JAKARTA: Sebulan sejak memegang jawatan Naib Presiden Indonesia, Encik Gibran Rakabuming Raka telah menjalankan tanggungjawabnya secara aktif.
Beliau terlibat dalam mengagihkan makanan tengah hari percuma kepada murid sekolah, melawat masyarakat yang terjejas dalam bencana alam, dan menubuhkan saluran khas untuk orang awam berhubung terus dengannya.
Pendekatan proaktif itu berbeza dengan persepsi tradisional terhadap jawatan Naib Presiden yang seringkali dilihat sebagai ‘tayar simpanan’, iaitu peranan pembantu dengan pengaruh atau tanggungjawab yang terhad.
Dengan menjalankan inisiatif sebegitu, Encik Gibran, anak mantan Presiden, Encik Joko Widodo, kelihatan seperti sedang cuba memperluas serta merombak takrif dan skop jawatan tersebut, menjadi satu jawatan yang bukan sahaja dinamik, bahkan bermanfaat buat rakyat.
Meskipun terlalu awal untuk meramal rancangan politik Naib Presiden berusia 37 tahun itu, beliau telah memulakan tugas dengan penuh semangat.
Hanya tiga hari selepas dilantik, media tempatan melaporkan bahawa Encik Gibran pada 23 Oktober telah meninjau program percubaan makanan tengah hari berkhasiat percuma pemerintah di sebuah sekolah menengah awam di Jakarta.
Beliau turut membuat tinjauan ke atas program itu di sekolah-sekolah serata kepulauan Indonesia, lapor The Straits Times (ST).
Pada 10 November, Naib Presiden itu menarik perhatian ramai apabila mengumumkan melalui wadah Instagramnya bahawa satu kaunter aduan fizikal telah disediakan di Istana Naib Presiden di Jakarta Pusat.
Kaunter aduan, yang dikendalikan oleh kakitangan pemerintah, akan dibuka dari 8 pagi hingga 2 petang, pada hari bekerja.
Ia juga menyediakan pilihan aduan dalam talian, melalui aplikasi WhatsApp.
Dengan nama singkatan ‘Lapor Mas Wapres’, atau Laporan kepada Naib Presiden, program itu sudah menerima 55 aduan fizikal pada hari pertama ia beroperasi pada 11 November.
Encik Gibran turut melawat kawasan Nusa Tenggara Timur pada 14 November.
Beliau dilihat memberi kata-kata semangat kepada mangsa letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki yang berada di pusat pemindahan, dengan memberi jaminan bahawa kebajikan mereka akan dijaga dengan baik.
Pendekatan aktif Encik Gibran mirip gaya kepimpinan bapanya, kata Dr Irman G. Lanti dari Universiti Padjadjaran, di Bandung.
“Nampaknya beliau belajar daripada gaya blusukan bapanya dan mahu kelihatan seperti meneruskan pendekatan Encik Jokowi,” kata Dr Irman.
Blusukan merujuk kepada lawatan mengejut atau tanpa pengumuman awal, amalan yang sering dilakukan mantan Presiden yang lebih dikenali sebagai Encik Jokowi itu.
Encik Jokowi juga pernah menubuhkan kaunter aduan semasa menjadi Gabenor Jakarta dari 2012 hingga 2014.
“Sebagai seseorang yang lebih muda, Encik Gibran jelas mempunyai lebih tenaga berbanding naib presiden sebelumnya, Encik Ma’ruf Amin, yang jauh lebih berusia daripadanya,” tambah Dr Irman.
Kegiatan terkini Encik Gibran menerima reaksi bercampur baur daripada rakyat Indonesia.
Sebahagian rakyat seperti pemandu teksi motosikal, Encik Fathoni Rahman, memuji daya usaha Lapor Mas Wapres yang diperkenalkan Encik Gibran.
Encik Fathoni mengunjungi kaunter aduan untuk memohon agar dapat dirawat di hospital yang lebih dekat dengan rumahnya.
Beliau memberitahu wadah media tempatan, Kompas, bahawa beliau dilayan dengan baik oleh kakitangan di sana, yang turut membantunya sepanjang proses permohonan dilakukan.
Namun, beliau tidak memperincikan tindakan lanjut terhadap permohonannya.
Di media sosial, sebahagian netizen pula melihat inisiatif kaunter aduan – yang turut dilaksanakan oleh Encik Gibran semasa menjadi Mayor Solo – sebagai tanda beliau kurang berpengalaman menjalankan tugas barunya sebagai Naib Presiden.
Seorang pengguna Instagram berkata keperluan menyediakan kaunter aduan menunjukkan bahawa Encik Gibran belum memahami pengurusan pemerintah di peringkat nasional.
Namun, pengguna media sosial lain tampil mempertahankan Encik Gibran.
