Para pegawai atasan yang mengetuai jabatan alam sekitar menyalahkan penduduk di Jakarta kerana menggunakan kenderaan persendirian untuk berulang-alik ke pusat bandar, menyebabkan pelepasan karbon besar-besaran sehingga menyebabkan ibu negara Indonesia menduduki tempat teratas sebagai bandar paling tercemar di dunia.
Carta pada Jumaat dan Khamis menunjukkan kualiti udara sebagai tidak sihat, manakala pada awal minggu, hari-hari tersebut dinilai tidak sihat untuk kumpulan yang sensitif, dengan unjuran yang serupa untuk tiga hari seterusnya.
Ketua Pengarah Kawalan Pencemaran dan Kerosakan Alam Sekitar daripada Kementerian Perhutanan dan Alam Sekitar, Encik Sigit Reliantoro, dalam sidang akhbar pada Jumaat berkata bahawa beralih kepada pengangkutan awam, menggunakan kenderaan elektrik dan lebih banyak berjalan kaki adalah beberapa alternatif yang boleh dilaksanakan untuk mengurangkan pelepasan karbon daripada kenderaan persendirian.
“Tetapi terdapat kekurangan minat daripada orang ramai untuk beralih kepada kenderaan elektrik walaupun ia penting untuk mengurangkan pencemaran di Jakarta,” kata Encik Sigit.
Kenyataannya itu mengulangi kenyataan awal Presiden Joko Widodo, yang lebih dikenali sebagai Jokowi, pada Rabu yang menggesa orang ramai beralih kepada pengangkutan awam besar-besaran dan pemerintah juga telah menggalakkan orang ramai menggunakan lebih banyak kenderaan elektrik.
“Kita telah mengalami masalah pencemaran ini di Jakarta selama bertahun-tahun. Salah satu cara untuk mengurangkan beban Jakarta ini adalah dengan memindahkan sebahagiannya ke ibu kota baru Nusantara dan lebih banyak menggunakan pengangkutan awam dan kenderaan elektrik,” kata Encik Jokowi.
Beliau juga berkata rangkaian kereta api metro yang dirancang di seluruh Jakarta “mesti disiapkan” untuk mengurangkan pencemaran.
Musim kemarau yang berpanjangan dan kurangnya hujan yang dicetuskan oleh El Nino juga telah menyumbang kepada jerebu yang menyelubungi Jakarta, kata Ketua Agensi Alam Sekitar Jakarta, Encik Asep Kuswanto, dalam sidang akhbar yang sama pada Jumaat.
“Kitaran biasa menunjukkan bahawa pencemaran udara di Jakarta memuncak dari Jun hingga Ogos,” kata Encik Asep.
Encik Sigit menambah bahawa satu lagi punca pencemaran terbesar di Jakarta dan bandar-bandar sekitarnya ialah sektor pembuatan, yang menyumbang 61.9 peratus sulfur dioksida kerana penggunaan arang batu sebagai salah satu sumber tenaga mereka.
Pada September 2021, sekumpulan rakyat memenangi tindakan saman terhadap pemerintah pusat dan wilayah, kementerian alam sekitar, kementerian kesihatan dan hal ehwal dalam negeri; gabenor Jakarta dan dua wilayah jirannya iaitu Jawa Barat dan Banten dalam tuntutan mereka untuk menyediakan udara bersih kepada penduduk.
Gabenor Jakarta ketika itu, Encik Anies Baswedan, berkata pentadbiran bandar raya menerima keputusan itu dan tidak akan memfailkan rayuan ke mahkamah tinggi, manakala pemerintah pusat memfailkan rayuan ke mahkamah tinggi mencabar keputusan itu.
Mahkamah tinggi membuat keputusan yang memihak kepada rakyat pada Oktober 2022 dan memerintahkan pemerintah pusat dan wilayah untuk meningkatkan kualiti udara di Jakarta dan bandar-bandar sekitarnya.
Pencemaran udara dianggarkan menyumbang kepada tujuh juta kematian pramatang setiap tahun dan dianggap oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai satu-satunya risiko kesihatan alam sekitar yang terbesar.
Jakarta dan kawasan sekitarnya membentuk megalopolis diduduki kira-kira 30 juta orang dan berada di senarai teratas bandar lain termasuk Riyadh, Doha dan Lahore sepanjang minggu kerana kepekatan zarah kecilnya yang dikenali sebagai PM2.5.
Ia mendahului kedudukan senarai data pencemaran IQAir, syarikat berpangkalan di Switzerland yang hanya memantau kualiti udara bandar utama.
Jakarta kerap merekodkan paras PM2.5 iaitu ‘tidak sihat’, yang boleh menembusi saluran pernafasan dan menyebabkan masalah pernafasan, melebihi paras yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Penduduk mengadu bahawa pencemaran disebabkan oleh asap industri, kesesakan lalu lintas dan loji jana kuasa arang batu menjejaskan kehidupan serta kesihatan mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg