Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas bebaskan 4 tebusan askar Israel dalam pertukaran kedua

Tukar ganti bagi 200 rakyat Palestin sedang jalani hukuman penjara seumur hidup, tempoh panjang di Israel
Jan 25, 2025 | 4:00 PM
Hamas bebaskan empat tebusan askar wanita Israel (dari kiri) Cik Naama Levy, Cik Liri Albag, Cik Daniella Gilboa dan Cik Karina Ariev sebagai pertukaran kedua dengan 200 tahanan Palestin di penjara Israel pada 25 Januari 2025.
Hamas bebaskan empat tebusan askar wanita Israel (dari kiri) Cik Naama Levy, Cik Liri Albag, Cik Daniella Gilboa dan Cik Karina Ariev sebagai pertukaran kedua dengan 200 tahanan Palestin di penjara Israel pada 25 Januari 2025. - Foto EPA-EFE

BAITULMAKDIS: Hamas telah membebaskan empat askar wanita Israel pada 25 Januari sebagai pertukaran bagi sekumpulan tahanan Palestin di bawah perjanjian gencatan senjata yang bertujuan menamatkan perang 15 bulan di Gaza.

Empat askar itu – Cik Karina Ariev, Cik Daniela Gilboa, Cik Naama Levy dan Cik Liri Albag – ditempatkan di pos pemerhatian di pinggir Gaza apabila mereka ditawan oleh anggota Hamas yang menyerbu pangkalan mereka semasa serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Pejabat media tahanan Hamas berkata 200 banduan Palestin dibebaskan pada 25 Januari sebagai sebahagian daripada pertukaran itu.

Pertukaran tebusan dengan tahanan itu adalah yang kedua sejak gencatan senjata dimulakan pada 19 Januari.

Dalam pertukaran pertama, Hamas membebaskan tiga orang awam Israel sebagai ganti bagi 90 tahanan Palestin.

Perjanjian gencatan senjata itu dicapai selepas berbulan-bulan rundingan yang diuruskan oleh Qatar dan Mesir serta disokong oleh Amerika Syarikat.

Gencatan senjata itu telah menghentikan pertempuran sejak gencatan senjata pertama yang berlangsung hanya seminggu pada November 2023.

Dalam fasa enam minggu pertama perjanjian itu, Hamas telah bersetuju untuk membebaskan 33 tebusan, termasuk kanak-kanak, wanita, lelaki berusia senja dan orang sakit serta mereka yang cedera, sebagai pertukaran bagi ratusan tahanan Palestin di penjara Israel.

Tentera Israel juga perlu berundur dari beberapa kawasan di Jaluran Gaza.

Dalam fasa berikutnya, kedua-dua pihak akan merundingkan pertukaran baki tebusan Israel serta pengunduran tentera Israel dari Gaza, yang sebahagian besarnya telah musnah selepas 15 bulan pertempuran dan pengeboman berterusan Israel di wilayah Palestin itu.

Israel melancarkan kempen ketenteraannya ke atas Gaza berikutan serangan mengejut Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober 2023, yang membunuh sekitar 1,200 orang dan menahan lebih 250 sebagai tebusan, menurut pengiraan Israel.

Sejak serangan Israel itu, lebih 47,000 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza, menurut pihak berkuasa kesihatan di wilayah Palestin itu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg