THE HAGUE: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 22 Oktober mengeluarkan pendapat penasihat yang menegaskan bahawa Israel mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk memastikan keperluan asas penduduk awam di Jaluran Gaza dipenuhi, termasuk makanan, air, tempat tinggal, bahan api dan perkhidmatan kesihatan.
Presiden Panel Hakim, Hakim Yuji Iwasawa, menyatakan bahawa sebagai kuasa pendudukan, Israel “wajib memastikan keperluan asas penduduk tempatan, termasuk bekalan penting bagi kelangsungan hidup mereka, dapat dipenuhi”.
Beliau menambah Israel juga mesti menyokong usaha bantuan yang dijalankan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Walaupun pendapat penasihat ICJ tidak mengikat secara undang-undang, keputusan badan kehakiman tertinggi PBB itu membawa implikasi politik dan moral yang besar terhadap status Israel sebagai kuasa pendudukan.
Pemerintah Israel bagaimanapun menolak sepenuhnya keputusan tersebut.
Dalam satu kenyataan di wadah X, Kementerian Luar Israel menegaskan bahawa mereka “sepenuhnya mematuhi undang-undang antarabangsa” dan menolak dakwaan negaranya gagal memenuhi tanggungjawab kemanusiaan.
“Israel tidak akan bekerjasama dengan mana-mana organisasi yang dipenuhi unsur pengganasan,” kata kementerian itu, merujuk kepada dakwaan bahawa beberapa pekerja UNRWA mempunyai kaitan dengan kumpulan Hamas.
Namun, panel ICJ menegaskan bahawa Israel gagal mengemukakan bukti kukuh bagi menyokong dakwaan bahawa sejumlah besar kakitangan UNRWA adalah anggota Hamas.
Sejak Mac hingga Mei lalu, peguam yang mewakili PBB dan pihak Palestin menuduh Israel melanggar undang-undang antarabangsa dengan menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, selepas negara itu menutup sepenuhnya semua laluan keluar masuk atas alasan kumpulan Hamas mencuri bantuan.
Walaupun sedikit bantuan kini dibenarkan masuk, pegawai PBB menyatakan jumlahnya jauh daripada mencukupi untuk menampung lebih 2 juta penduduk Gaza yang berdepan krisis kebuluran.
Dalam pelan gencatan senjata yang dimeterai pada Oktober, Israel bersetuju membenarkan 600 lori bantuan masuk ke Gaza setiap hari.
Namun, menurut pegawai PBB, jumlah sebenar yang dibenarkan masih “jauh di bawah” angka yang dijanjikan.
Hakim ICJ menegaskan bahawa rakyat Palestin di Gaza “tidak menerima bekalan yang mencukupi untuk kelangsungan hidup” dan menegaskan bahawa “kelaparan tidak boleh dijadikan senjata perang”.
Peguam yang mewakili Palestin, Encik Paul Reichler, berkata keputusan itu menunjukkan Israel tidak mematuhi tanggungjawab undang-undang antarabangsa.
“Mahkamah menganggap kelaparan sebagai kaedah peperangan yang haram.
“Namun, pada masa yang sama, Israel sengaja menghalang makanan daripada sampai kepada penduduk awam Gaza,” katanya.
Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, menyambut baik keputusan tersebut dan menyifatkannya sebagai “penegasan semula tanggungjawab asas Israel di bawah undang-undang antarabangsa”.
Jurucakap beliau, Encik Stephane Dujarric, berkata Encik Guterres menyeru Israel mematuhi kewajipan berkaitan operasi PBB dan agensi kemanusiaan lain di wilayah Palestin yang diduduki.
“PBB akan terus menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin.
“Keputusan ICJ ini diharap dapat menjadi titik perubahan untuk memperbaiki keadaan tragik di Gaza,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa keputusan mahkamah itu akan segera dikemukakan kepada Perhimpunan Agung PBB untuk pertimbangan tindakan lanjut.
Encik Guterres menegaskan semua pihak mesti menghormati undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa pada setiap masa, sambil menyeru agar satu “jalan politik yang boleh dipercayai” diwujudkan ke arah penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmakdis sebagai ibu kota bersama Israel dan Palestin.
Sementara itu, jurucakap PBB, Encik Farhan Haq, memberi amaran bahawa penutupan lintasan sempadan oleh Israel terus menjejas penghantaran bantuan walaupun gencatan senjata telah dilaksanakan sejak 10 Oktober.
“Penutupan berterusan lintasan Zikim dan Erez menghalang pasukan kemanusiaan daripada menyalurkan bantuan penting ke utara Gaza dalam skala yang diperlukan,” katanya.
Sejak gencatan senjata dilaksanakan, lebih 425,000 penduduk Gaza direkodkan berpindah dari selatan ke utara wilayah itu untuk kembali ke rumah masing-masing, namun kebanyakan kawasan masih musnah dan tiada bekalan asas. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg