Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laporan PBB isytihar Israel lakukan genosid di Gaza

Sep 16, 2025 | 4:57 PM
Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Bebas Antarabangsa mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki, termasuk Baitulmakdis Timur dan Israel, hakim Afrika Selatan Navi Pillay (kanan), berucap di sebelah Anggota Suruhanjaya Chris Sidoti semasa sidang media di Geneva pada 16 September 2025.
Pada tarikh tersebut, suruhanjaya berkenaan menuduh Israel melakukan “genosid” di Gaza dengan tujuan untuk “memusnahkan rakyat Palestin”, serta menyalahkan Perdana Menteri Israel dan beberapa pegawai tertinggi lain kerana menghasut tindakan tersebut.
Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Bebas Antarabangsa mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki, termasuk Baitulmakdis Timur dan Israel, hakim Afrika Selatan Navi Pillay (kanan), berucap di sebelah Anggota Suruhanjaya Chris Sidoti semasa sidang media di Geneva pada 16 September 2025. Pada tarikh tersebut, suruhanjaya berkenaan menuduh Israel melakukan “genosid” di Gaza dengan tujuan untuk “memusnahkan rakyat Palestin”, serta menyalahkan Perdana Menteri Israel dan beberapa pegawai tertinggi lain kerana menghasut tindakan tersebut. - Foto AFP

GENEVA: Suruhanjaya Siasatan Bebas Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa Israel telah melakukan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza, termasuk dengan hasutan secara langsung oleh pemimpin tertingginya. Dakwaan ini segera ditolak Israel yang menyifatkannya sebagai “palsu” dan “skandal”.

Dalam laporan setebal 72 muka surat, suruhanjaya itu menyatakan Israel telah melakukan empat daripada lima tindakan yang ditakrifkan sebagai genosid di bawah Konvensyen Genosid 1948: Membunuh secara besar-besaran; Menyebabkan kecederaan fizikal dan mental yang serius; Mengenakan syarat hidup yang membawa kepada kemusnahan dan Menghalang kelahiran dalam kalangan kumpulan sasaran.

“Genosid sedang berlaku di Gaza,” kata Cik Navi Pillay, Pengerusi Suruhanjaya dan bekas hakim tribunal jenayah Rwanda.

Menurutnya: “Tanggungjawab jenayah kekejaman ini terletak pada pihak berkuasa Israel di peringkat tertinggi, yang telah merancang kempen genosid hampir dua tahun dengan niat khusus untuk memusnahkan rakyat Palestin di Gaza.”

Suruhanjaya merujuk pelbagai bukti, termasuk temu bual mangsa, saksi, doktor, dokumen sumber terbuka yang telah disahkan, serta analisis imej satelit sejak perang bermula. Antara bukti utama:

+ Serangan udara dan darat yang membunuh puluhan ribu rakyat Palestin.
+ Pemusnahan klinik kesuburan yang menyimpan ribuan embrio dan sampel sperma.
+ Penggunaan kebuluran sebagai senjata perang, melalui sekatan bantuan makanan dan ubat-ubatan.
+ Pemindahan paksa yang melibatkan ratusan ribu penduduk.

Data terkini menunjukkan lebih 64,000 orang Palestin terbunuh sejak Oktober 2023, dengan sistem kesihatan, air dan sanitasi Gaza kini lumpuh sepenuhnya.

Laporan itu turut menyenaraikan kenyataan pemimpin tertinggi Israel sebagai bukti hasutan kepada genosid, termasuk Presiden Isaac Herzog, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant.

Antara dokumen penting ialah surat Netanyahu kepada tentera Israel pada November 2023 yang menggambarkan operasi Gaza sebagai “perang suci pemusnahan menyeluruh”.

Cik Pillay menegaskan: “Suruhanjaya mendapati bahawa niat genosid adalah kesimpulan munasabah berdasarkan corak tindakan pihak berkuasa dan tentera Israel.”
Beliau membandingkan situasi Gaza dengan pembunuhan beramai-ramai Rwanda pada 1994: “Apabila anda menafikan kemanusiaan mangsa menggambarkan mereka sebagai haiwan, anda membuka jalan untuk pembunuhan tanpa rasa bersalah.”

Duta Israel ke PBB di Geneva, Encik Daniel Meron, menolak laporan itu dengan keras:
“Israel secara mutlak menolak fitnah yang diterbitkan oleh suruhanjaya ini. Ia ditulis oleh proksi Hamas dan tidak berasas,” katanya.

Jurucakap Kementerian Luar Israel menambah bahawa laporan itu berat sebelah dan menyeru supaya suruhanjaya tersebut dimansuhkan segera. Israel juga enggan bekerjasama sepanjang siasatan dijalankan.

Walaupun laporan ini adalah penemuan paling tegas oleh badan PBB setakat ini, suruhanjaya tersebut beroperasi secara bebas dan tidak mewakili pendirian rasmi PBB.

Namun, ia menambah tekanan antarabangsa kerana Israel kini berdepan kes genosid yang difailkan Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague. Pada masa yang sama, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap beberapa pemimpin Israel atas dakwaan menggunakan kebuluran sebagai senjata perang.

Konvensyen Genosid 1948 mentakrifkan jenayah ini sebagai tindakan yang dilakukan dengan niat untuk memusnahkan, sebahagian atau sepenuhnya, satu kumpulan kebangsaan, etnik, kaum atau agama.

Laporan ini dikeluarkan ketika Israel terus mempertahankan tindakannya sebagai hak mempertahankan diri selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Namun, Cik Pillay mengingatkan bahawa alasan mempertahankan diri tidak boleh dijadikan justifikasi untuk tindakan pemusnahan menyeluruh: “Kami berharap laporan ini membuka mata negara-negara lain. Dunia tidak boleh menutup mata terhadap pola tindakan yang jelas berunsur genosid.”

Bagi pemerhati antarabangsa, penemuan ini bakal menguatkan lagi isolasi diplomatik Israel. Usaha normalisasi dengan negara-negara Arab, termasuk melalui Perjanjian Abraham, dijangka semakin sukar dicapai.

Cik Pillay dengan kenyataan tegas: “Genosid bukan sekadar teori undang-undang. Ia adalah realiti yang sedang berlaku di Gaza hari ini. Dan dunia mempunyai tanggungjawab moral serta undang-undang untuk bertindak.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg