ADDIS ABABA: Pihak berkuasa Habsyah telah menahan puluhan individu yang disyaki militan kumpulan ISIS yang didakwa telah menerima latihan dan dihantar untuk melancarkan operasi di seluruh negara, lapor penyiar yang berpaut kepada kerajaan, Fana, pada 15 Julai.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Perkhidmatan Keselamatan dan Perisikan Negara (NISS) dan dikongsi bersama Fana, seramai 82 suspek dikenal pasti sebagai anggota cabang ISIS di Somalia, yang berpangkalan di wilayah separa autonomi Puntland.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, cabang ISIS di Somalia dilihat semakin penting dalam rangkaian global kumpulan induknya. “NISS telah memantau dengan teliti strategi penyusupan rentas sempadan kumpulan ini dan usaha mereka untuk menubuhkan sel tidur di Ethiopia,” lapor Fana lewat 15 Julai.
Kumpulan ISIS Somalia dianggarkan memiliki antara 700 hingga 1,500 pejuang, dan telah berkembang hasil kemasukan pejuang asing serta peningkatan sumber kewangan.
Namun begitu, kekuatan mereka masih jauh lebih kecil berbanding kumpulan militan al-Shabaab yang bersekutu dengan al-Qaeda, dan yang menguasai sebahagian besar kawasan di selatan dan tengah Somalia.
Tentera Amerika Syarikat pula telah melancarkan serangan udara secara berkala terhadap kumpulan ini sejak beberapa tahun lalu, dan dilaporkan memperhebatkan operasi sejak Presiden Donald Trump memegang jawatan.
Sementara itu, pasukan kerajaan Puntland telah merampas semula kawasan luas daripada ISIS sejak melancarkan serangan besar-besaran ke atas mereka pada Disember lalu. — REUTERS
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg