JAKARTA: Stesen televisyen Indonesia, Trans7, mengemukakan permohonan maaf terbuka selepas menerima kecaman hebat berhubung siaran rancangan, ‘Xpose Uncensored’, yang disifatkan menghina pesantren serta para kiai dan budaya keagamaan di negara itu.
Siaran yang disiarkan pada 13 Oktober itu menayangkan rakaman beberapa pesantren terkenal termasuk Pondok Pesantren Lirboyo di Kediri, dengan kapsyen dan naratif yang berunsur provokatif.
Antara kapsyen yang mencetuskan kemarahan berbunyi: “Santri (pelajar pesantren) harus mencangkung untuk menerima segelas susu, beginikah kehidupan di pesantren?”
Sepotong lagi ayat berbunyi: “Para kiai hidup mewah, dibiayai sampul wang dari pengikut mereka.”
Siaran tersebut dikeluarkan ketika masyarakat Islam Indonesia masih berduka atas tragedi runtuhan bangunan Pondok Pesantren Al-Khoziny di Sidoarjo, Jawa Timur, yang mengorbankan 67 pelajar dan mencederakan ramai lagi.
Tidak lama selepas siaran itu, seruan memboikot Trans7 menjadi tular di media sosial, dengan ramai pengguna menuduh stesen tersebut menyebarkan gambaran negatif terhadap dunia pesantren.
Menteri Agama Indonesia, Encik Nasaruddin Umar, melahirkan rasa kecewa terhadap cara Trans7 menggambarkan kehidupan di pesantren.
“Saya terkejut dan prihatin dengan gambaran negatif terhadap pesantren,” katanya dalam satu kenyataan di Jakarta pada 15 Oktober.
“Pesantren adalah benteng moral bangsa yang telah melahirkan ramai ulama, pemimpin dan tokoh negara,” ujar Encik Nasaruddin.
Beliau menegaskan bahawa pesantren bukan sekadar institusi pendidikan agama, bahkan juga pusat pembentukan akhlak, kemanusiaan dan nilai sosial.
“Saya percaya pesantren akan menunjukkan sikap pemaaf seperti yang selalu diajarkan oleh para kiai.
“Namun, peristiwa ini perlu menjadi pengajaran kepada semua pihak agar lebih berhati-hati dalam menyiarkan kandungan yang melibatkan sensitiviti agama,” tambahnya.
Menteri Agama itu turut dijadual berangkat ke Jawa Timur untuk bertemu dengan beberapa pimpinan pesantren dan membincangkan cara memperkukuh imej institusi tersebut di mata masyarakat.
“Pesantren telah lama membentuk masyarakat yang sopan dan beradab, mengajar rasa hormat antara pelajar dan guru, dan secara tidak langsung antara rakyat dengan pemimpin,” ujar Encik Nasaruddin.
Ketua Umum Nahdlatul Ulama (NU), organisasi Islam terbesar di Indonesia, Encik Yahya Cholil Staquf, turut mengecam keras siaran tersebut.
“Program Trans7 itu jelas menghina dan memperlekehkan para kiai serta kehidupan pesantren yang dihormati dalam tradisi Nahdlatul Ulama,” katanya kepada media tempatan di Jakarta.
Beliau menegaskan laporan seperti itu bukan sahaja menimbulkan salah faham terhadap masyarakat Islam, malah merosakkan hubungan antara media dengan institusi keagamaan.
Selepas tekanan awam meningkat, Trans7 tampil membuat permohonan maaf secara rasmi pada 14 Oktober.
Pengarah Produksi Trans7, Encik Andi Chairil, mengakui berlaku kecuaian editorial, walaupun bahan tersebut dihasilkan oleh sebuah syarikat produksi luar.
“Trans7 mengakui kesilapan ini. Walaupun kandungan itu dibuat oleh pihak luar, kami tetap bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya.
“Kami dengan tulus memohon maaf kepada Kiai Haji Anwar Manshur (Pengasuh Pesantren Lirboyo), para santri, pengurus dan alumni pesantren yang terlibat.”
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan disiplin terhadap kakitangan editorial dan syarikat penerbitan terbabit, serta memperketat proses saringan kandungan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
“Kami telah menurunkan semua kandungan berkaitan daripada siaran televisyen, media sosial, dan platform digital Trans7,” tambahnya.
Sebagai tanda tanggungjawab, wakil Trans7 telah melakukan kunjungan ke Pondok Pesantren Lirboyo di Kediri, Jawa Timur, untuk menyampaikan permohonan maaf secara langsung.
Delegasi diketuai oleh Encik Andi Chairil bersama penasihat akademik, Profesor Muh Nuh.
“Pertemuan ini adalah bentuk silaturahim dan penjelasan secara langsung daripada pihak Trans7 dan Trans Corp,” kata penjaga pesantren, Encik K.H. Oing Abdul Muid, pada 15 Oktober 2025.
Menurut beliau, hasil pertemuan itu akan dilaporkan kepada para masyayikh (ulama tertinggi) pesantren, dan kenyataan rasmi akan disampaikan oleh Romo K.H. Ahmad Mansyur, salah seorang kiai tertua Lirboyo yang turut muncul dalam rakaman kontroversi tersebut.
“Kami menghargai keprihatinan masyarakat, namun saya menggesa agar semua pihak menyuarakan pendapat dengan cara yang beradab dan penuh hormat,” tambah Gus Muid. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg