BELEM (Brazil): Singapura dan Malawi telah menandatangani perjanjian untuk meneroka perdagangan karbon pada masa hadapan, membuka jalan bagi Singapura untuk membeli kredit karbon daripada negara Afrika tenggara itu.
Kededua negara kini akan bekerjasama ke arah satu perjanjian pelaksanaan, yang akan membantu Singapura mencapai sasaran iklimnya sambil menyalurkan pembiayaan kepada Malawi.
Memorandum persefahaman (MOU) itu ditandatangani oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu dan Menteri Sumber Asli, Tenaga dan Perlombongan Malawi, Dr Jean Mathanga pada 20 November.
Cik Fu, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, berada di Belem, Brazil bagi menghadiri Sidang Puncak Persidangan Iklim ke-30 (COP30) anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), perjanjian itu akan memudahkan pertukaran amalan terbaik dan pengetahuan mengenai mekanisme kredit karbon.
Ia juga akan mempermudahkan Singapura dan Malawi untuk mengenal pasti projek yang saling menguntungkan untuk menyokong sasaran iklim kededua negara, tambahnya.
Apabila MOU berkembang menjadi perjanjian pelaksanaan, pemerintah Singapura akan dapat membeli kredit karbon di bawah kerangka Perjanjian Paris.
Pada masa yang sama, firma yang dikenakan cukai karbon di Singapura boleh membeli kredit daripada projek di Malawi untuk mengimbangi sehingga 5 peratus pelepasan karbon mereka.
Bagi Malawi, membangunkan projek karbon akan membantu membiayai inisiatif mampan yang amat diperlukan, lapor The Straits Times (ST).
Dr Mathanga memberitahu para hadirin bahawa Malawi, meskipun kaya dengan sumber asli, sedang bergelut dengan kesan perubahan iklim seperti hujan tidak menentu, musim kering panjang, kemarau, banjir dan gelombang haba.
Namun, beliau menegaskan negara itu mempunyai potensi besar dalam tenaga boleh diperbaharui, perhutanan mampan dan pertanian pintar iklim, tetapi memerlukan pelaburan, teknologi dan kepakaran untuk memanfaatkannya dengan sepenuhnya.
Beliau turut memuji Singapura atas kepimpinannya dalam inovasi, kewangan hijau, pasaran karbon dan kemampanan bandar.
Malawi telah menyatakan minat untuk menjual kredit kepada Singapura, yang membawa kepada perbincangan di COP29 di Baku, Azerbaijan serta mesyuarat maya, di mana kededua negara mengenal pasti bidang kepentingan bersama.
Dr Mathanga berkata terdapat peluang mitigasi besar dalam sektor proses dan penggunaan produk industri, pengurusan sisa, pertanian, penggunaan tanah, tenaga dan pengangkutan.
Cik Fu berkata kerjasama ini datang pada waktu yang genting bagi tindakan iklim sedunia, di mana respons segera dan bersepadu kepada krisis iklim amat diperlukan.
Beliau berharap kerjasama ini dapat menunjukkan bagaimana kredit karbon bermutu tinggi mampu meningkatkan aspirasi iklim dan membawa manfaat sebenar kepada masyarakat.
Ini termasuk perlindungan alam sekitar, akses kepada tenaga, keselamatan makanan dan peluang pekerjaan, kata Cik Fu.
Singapura kini mempunyai perjanjian pelaksanaan dengan 10 negara – Bhutan, Chile, Ghana, Mongolia, Papua New Guinea, Paraguay, Peru, Rwanda, Thailand dan Vietnam – dan sedang berbincang dengan lebih 10 lagi negara mengenai perdagangan karbon.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg