JAKARTA: Ketua Umum Parti Solidariti Indonesia (PSI), Kaesang Pangarep, telah muncul di podcast peribadinya. Ini membawa kepada desakan daripada netizen agar anak bongsu Presiden Joko “Jokowi” Widodo memberikan penjelasan berhubung jet peribadi yang beliau dan isterinya, Erina Gudono gunakan untuk perjalanan ke Amerika Syarikat pada penghujung Ogos.
Akaun YouTube @Kaesang memuat naik video pada 6 September 2024, menampilkan Encik Verrell Bramasta, seorang ahli politik dari Parti Amanat Nasional dan seorang selebriti terkenal, sebagai tetamu.
Podcast itu membincangkan keputusan Encik Verrell untuk menceburi politik dan memuatkan pelbagai jenaka ringan daripada hos Fatih Andika alias Ate dan Kiky Saputri.
Bagaimanapun, ruangan komen podcast itu dipenuhi dengan soalan netizen mengenai dakwaan ganjaran yang dinikmati oleh Encik Kaesang itu. Ada yang meluahkan kekecewaan dan menuntut penjelasan mengenainya.
Ada yang mengejek keberanian Encik Kaesang untuk terus muncul di podcast sambil menghadapi reaksi orang ramai berhubung penggunaan jet peribadi yang dikatakan disediakan pemilik Shopee, Gang Ye.
Seperti yang dilaporkan secara meluas, Encik Kaesang telah hilang kelayakan daripada bertanding dalam pilihan raya wilayah kerana Keputusan Mahkamah Perlembagaan yang menganggapnya terlalu muda, hanya berusia 29 tahun, untuk memenuhi syarat umur sekurang-kurangnya 30 tahun bagi calon ketua wilayah.
Kumpulan awam dan pelajar di pelbagai bandar di Indonesia mengadakan bantahan terhadap percubaan ini, mengesyaki ia bertujuan untuk membenarkan Encik Kaesang untuk bertanding jawatan gabenor.
Pasangan itu pergi ke Amerika untuk Cik Erina melanjutkan pengajian peringkat Sarjana di Fakulti Dasar dan Amalan Sosial Universiti Pennsylvania.
Sehingga kini, Kaesang mahupun PSI tidak mengeluarkan kenyataan berhubung kontroversi jet peribadi itu. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg