ANTALYA (Turkey): Singapura sedang bersedia untuk mengalihkan ekonominya daripada berasaskan bahan api fosil kepada ekonomi lebih hijau, namun akan melakukannya dengan cara yang diurus secara teliti.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, berkata ini bertujuan agar ia dapat kekal berdaya saing dari segi ekonomi walaupun ia sedang melakukan “perkara betul buat dunia dan generasi akan datang kita”.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan negara Singapura di Sidang Puncak Rundingan Iklim ke-31 (COP31) anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bandar Antalya, Turkey, pada 17 November.

Sidang puncak selama dua minggu itu, yang dijadualkan berakhir pada 20 November digelar sebagai ‘COP pelaksanaan’ kerana tumpuannya lebih kepada dalam menterjemahkan ikrar kepada tindakan konkrit.

Beliau berkata: “Fasa kerjasama iklim global yang seterusnya mesti memberi penekanan lebih besar kepada pelaksanaan. Ia memerlukan kita untuk kurang menumpukan pada pengisytiharan semata-mata, dan lebih kepada kerja-kerja praktikal dalam penyampaian.”

Dalam ucapannya, Cik Fu turut memperincikan rancangan Singapura untuk mengurangkan pelepasan karbon dan melindungi rakyatnya daripada kesan iklim, di samping mengambil langkah untuk membantu sektor berintensifkan pelepasan untuk membangunkan model perniagaan baharu.

Sebagai contoh, Singapura merancang mengubah kawasan perindustrian Pulau Jurong menjadi taman tenaga dan bahan kimia mampan, dengan meningkatkan pengeluaran produk mampan seperti biobahan api dan meningkatkan kecekapan tenaga kilangnya.

Bagaimana negara dunia boleh menghijaukan ekonomi mereka tanpa merugikan pekerja dalam sektor bahan api fosil, atau menyebabkan kos sara hidup lebih tinggi bagi golongan berpendapatan rendah, merupakan tumpuan utama dalam rundingan tahun ini (2026).

“Kami berusaha memaksimumkan transformasi sektor dan usaha penyahkarbon, walaupun kami memastikan keutamaan strategik dan pertumbuhan kami terjamin,” kata Cik Fu.

Beliau juga mengetengahkan pelbagai usaha yang telah Singapura rintis untuk membantu negara yang kurang bernasib baik dalam tenaga boleh diperbaharui.

Singapura kini bergantung kepada gas asli, sejenis bahan api fosil, bagi 95 peratus keperluan tenaganya.

Namun, Cik Fu berkata negara ini merancang mengurangkan pergantungan ini dengan mengimport elektrik rendah karbon dan meneroka pelbagai sumber tenaga rendah karbon.

Ia juga sedang mengkaji potensi penggunaan tenaga nuklear dan tenaga geotermal.

Meskipun Singapura mengambil langkah untuk melakukan lebih banyak lagi bagi tindakan iklim di dalam negara, ia juga mengiktiraf kepentingan kerjasama antarabangsa, kata Cik Fu.

Pada 17 November, Singapura berikrar menyumbang sebanyak AS$500,000 ($644,000) kepada dana yang diperlukan negara-negara pulau kecil di Pasifik untuk mengukuhkan ketahanan mereka terhadap perubahan iklim dan bencana alam.

Menyentuh kerjasama serantau, Cik Fu berkata apabila Singapura memegang jawatan Pengerusi Asean pada 2027, ia akan menjadi peluang yang tepat pada masanya untuk bekerjasama dengan blok tersebut dalam inisiatif yang boleh membantu mempromosikan tindakan iklim.

Salah satu daripadanya ialah grid kuasa Asean, yang akan membolehkan negara di rantau ini berdagang tenaga elektrik secara bebas antara satu sama lain.

Menangani jerebu merentas sempadan adalah satu lagi isu yang ingin diusahakan Singapura bersama jiran-jirannya di Asean.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti