Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Grace Fu: Risiko iklim memuncak, COP30 mesti bertindak

Nov 18, 2025 | 4:04 PM
Grace Fu, Persidangan Iklim ke-30 (COP30), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Brazil
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, menyampaikan kenyataan Singapura semasa rundingan iklim Persidangan Iklim ke-30 (COP30) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 17 November. - Foto COP30 SINGAPORE PAVILION

BELEM (Brazil): Ketika perubahan iklim terus mengatasi tindak balas kolektif dunia, Singapura akan meningkatkan usaha penyesuaian dengan membangunkan rancangan penyesuaian negara yang pertama dalam tempoh lima tahun akan datang.

Demikian kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, pada 17 November.

Rancangan itu akan menjadi pelan hala tuju jangka panjang bagi mengukuhkan daya tahan Singapura terhadap kesan iklim.

Dalam kenyataan Singapura di Persidangan Iklim ke-30 (COP30) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Belem, Brazil, Cik Fu menekankan langkah negara bagi melindungi kawasan pinggir laut daripada kenaikan paras laut, dan melindungi rakyat daripada tekanan haba.

Singapura juga akan terus mengurangkan pengeluaran karbon dengan mendapatkan tenaga berkarbon rendah bagi kegunaan domestik, serta memuktamadkan kerjasama dalam pasaran karbon, tambah Cik Fu.

COP30 menghimpunkan menteri dari hampir 200 negara buat minggu kedua rundingan yang dijangka semakin sarat dengan perbincangan politik, lapor The Straits Times.

Isu utama sidang 2025 ialah bagaimana negara membina daya tahan rakyat terhadap kesan iklim yang meningkat.

Perbezaan pendapat tertumpu pada cara negara membangun memperolehi dana bagi melaksanakannya.

Rancangan penyesuaian negara penting kerana ia menjadi asas bagi negara mendapat pembiayaan iklim, dan PBB telah meminta semua negara menyediakannya sebelum akhir 2025.

Dalam ucapan beliau, Cik Fu merujuk kepada suhu yang memecah rekod pada 2024 dan bencana iklim yang semakin menjadi-jadi.

Semuanya juga berlaku dalam suasana ketegangan politik sedunia serta ketidaktentuan ekonomi yang menguji kerjasama sedunia.

“Singapura bertekad untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi mencapai matlamat iklim bersama,” katanya.

Beliau menekankan, Singapura tidak boleh bergerak sendiri kerana Asia Tenggara memanas lebih cepat daripada purata sedunia, dengan bandar-bandar pantai dan masyarakat di muara sungai berdepan risiko banjir dan haba yang meningkat.

“Membina daya tahan serantau adalah kritikal,” katanya, sambil menambah bahawa Singapura bekerjasama dengan negara jiran bagi memperkukuh sains iklim serantau dan perancangan penyesuaian.

Sebagai contoh, penyelidik daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) sedang bekerjasama dengan negara Asean untuk mengkaji kesan perubahan iklim pada tanaman utama seperti jagung, padi dan kacang soya, serta mencadangkan langkah penyelesaian.

Beliau menyatakan bahawa seruan presidensi COP30 Brazil bagi tindakan sejagat mencerminkan semangat pelaksanaan yang diperlukan.

Negara tuan rumah itu menekankan bahawa COP30 harus memberi tumpuan kepada langkah mengubah matlamat menjadi tindakan jelas.

Cik Fu turut mengumumkan sumbangan kewangan Singapura kepada Konvensyen Rangka Kerja PBB Terhadap Perubahan Iklim (UNFCCC) bagi menyokong negara membangun memenuhi keperluan pelaporan mereka.

Ini penting bagi kebertanggungjawaban, katanya, kerana hanya dengan sistem dan keupayaan kukuh, pembiayaan iklim sedunia dapat berfungsi.

Sebagai negara pulau kecil yang rendah paras daratannya, perubahan iklim menjadi cabaran kewujudan bagi Singapura.

Singapura antara 13 negara yang telah mengemukakan matlamat iklim 2035 menjelang tarikh akhir asal PBB pada Februari, dengan sasaran mengurangkan pelepasan karbon kepada 45–50 juta tan pada 2035.

Untuk mencapai sasaran ini, Singapura telah mempelbagaikan tenaga melalui import elektrik berkarbon rendah dan mengkaji tenaga nuklear, selain beberapa langkah lain.

Kerjasama Asean bagi melaksanakan grid kuasa serantau juga sedang diteruskan.

Namun, isu pembiayaan masih menjadi cabaran utama bagi negara membangun.

Singapura menyumbang melalui pembiayaan campuran dan pasaran karbon, termasuk menggerakkan AS$510 juta ($664 juta) bagi prasarana hijau di Asia.

Cik Fu turut menyorot gabungan Singapura, Kenya dan Britain dalam membangunkan pasaran karbon sukarela berintegriti tinggi, kini dengan 10 negara anggota.

Negara tersebut ialah Canada, Perancis, Kenya, Panama, Peru, Singapura, Switzerland, Britain, New Zealand dan Zambia.

Pemerintah negara tersebut bertekad memajukan tindakan iklim dengan memberikan panduan jelas tentang penggunaan kredit karbon berintegriti tinggi oleh syarikat, selari dengan pelan penyahkarbonan mereka, katanya.

Beliau mengakhiri ucapan dengan menegaskan sokongan penuh Singapura kepada COP30.

“Sebagai COP Pelaksanaan, COP30 mesti mengubah sasaran yang ditetapkan kepada hasil yang nyata,” katanya.

“Singapura bersedia bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan sasaran iklim sedunia kekal dalam jangkauan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg