Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rancangan imigresen agresif Trump 2026 terus cetus bantahan

Serbuan tempat kerja kerap dijalankan meskipun ada lebih bantahan jelang pilihan raya pertengahan penggal
Dec 22, 2025 | 3:29 PM
ICE, portland,oregon,
Pegawai penguatkuasa undang-undang cuba untuk menyuraikan penunjuk perasaan berhampiran ibu pejabat Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) di Portland, Oregon. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Dengan berbilion-bilion dana baru, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, sedang merancang tindakan imigresen yang lebih keras dan agresif pada 2026.

Ini termasuk serbuan tempat kerja yang lebih kerap, meskipun gelombang bantahan semakin memuncak menjelang pilihan raya pertengahan penggal 2026.

Encik Trump sebelum ini telah mengerahkan pegawai imigresen ke bandar-bandar utama Amerika, menyaksikan mereka beroperasi di kawasan kejiranan dan bertembung dengan penduduk tempatan.

Meskipun pegawai Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) melakukan beberapa serbuan berprofil tinggi ke atas perniagaan, mereka dilihat mengelak daripada menyerbu ladang, kilang dan perniagaan penting lain yang diketahui menggaji ramai pendatang tanpa izin.

ICE dan Pengawal Sempadan akan menerima suntikan dana sebanyak AS$170 bilion ($220 bilion) sehingga September 2029.

Ia merupakan satu peningkatan mendadak berbanding bajet tahunan sedia ada iaitu kira-kira AS$19 bilion selepas Kongres yang dikawal oleh Republikan meluluskan pakej perbelanjaan besar-besaran pada Julai.

Para pegawai pentadbiran mengumumkan rancangan untuk merekrut ribuan lagi kakitangan, membuka penjara baru, menahan lebih ramai pendatang, dan bekerjasama dengan syarikat luar untuk mengesan pendatang tanpa status undang-undang.

Pelan pengusiran yang diperluas itu muncul di tengah-tengah tanda-tanda peningkatan tentangan politik menjelang pilihan raya pertengahan penggal.

Miami, salah sebuah bandar yang paling terjejas oleh tindakan keras Encik Trump kerana populasi imigran yang besar, telah memilih datuk bandar Demokrat pertamanya dalam hampir tiga dekad pada minggu lalu dalam apa yang dikatakan oleh datuk bandar sebagai reaksi terhadap presiden.

Pilihan raya tempatan dan tinjauan pendapat lain telah mencadangkan peningkatan kebimbangan dalam kalangan pengundi yang berwaspada terhadap taktik imigresen yang agresif.

“Orang ramai mula melihat ini bukan lagi sebagai persoalan imigresen tetapi ia merupakan pelanggaran hak, pelanggaran proses sewajarnya dan melibatkan operasi ketenteraan di kawasan kejiranan yang di luar perlembagaan.

“Tidak dinafikan ia adalah masalah bagi presiden dan Republikan,” kata Encik Mike Madrid, seorang ahli strategi politik Republikan.

Penarafan kelulusan keseluruhan Encik Trump terhadap dasar imigresen merosot daripada 50 peratus sebelum beliau melancarkan tindakan tegas di beberapa bandar utama Amerika pada Mac, kepada 41 peratus pada pertengahan Disember.

Kegelisahan awam yang semakin meningkat telah memberi tumpuan kepada pegawai persekutuan yang menggunakan gas pemedih mata di kawasan perumahan dan menahan warga Amerika.

Selain memperluas tindakan penguatkuasaan, Encik Trump telah melucutkan status sah sementara beratus-ratus ribu pendatang Haiti, Venezuela dan Afghanistan.

Encik Trump pernah berjanji untuk mengusir sejuta pendatang setiap tahun – matlamat yang hampir pasti tidak akan beliau capai sepanjang 2025.

Setakat ini, kira-kira 622,000 pendatang telah diusir sejak beliau memegang jawatan pada Januari.

Ketua penguat kuasa sempadan Rumah Putih, Encik Tom Homan, berkata bahawa Encik Trump menunaikan janjinya untuk operasi pengusiran bersejarah dan menghapuskan penjenayah sambil membanteras pendatang haram merentasi sempadan Amerika-Mexico.

Beliau berkata bilangan tangkapan akan meningkat mendadak apabila ICE merekrut lebih ramai pegawai dan mengembangkan kapasiti tahanan dengan pembiayaan baru ini.

“Saya fikir anda akan melihat angka tersebut melonjak dengan ketara pada 2026,” katanya.

Encik Homan berkata rancangan itu “sudah tentu” termasuk lebih banyak tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas di tempat kerja.

Cik Sarah Pierce, pengarah dasar sosial kumpulan Third Way, berkata sektor perniagaan Amerika enggan menentang tindakan keras imigresen Encik Trump pada 2024 tetapi mereka mungkin akan bersuara jika tumpuan tindakan beralih kepada majikan.

Beliau menambah, adalah menarik untuk melihat “sama ada pihak perniagaan akhirnya menentang pentadbiran ini atau tidak”.

Encik Trump, seorang Republikan, menawan semula Rumah Putih dengan menjanjikan tahap pengusiran yang tinggi, dengan alasan ia perlu selepas bertahun-tahun kadar imigresen haram yang tinggi di Amerika di bawah pimpinan mantan Presiden Joe Biden.

Beliau memulakan kempen dengan menghantar pegawai persekutuan ke bandar-bandar Amerika untuk mengesan pesalah imigresen, mencetuskan protes dan tuntutan di mahkamah mengenai profil kaum dan taktik ganas.

Sesetengah perniagaan ditutup untuk mengelakkan serbuan atau kerana kekurangan pelanggan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg