Hakim AS tolak dasar Trump usir segera imigran ke negara ketiga
Hakim AS tolak dasar Trump usir segera imigran ke negara ketiga
BOSTON: Seorang hakim persekutuan memutuskan bahawa pentadbiran Presiden Donald Trump telah melaksanakan dasar yang menyalahi undang-undang - membenarkan pengusiran pantas pendatang ke negara selain negara asal mereka tanpa memberi mereka peluang untuk membantah dan membangkitkan kebimbangan tentang keselamatan mereka.
Hakim Daerah Boston, Encik Brian Murphy, mengeluarkan keputusan muktamad pada 25 Februari yang mengisytiharkan dasar Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) Amerika Syarikat sebagai tidak sah dalam kes yang dijangkakan oleh pentadbiran akhirnya akan diputuskan oleh Mahkamah Agung kelak.
Dasar itu, yang diguna pakai pada Mac 2025 sebagai sebahagian daripada tindakan keras imigresen oleh Presiden Trump, gagal melindungi hak proses sewajarnya pendatang yang tanpa notis boleh segera dihantar pulang ke “negara yang tidak dikenali dan berpotensi berbahaya,” kata Encik Murphy.
Encik Murphy berkata pentadbiran berhujah bahawa adalah “baik” bagi pegawai imigresen menghantar pulang pendatang dengan cepat ke negara bukan asal mereka selagi DHS tidak tahu seseorang sedang menunggu untuk membunuh mereka sebaik ketibaan mereka.
“Ia tidak baik dan juga tidak sah di sisi undang-undang,” tulis Encik Murphy, yang dilantik oleh Presiden Demokrat Encik Joe Biden.
Keputusan ditangguhkan sementara menunggu kemungkinan rayuan dikemukakan.
Hakim mengetepikan dasar tersebut dan mengisytiharkan bahawa pendatang yang telah dikenakan tindakan berhak untuk mengemukakan notis bantahan terhadap penghantaran pulang ke negara ketiga.
Tetapi beliau menangguhkan keputusannya daripada berkuat kuasa selama 15 hari untuk memberi masa kepada pentadbiran untuk meneruskan rayuan, dengan memetik “kepentingan dan sejarah luar biasa” kes tersebut.
Beliau mengakui terdapat campur tangan Mahkamah Agung dalam kes tersebut sebelum ini.
Mahkamah Agung sebelum ini menarik balik injunksi awal yang dikeluarkan oleh Encik Murphy pada April yang melindungi hak proses sewajarnya pendatang yang menghadapi penghantaran pulang ke negara ketiga dan kemudian membuka jalan untuk lapan lelaki dihantar ke Sudan Selatan.
Walaupun ia berkuat kuasa, injunksi terdahulu itu menghalang usaha pentadbiran untuk menghantar pendatang ke negara selain tempat asal mereka, termasuk Sudan Selatan, Libya dan El Salvador.
Seorang jurucakap DHS merujuk kepada keputusan Mahkamah Agung sebelum ini yang memihak kepadanya dalam kes berkenaan, berkata bahawa pihaknya “yakin kebenaran kami akan dibuktikan sekali lagi”
“DHS mesti dibenarkan untuk melaksanakan kuasa sahnya dan mengusir pendatang asing tanpa izin ke negara yang bersedia menerima mereka,” kata seorang jurucakap DHS. - Reuters

