Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Korban letusan Marapi naik kepada 13 pendaki

Usaha mencari, menyelamat diteruskan
untuk temui 10 lagi yang masih hilang
Dec 05, 2023 | 03:07 PM



JAMBI (Sumatera): Beratus-ratus anggota penyelamat pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dikerahkan untuk mengesan pendaki yang terperangkap akibat letusan Gunung Marapi dan menemui dua lagi pendaki ditemui maut pada 5 Disember – menjadikan jumlah korban kini mencecah 13 orang.


Pasukan pencari meneruskan pencarian 10 pendaki lainnya yang hilang dan ada ketikanya pencarian terpaksa dihentikan kerana letusan berlaku semula dan cuaca buruk.

Usaha menyelamat hanya boleh dilakukan semula apabila letusan gunung itu telah reda dan selamat untuk menjalankan operasi.

Mereka dalam kalangan 75 pendaki yang berada di gunung itu ketika Gunung Marapi menyemburkan debu panas dan memuntahkan abu setinggi 3,000 meter dengan 52 pendaki dilaporkan selamat.

“Pagi ini (5 Disember) kami menghantar kira-kira 200 orang, selain daripada anggota yang sudah berada di sana. Sehingga kini, lima mayat telah dibawa turun,” kata Encik Hendri, ketua operasi di Agensi Pencarian dan Penyelamat Padang, kepada AFP pada 5 Disember.


“Gunung masih meletus,” katanya lagi.

Beliau menyatakan enam mayat lagi belum dibawa turun, dengan lima telah dibawa turun dari gunung untuk dikenal pasti.

Para penyelamat akan cuba membawa turun mangsa secara manual jika boleh, dengan mendaki ke puncak gunung dan membawa mereka menggunakan pengusung.

Encik Ahmad Rifandi, Ketua Pos Pemerhatian Marapi, memberitahu AFP pada 5 Disember bahawa mereka telah mengesan lima letusan dari tengah malam hingga 8 pagi waktu tempatan.


“Marapi masih sangat aktif. Kami tidak dapat melihat ketinggian tiang abu kerana tertutup oleh awan,” katanya.

Ketua agensi vulkanologi Indonesia, Encik Hendra Gunawan, menyatakan bahawa Gunung Marapi telah berada pada tahap kedua dalam sistem amaran empat tahap sejak 2011, dan zon pengecualian atau tidak boleh didekati sejauh tiga kilometer di sekeliling kawahnya.

Beliau seolah-olah menyalahkan pendaki kerana terlalu dekat dengan kawah, dengan menyatakan bahawa agensi tersebut tidak mengesyorkan kegiatan manusia di zon tersebut, dan menekankan bahawa “kesan yang serius” dilaporkan bagi mangsa dalam jarak satu hingga 1.5 kilometer dari kawah.

Menurutnya para pendaki telah mendaftar melalui sistem tempahan dalam talian, tetapi mungkin ada yang menggunakan laluan gunung secara haram.

Keluarga masih menunggu kemas kini di pusat maklumat di kaki gunung.

“Saya akan berada di sini sehingga saya mendengar berita,” kata Encik Dasman, bapa kepada Encik Zakir Habibi, pendaki yang hilang.

Beliau yang melakukan perjalanan dua jam dari kota Padang ke kaki gunung dengan harapan mendapat berita baik berkata: “Saya masih berharap anak saya selamat.”

Seramai 75 pendaki telah disenaraikan oleh pegawai sebagai berada di Gunung Marapi sejak 2 Disember, dengan beberapa daripada mereka mengalami kecederaan termasuk kelecuran dan keretakan tulang.

Usaha pencarian dan menyelamat di gunung yang terkenal aktif itu akan diteruskan selama tujuh hari, menurut kenyataan dari pegawai penyelamat.

Mereka yang terkorban dalam kejadian itu mengalami kelecuran teruk, dan kini petugas forensik sedang berusaha mengenal pasti identiti mereka melalui rekod pergigian dan cap jari, ujar Cik Eka Purnamasari, seorang pegawai dari unit perubatan polis Sumatera Barat.

Gunung Marapi, yang dikenali sebagai Gunung Api, merupakan salah satu gunung berapi yang paling aktif di pulau Sumatera. Indonesia.

Ia terletak di dalam Lingkaran Api Pasifik, sering mengalami kegiatan seismik serta letusan gunung berapi.

Kepulauan Indonesia itu memiliki sekitar 130 gunung berapi aktif, menjadikannya salah satu kawasan dengan jumlah gunung berapi aktif yang tertinggi di dunia. – AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >