Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas sifatkan pertukaran tebusan tahanan Palestin satu kejayaan

Jan 20, 2025 | 12:46 PM
Pemimpin Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP), Cik Khalida Jarrar (tengah), disambut oleh ahli keluarganya sebaik tiba di Ramallah pada awal pagi 20 Januari. Beliau dibebaskan dari penjara tentera Israel, Ofer, yang terletak di bandar Ramallah, Tebing Barat, sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran banduan antara Israel dengan Hamas. Perjanjian tersebut, yang merangkumi gencatan senjata di Gaza, telah dipersetujui dan mula dilaksanakan pada 19 Januari 2025.
Pemimpin Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP), Cik Khalida Jarrar (tengah), disambut oleh ahli keluarganya sebaik tiba di Ramallah pada awal pagi 20 Januari. Beliau dibebaskan dari penjara tentera Israel, Ofer, yang terletak di bandar Ramallah, Tebing Barat, sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran banduan antara Israel dengan Hamas. Perjanjian tersebut, yang merangkumi gencatan senjata di Gaza, telah dipersetujui dan mula dilaksanakan pada 19 Januari 2025. - Foto EPA-EFE

TEL AVIV: Perjanjian gencatan senjata di Gaza pada 19 Januari menyaksikan satu pertukaran yang dianggap berat sebelah oleh ramai pihak.

Hamas membebaskan tiga wanita Israel yang ditahan di Gaza, manakala Israel dijangka melepaskan 90 wanita dan remaja Palestin dari penjara mereka pada hari yang sama.

Dalam tempoh enam minggu fasa pertama gencatan senjata ini, Hamas dijangka membebaskan 33 tebusan, sementara Israel akan membebaskan kira-kira 1,900 tahanan Palestin.

Ketidakseimbangan ini, walaupun mencetuskan kontroversi, bukan sesuatu yang baru dalam sejarah konflik ini.

Pemerintah Israel telah lama menekankan keutamaan membawa pulang rakyat dan tentera mereka, termasuk yang telah meninggal dunia, walau apa pun kosnya.

Walaupun usaha itu sering mendapat kritikan, keutamaan ini tetap menjadi dasar utama negara tersebut.

Jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Nadav Shoshani, meluahkan rasa kecewa terhadap pertukaran ini.

“Tiga wanita ini diculik dari rumah mereka dan kemudian ditahan secara kejam,” katanya.

“Ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan mereka yang dibebaskan, yang dituduh terlibat dalam aktiviti pengganas,” tambah beliau.

Namun, di pihak Hamas, pertukaran ini dianggap kejayaan dalam usaha membebaskan rakyat Palestin dari penjara Israel.

Sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, yang menyebabkan lebih 1,200 orang Israel terbunuh, kumpulan itu menjadikan pembebasan tahanan Palestin sebagai salah satu matlamat utama mereka.

Bagi ramai rakyat Palestin, keganasan yang dilakukan terhadap Israel dianggap sebagai bentuk penentangan sah terhadap penjajahan yang berpanjangan.

Ramai juga mengkritik sistem kehakiman Israel, yang didakwa sering memenjarakan rakyat Palestin secara tidak adil, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Sejarah panjang pertukaran berat sebelah turut memberi inspirasi kepada pemimpin Hamas.

Encik Yahya Sinwar, yang merupakan ketua politik Hamas dan antara arkitek serangan Oktober 2023, pernah dibebaskan pada 2011 dalam pertukaran 1,000 banduan Palestin untuk seorang tentera Israel, Encik Gilad Shalit.

Encik Sinwar ketika itu bersumpah akan terus berusaha membebaskan lebih ramai banduan, walau apa pun harganya.

Walaupun ramai keluarga tebusan Israel menyokong perjanjian untuk membawa pulang orang tersayang, ada juga yang membantah.

Tikva Forum, kumpulan yang mewakili sebahagian keluarga tebusan, menentang perjanjian ini.

Dalam satu kenyataan, mereka menyifatkan perjanjian ini sebagai memberi peluang kepada Hamas untuk terus mencetuskan keganasan.

“Kami menentang perjanjian dengan Hamas, organisasi pengganas yang sepatutnya dimusnahkan,” kata kumpulan itu.

“Perjanjian ini bukan sahaja meninggalkan ramai tebusan di Gaza, tetapi juga membuka jalan kepada penculikan masa depan.”

Pertukaran berat sebelah ini bukan sesuatu yang luar biasa.

Pada 2003, Hezbollah bertukar tahanan dengan Israel, melibatkan seorang kolonel Israel yang diculik dan lebih 400 tahanan Palestin.

Pada 1985, Israel melepaskan lebih 1,100 tahanan sebagai pertukaran untuk tiga tentera yang ditawan semasa pencerobohan ke atas Lubnan.

Seorang ayah kepada dua anak lelaki yang masih ditahan di Gaza, Encik Itzik Horn, menyatakan sokongan terhadap pertukaran ini.

“Lepaskan semua tahanan Palestin jika perlu. Kemenangan sebenar ialah membawa pulang semua tebusan,” katanya penuh emosi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg