Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua agensi antirasuah Indonesia dinamakan suspek makan suap

Nov 23, 2023 | 3:11 PM
JAWAB TUDUHAN RASUAH: Ketua Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah Indonesia (KPK), Encik Firli Bahuri, dipanggil KPK untuk menjalani siasatan di Jakarta.
JAWAB TUDUHAN RASUAH: Ketua Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah Indonesia (KPK), Encik Firli Bahuri, dipanggil KPK untuk menjalani siasatan di Jakarta. - Foto REUTERS

JAKARTA: Ketua Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah Indonesia  (KPK), Encik Firli Bahuri, dinamakan sebagai suspek dalam kes menerima rasuah dan pemerasan.

Encik Firli, yang juga pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Sumatera Selatan dan Nusa Tenggara Barat, dituduh menerima imbalan atau ganjaran sebagai balasan untuk siasatan kes rasuah di Kementerian Pertanian.

Dengan pelantikannya pada 2019, beliau menjadi ketua agensi pencegahan rasuah yang pertama disiasat polis kerana disyaki melakukan jenayah rasuah sehingga menjejas nama baik agensi tersebut.

Setakat ini, Encik Firli masih belum ditahan oleh pihak polis dan tiada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa tentang tindakan untuk menahan beliau.

Encik Firli disyaki terlibat dalam kes peras ugut wang daripada Encik Syahrul Yasin Limpo, bekas Menteri Pertanian yang ditahan pada Oktober setelah dituduh menggelapkan lebih AS$800,000 ($1.07 juta) dana awam.

Pengarah Siasatan Jenayah Khas Polis Indonesia, Encik Ade Safri Simanjuntak, memberitahu wartawan pada Rabu bahawa terdapat “bukti yang mencukupi untuk menamakan Ketua KPK itu sebagai suspek dalam kes rasuah berbentuk pemerasan”.

Beberapa tuduhan terhadap Encik Firli dikaitkan dengan kes yang melibatkan Encik Syahrul

Polis menyatakan mereka telah menggeledah dua hartanah serta mengambil keterangan daripada lebih 90 individu dan merampas bukti termasuk dokumen pertukaran wang asing dalam mata wang Singapura dan Amerika Syarikat antara 2021 dengan 2023 dengan nilai lebih 7.4 bilion rupiah ($637,000).

Encik Ade menyatakan pemerasan wang disyaki dilakukan di Kementerian Pertanian dari 2020 hingga 2023.

Dalam sidang akhbar pada Isnin sebelum dinamakan sebagai suspek, Encik Firli beberapa kali menafikan tuduhan yang diajukan terhadapnya sebelum ini dan menyatakan bahawa beliau “tidak pernah memeras sesiapa, dan saya tidak pernah terlibat dalam rasuah... dengan sesiapa pun”.

KPK menolak untuk memberikan keterangan lanjut.

Jika terbukti bersalah, Encik Firli menghadapi hukuman penjara seumur hidup.

Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo pada Khamis menyatakan “agar menghormati proses undang-undang” ketika ditanya tentang Encik Firli yang dinamakan sebagai suspek.

Sebelum ini, Indonesia telah menahan puluhan pegawai pemerintah atas tuduhan rasuah.

Pada 2021, bekas Menteri Hal Ehwal Sosial dihukum penjara 12 tahun setelah didapati bersalah menerima rasuah sebanyak AS$1.2 juta yang berkaitan dengan bantuan makanan untuk keluarga miskin yang terjejas oleh Covid-19. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg