamdani menegaskan, “Pentadbiran saya akan berdiri teguh bersama komuniti Yahudi dan tidak akan berkompromi dalam memerangi antisemitisme.”

Beberapa tokoh media Eropah Timur melabel Mamdani sebagai “komunis baru.” Encik Yuriy Lukanov, seorang tokoh awam Ukraine, menulis di Facebook: “Kita pernah hidup dalam zaman di mana bukan hanya harga dikawal, tetapi juga pemikiran manusia. Kini racun itu menular ke Amerika.”

Namun di Berlin, wartawan menegaskan bahawa dasar sosialis demokratik Encik Mamdani seperti kawalan sewa dan pengangkutan awam percuma sebenarnya sudah menjadi arus perdana di banyak bandar Eropah.

Media Italy pula kagum bagaimana seorang Muslim sosialis berjaya dipilih di kota kelahiran Wall Street, manakala akhbar Perancis berhaluan kiri meraikannya sebagai kemenangan progresif, dan media kanan pula menuduhnya simbol “kebangkitan kiri Islamik.”
Di Kiev, peguam muda Encik Vitaliy Dudin menulis, “Karisma Mamdani mengingatkan saya kepada Zelensky. Kini Amerika semakin mirip Ukraine, muda, berani, dan berjiwa rakyat.”

Bagi ramai anak muda di seluruh dunia, kemenangan Mamdani menjadi simbol kebangkitan generasi baru yang menuntut keadilan dan peluang. “Isu-isu yang beliau perjuangkan rumah mampu milik, tambang murah, dan keadilan sosial dekat dengan hidup kami,” kata Encik Utsav Guhathakurta, pemuzik dari Kolkata.

Di Nepal, pemimpin gerakan Gen Z, Sunil Phuyal, berkata, “Amerika lebih baik di bawah pemimpin seperti ini. Rakyat New York bertuah.”

Sementara di Kampala, Uganda, tempat Encik Mamdani membesar, penduduk turut berbangga. “Melihat Mamdani memperjuangkan peluang untuk belia di Amerika memberi inspirasi kepada kami di Uganda untuk menuntut perkara sama,” kata Encik Gerald Norman Katongole, 29 tahun.

Namun, tidak semua menyambut kemenangan ini dengan tangan terbuka. Presiden Amerika Syarikar Encik Donald Trump mendakwa Amerika telah “kehilangan kedaulatan” selepas rakyat New York memilih “komunis muda.”

“Kita akan tangani perkara ini,” katanya dalam ucapan di Miami, sambil menuduh New York bakal menjadi “kota pelarian dari komunisme.” Encik Trump turut mendakwa pilihan rakyat kini antara “komunisme dan kewarasan.”

Dalam ucapannya di Brooklyn, Encik Mamdani memberi jawapan sinis: “Jika ada sesiapa yang mahu tahu bagaimana menewaskan pengkhianatan Donald Trump, lihatlah kepada kota yang melahirkannya dan kini menolak legasinya.”

Kemenangan Encik Mamdani, bersama kejayaan Parti Demokrat di Virginia dan New Jersey, menandakan perubahan mood politik menjelang pilihan raya pertengahan penggal 2026. Di California, pengundi juga meluluskan cadangan untuk melukis semula sempadan pilihan raya bagi menentang taktik gerrymandering (memanipulasi sempadan kawasan pilihan raya) yang dikaitkan dengan Encik Trump.

Bagi ramai penduduk Muslim New York, kemenangan itu membawa makna emosi yang mendalam. “Umat Islam sudah lama bergelut dan menjadi mangsa diskriminasi di Amerika sejak peristiwa 11 September. Jadi apabila seorang Muslim menjadi datuk bandar bagi kota raya yang dahulunya yang menyalahkan Muslim atas pelbagai jenayah dan keganasan, ia sesuatu yang luar biasa,” kata Encik Zamzani Ali, yang tinggal di Brookln. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg