Topik diikuti
Pergi ke BHkuGuru pesantren Indonesia dibebaskan awal selepas jalani kurang separuh hukuman
Guru pesantren Indonesia dibebaskan awal selepas jalani kurang separuh hukuman
JAKARTA: Seorang guru sekolah berasrama atau Pesantren di Indonesia yang dipenjara tujuh tahun kerana melakukan serangan seksual terhadap seorang pelajar didapati telah dibebaskan lebih awal selepas menjalani kurang separuh daripada hukumannya, menurut siasatan BBC.
Moch Subchi Azal Tsani, 46 tahun, yang dikenali sebagai Bechi, dibebaskan pada Ogos 2025 selepas menerima pengurangan hukuman, menurut Kementerian Imigresen dan Pemasyarakatan Indonesia.
Kementerian itu memberitahu BBC bahawa pengurangan tersebut diberikan mengikut peraturan yang berkuat kuasa, tetapi tidak menjelaskan sebab khusus hukumannya dikurangkan.
Bechi, anak kepada pemimpin agama berpengaruh, Kiai Muchtar Mu’thi, ditangkap pada 2022 di sekolah Shiddiqiyyah di Jawa Timur, tempat beliau mengajar.
Penahanannya ketika itu mencetuskan perhatian besar selepas hampir 1,000 anggota polis antirusuhan dikerahkan dalam operasi selama 15 jam. Ratusan pelajar dan penyokong keluarga Bechi berkumpul di sekolah itu bagi menghalang polis daripada membawanya pergi.
Pada tahun sama, pendakwa raya meminta hukuman maksimum 16 tahun atas tuduhan rogol.
Mahkamah bagaimanapun membebaskannya daripada tuduhan rogol tetapi mensabitkannya atas kesalahan serangan seksual terhadap seorang pelajar dan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun.
Beliau sepatutnya hanya layak mendapat parol sekitar Mac 2027 atau dibebaskan selepas tamat hukumannya pada 2029.
Rakaman sulit BBC bagaimanapun menunjukkan Bechi sudah berada di luar penjara, termasuk menghadiri acara keagamaan bersama keluarganya.
Pada Januari lalu, wartawan penyamaran BBC melihatnya memakai pelitup muka dan duduk di sebelah bapanya dalam acara doa tahunan di sekolah Shiddiqiyyah.
Pada Mac, beliau sekali lagi dirakam secara sulit menghadiri acara Aidilfitri di kediaman keluarganya yang terletak dalam kompleks sama.
Pembebasan itu mengejutkan beberapa bekas pelajar yang memberi keterangan dalam perbicaraannya kerana mereka menyangka Bechi masih dipenjarakan.
Seorang daripada mereka, Cik Ira Puspitasari, tampil secara terbuka buat kali pertama dan mendakwa beliau mengalami penderaan seksual selama lebih empat tahun sejak berusia 15 tahun.
Cik Ira mendakwa beliau pernah ditahan, dipukul dan dirogol Bechi. Beliau juga mendakwa pengawal keselamatan persendirian Bechi pernah menjejakinya selepas beliau cuba melarikan diri sebelum membawanya kembali ke sebuah tempat terpencil.
Dakwaan Cik Ira tidak membawa kepada pertuduhan berasingan terhadap Bechi, tetapi beliau memberi keterangan semasa perbicaraan.
Beliau berkata pernah membuat laporan polis tetapi kemudian menarik balik dakwaannya selepas berdepan tekanan dan ancaman.
Cik Ira turut memberikan BBC rakaman audio yang didakwanya merakam ibu Bechi, Cik Nyai Shofwatul Ummah, memintanya mengatakan bahawa “tiada apa-apa berlaku” dan menarik balik laporan polis.
BBC berkata ia telah mendapatkan maklum balas daripada Bechi, ibunya dan pihak sekolah Shiddiqiyyah mengenai dakwaan tersebut tetapi tidak menerima jawapan.
Seorang lagi bekas pelajar, Cik Ayu Masuroh, yang berkata beliau sendiri tidak pernah didera Bechi, mendakwa mengumpulkan keterangan daripada sekurang-kurangnya 10 bekas pelajar perempuan yang menuduh Bechi melakukan serangan seksual atau rogol.
Menurutnya, sebahagian pelajar mendakwa diberitahu mereka telah “dipilih”, manakala seorang lagi mendakwa dirogol selepas dipanggil menghadiri “temu ramah peribadi”.
Rekod mahkamah yang dilihat BBC menunjukkan beberapa dakwaan mengenai penderaan selama bertahun-tahun dibentangkan dalam perbicaraan tertutup itu.
Bekas peguam sekolah berkenaan, Encik Nun Sayuti, yang kemudian menyokong pelajar terbabit, berkata beliau amat kecewa dengan pembebasan awal Bechi.
Beliau menyifatkannya sebagai pencabulan hak mangsa yang telah melalui proses perundangan panjang dan sukar.
Persoalan turut timbul mengenai mengapa bekas pelajar yang berada di bawah perlindungan saksi tidak dimaklumkan mengenai pembebasan Bechi.
Kementerian Imigresen dan Pemasyarakatan berkata mangsa tidak perlu dimaklumkan kerana Bechi masih berada di bawah parol.
Agensi Perlindungan Saksi dan Mangsa Indonesia bagaimanapun mempertikaikan penjelasan itu dan berkata mangsa tetap perlu diberitahu.
Kes tersebut kembali mendapat perhatian ketika Suruhanjaya Nasional Anti Kekerasan terhadap Perempuan (Komnas Perempuan) memberi amaran mengenai keadaan yang disifatkannya sebagai “darurat” keganasan seksual di sekolah berasrama Islam atau pesantren.
Suruhanjaya itu pada Mei memberi amaran bahawa kes yang diketahui umum mungkin hanya sebahagian kecil daripada masalah sebenar.
Menurutnya, pelajar di banyak institusi menghadapi kesukaran melaporkan penderaan kerana mekanisme perlindungan yang tidak mencukupi, selain kedudukan berpengaruh pemimpin agama yang boleh menghalang pengawasan berkesan.
Komnas Perempuan menggesa pemerintah memperkukuh pemantauan dan mengenakan hukuman lebih tegas bagi memastikan pemimpin agama tidak menggunakan kedudukan mereka tanpa kawalan.
Kes Bechi menjadi antara skandal penderaan seksual paling mendapat perhatian di Indonesia, sebahagiannya disebabkan pengaruh bapanya dan sekolah Shiddiqiyyah yang mempunyai ribuan pengikut.
Selepas kes itu terbongkar pada 2022, pemerintah pada mulanya menarik balik lesen operasi sekolah tersebut.
Presiden ketika itu, Encik Joko Widodo, kemudian campur tangan supaya sekolah itu terus beroperasi dengan alasan kes berkenaan melibatkan seorang individu dan bukan institusi tersebut.
Bagi Cik Ira, pembebasan awal Bechi menimbulkan semula trauma dan persoalan mengenai keadilan bagi mangsa.
Selepas melihat rakaman Bechi berada di luar penjara, beliau berkata: “Ia terasa seolah-olah dia menang dan saya kalah.”
“Amat penting dunia mengetahuinya. Memang benar, dia sudah bebas.” - BBC