“Mengapa masih ada yang memberi komen negatif? Ramai kenalan saya pernah bercerita (mengenai keberkesanan inisiatif itu) – malah bantuan telah diberikan untuk masalah yang lebih rumit,” kata seorang penyokong inisiatif itu.
Berbeza dengan Encik Gibran, sejak sebulan peralihan kepimpinan negara, Presiden Prabowo Subianto, telah meluangkan sebahagian besar masanya di luar negara – termasuk mengunjungi China dan Amerika Syarikat, serta menghadiri sidang puncak antarabangsa.
Pengamat memberitahu ST bahawa meskipun Encik Gibran aktif menjalankan pelbagai daya usaha di dalam negara, sementara Encik Prabowo lebih banyak berada di luar negara pada tempoh awal tersebut, Presiden Indonesia itu tetap merupakan figura utama.
Menurut Zamil Kanan dan Penyelaras Bersama Program Kajian Indonesia di Pengajian Asia Tenggara (Iseas)-Institut Yusof Ishak, Cik Julia Lau, Encik Prabowo mengambil tindakan yang bermakna apabila beliau mengingatkan menterinya sebelum memulakan lawatan pertama ke luar negara, bahawa mereka boleh terus menghubunginya jika terdapat isu mendesak untuk dibincangkan.
Pada 13 November, Sekretariat Presiden memuat naik sebuah video menunjukkan Encik Prabowo menghadiri mesyuarat dalam talian dari Amerika bersama anggota Kabinetnya untuk membincangkan situasi mendesak di Nusa Tenggara Timur yang terjejas dengan letusan gunung berapi.
Ketika ditanya sama ada kegiatan Encik Gibran mencerminkan hala tuju politik yang diinginkannya, Cik Lau berkata masih terlalu awal membuat sebarang kesimpulan.
Beliau menambah bahawa dalam konteks Indonesia, peranan Naib Presiden mirip pewaris takhta, iaitu individu tersebut akan mengambil alih jika berlaku sesuatu kepada Presiden.
“Dalam bulan pertama ini, masih terlalu awal menilai apakah rancangan peribadi Encik Gibran – jika ada – tentang ciri Naib Presiden yang ingin beliau tonjolkan.
“Beliau juga mengorak langkah secara berhati-hati kerana Presiden (Prabowo) mempunyai rangkaian penyokong setia yang kuat, dan reputasi Encik Gibran sendiri boleh berubah dalam sekelip mata,” jelas Cik Lau.
Terdapat kejadian baru-baru ini yang menunjukkan betapa cepatnya rakyat Indonesia boleh mengubah pendirian mereka, serta memberi tindak balas yang tegas kepada sesuatu yang tidak sejajar dengan kemahuan mereka.
Cik Lau memberi contoh tentang bantahan awam pada Ogos, apabila rakyat memberi tekanan ke atas pemerintah sehingga ahli politik elit terpaksa akur dan menghentikan Rang Undang-Undang di Parlimen yang mengundang kontroversi.
Di bawah ‘undang-undang’ tersebut, calon dalam pilihan raya serantau November boleh dikecualikan daripada bertanding jika tidak disokong oleh Presiden negara.
Felow penyelidik di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Dr Adhi Priamarizki, percaya hubungan dinamik antara Encik Prabowo dengan Encik Gibran akan terungkai dengan masa.
Menurut Dr Adhi, identiti politik Naib Presiden itu terikat dengan warisan dan karisma bapanya.
Justeru, tidak pelik jika Encik Gibran mahu mengambil alih beberapa inisiatif untuk membina identiti politiknya sendiri.
“Memang wajar jika Encik Gibran (berasa beliau) perlu membina identiti uniknya sendiri dengan memperkenalkan beberapa program.
“Strategi sebegini secara realiti dapat membantu Encik Gibran membina modal politiknya sendiri, sambil pada masa yang sama meraih manfaat daripada warisan dan karisma bapanya,” tambah Dr Adhi.
“
“Dalam bulan pertama ini, masih terlalu awal menilai apakah rancangan peribadi Encik Gibran (Rakabuming Raka) – jika ada – tentang ciri Naib Presiden yang ingin beliau tonjolkan. Beliau juga mengorak langkah secara berhati-hati kerana Presiden (Prabowo Subianto) mempunyai rangkaian penyokong setia yang kuat, dan reputasi Encik Gibran sendiri boleh berubah dalam sekelip mata.”“
“Memang wajar jika Encik Gibran (berasa beliau) perlu membina identiti uniknya sendiri dengan memperkenalkan beberapa program. Strategi sebegini secara realiti dapat membantu Encik Gibran membina modal politiknya sendiri, sambil pada masa yang sama meraih manfaat daripada warisan dan karisma bapanya (mantan Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo).”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg