Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gunung berapi meletus dekat ibu kota Iceland

Jul 11, 2023 | 2:57 PM
ASAP MELUAP: Foto yang diambil pada Isnin menunjukkan asap berkepul-kepul daripada lahar yang mengalir semasa letusan gunung berapi di Litli Hrutur, barat daya Reykjavik di Iceland.
ASAP MELUAP: Foto yang diambil pada Isnin menunjukkan asap berkepul-kepul daripada lahar yang mengalir semasa letusan gunung berapi di Litli Hrutur, barat daya Reykjavik di Iceland. - Foto AFP

REYKJAVIK (Iceland): Satu gunung berapi meletus berhampiran ibu kota Iceland pada Isnin, kata pejabat meteorologi negara itu, menandakan kali ketiga lahar panas keluar di kawasan tersebut dalam masa dua tahun.

Rakaman media tempatan menunjukkan kepulan asap keluar dan aliran lahar yang banyak di kawasan sekitar 30 kilometer (km) dari Reykjavik.

Menurut seorang wartawan AFP, asap boleh dilihat dari jalan yang menghubungkan ibu kota ke lapangan terbang antarabangsa, dengan kereta berhenti dan orang ramai mengambil gambar.

“Letusan itu berlaku di utara Litli Hrutur dan asap keluar ke arah barat laut,” kata pejabat meteorologi.

“Terdapat tiga rekahan dengan lahar pada dasarnya mengalir ke semua arah,” kata pakar gunung berapi Universiti Iceland, Encik Thorvaldur Thordarson.

Beliau menambah bahawa rekahan itu secara keseluruhannya sekitar 200 meter hingga 300 meter panjang dan “ia adalah intensiti rendah, letusannya besar”.

Ini bermakna “ia tidak menyebabkan ancaman meluas disebabkan oleh aktiviti letupan” tetapi “jika letusan berterusan cukup lama, ia boleh menjadi ancaman kepada infrastruktur”.

Ribuan gempa bumi kecil telah direkodkan di kawasan itu pada minggu sebelum letusan, menandakan bahawa magma di bawah tanah sedang bergerak dan letusan akan berlaku.

Pihak berkuasa Iceland menasihatkan orang ramai supaya tidak mendekati kawasan yang memang sukar ditempuh kerana tiada sambungan jalan.

Magma gunung itu pecah melalui tanah sekitar 4.40 petang waktu tempatan, hanya beberapa kilometer daripada dua letusan yang berlaku dua tahun lalu.

Letusan yang berlaku di kawasan tersebut setakat ini tidak begitu bahaya dan tidak mempunyai sebarang kesan kepada lalu lintas udara. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg