JAKARTA: Kelayakan pendidikan Naib Presiden Indonesia, Encik Gibran Rakabuming Raka, ketika bertanding dalam pilihan raya presiden 2024 kini dipersoalkan di Mahkamah Konstitusi (MK), hampir dua tahun selepas beliau dilantik memegang jawatan itu.

Sekumpulan 12 pemohon, termasuk mantan Timbalan Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia, Encik Denny Indrayana, meminta mahkamah meneliti sama ada Encik Gibran memenuhi syarat pendidikan minimum untuk menjadi calon naib presiden.

Undang-undang pilihan raya Indonesia menetapkan calon presiden dan naib presiden perlu sekurang-kurangnya tamat sekolah menengah atas (SMA), sekolah menengah kejuruan (SMK) atau pendidikan lain yang setaraf.

Dalam sidang pemeriksaan awal pada 21 September, pemohon berhujah syarat itu wajib dipenuhi ketika seseorang mendaftar dan ditetapkan sebagai calon, dan tidak boleh dianggap selesai hanya kerana calon berkenaan kemudian memenangi pilihan raya dan dilantik.

Pertikaian itu tertumpu kepada pendidikan Encik Gibran di luar negara sebelum beliau melanjutkan pengajian tinggi.

Menurut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU), Encik Gibran pernah belajar di Sekolah Menengah Orchid Park di Singapura sebelum meneruskan pendidikan di UTS Insearch, yang berafiliasi dengan Universiti Teknologi Sydney di Australia.

Kementerian Pendidikan Indonesia pada 2019 mengeluarkan surat penyetaraan yang menyatakan pendidikan Encik Gibran dinilai setaraf dengan lulusan SMK di Indonesia.

Pemohon bagaimanapun mempersoalkan dokumen yang digunakan sebagai asas untuk mengeluarkan surat penyetaraan itu.

Mereka mendakwa dokumen seperti ijazah, sijil atau diploma yang menyokong penilaian tersebut belum didedahkan sepenuhnya. Dakwaan itu belum diputuskan mahkamah.

Mereka turut mempertikaikan Peraturan KPU No. 19 Tahun 2023 yang memberi pengecualian tertentu kepada calon yang mendapat pendidikan di luar negara dan mempunyai bukti kelulusan pengajian tinggi daripada mengemukakan bukti tamat sekolah menengah atas.

Menurut pemohon, pengecualian sedemikian tidak terdapat dalam peraturan bagi pilihan raya presiden 2009, 2014 dan 2019.

Mereka berhujah memiliki kelulusan universiti tidak dengan sendirinya menggugurkan syarat bahawa seseorang calon mesti memenuhi kelayakan minimum sekolah menengah atas atau yang setaraf.

Hakim MK, Encik Saldi Isra, meminta KPU mengemukakan rekod dan dokumen berkaitan proses penyediaan Peraturan KPU No. 19 Tahun 2023, khususnya peruntukan mengenai calon yang mendapat pendidikan di luar negara.

Mahkamah juga meminta Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) menjelaskan bagaimana kelayakan pendidikan Encik Gibran diperiksa ketika pencalonannya.

KPU pula menyatakan ia menghormati proses mahkamah dan akan mengemukakan dokumen berkaitan dalam prosiding seterusnya.

Pertikaian itu mempunyai implikasi besar kerana Encik Gibran bertanding sebagai calon naib presiden bersama Encik Prabowo Subianto pada 2024. Pasangan itu memenangi pilihan raya sebelum dilantik sebagai Presiden dan Naib Presiden pada 20 Oktober 2024.

Pemohon meminta mahkamah mengisytiharkan penetapan Encik Gibran sebagai calon naib presiden tidak sah jika mahkamah mendapati beliau tidak memenuhi syarat pendidikan ketika pencalonan.

Mereka turut meminta keputusan KPU berkaitan pencalonannya dibatalkan dan pelantikannya sebagai naib presiden dibatalkan.

Mereka mahu Majelis Permusyawaratan Rakyat (MPR) memilih naib presiden daripada dua calon yang dikemukakan Presiden, selaras dengan proses yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Encik Denny menegaskan permohonan itu, dari sudut hujah pemohon, bukan proses pemecatan naib presiden tetapi pertikaian mengenai kesahan pencalonannya sejak awal.

Satu lagi persoalan penting ialah tempoh masa permohonan itu dikemukakan.

Pertikaian keputusan pilihan raya presiden lazimnya perlu difailkan dalam tempoh tiga hari selepas keputusan ditetapkan KPU. Pemohon mengakui permohonan mereka dibuat jauh selepas tempoh tersebut, tetapi berhujah maklumat yang menjadi asas cabaran hanya diperoleh kemudian.

Permohonan itu difailkan pada 10 September dan didaftarkan MK pada 17 September sebagai kes No. 01/PHPU.PRES-XXIV/2026.

Mahkamah setakat ini belum memutuskan sama ada permohonan yang difailkan selepas tamat tempoh itu boleh diterima untuk dibicarakan.

Mahkamah juga belum membuat sebarang keputusan mengenai dakwaan bahawa Encik Gibran tidak memenuhi syarat kelayakan pendidikan.

Sidang seterusnya dijadualkan pada 23 September, dengan KPU dijangka memberikan jawapan, manakala Bawaslu dan pihak berkaitan akan mengemukakan keterangan masing-masing. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti