TEL AVIV: Beribu-ribu rakyat Israel berkumpul di Dataran Tebusan di Tel Aviv, ada yang bersorak dan ada yang menangis, ketika skrin televisyen gergasi menyiarkan pembebasan tiga tebusan pertama di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza berkuat kuasa mulai 19 Januari.
Mereka memerhati ketika tiga wanita itu – Cik Romi Gonen, Cik Doron Steinbrecher dan Cik Emily Damari – keluar dari kereta di Bandar Gaza dan diserahkan kepada pegawai Palang Merah di tengah-tengah orang ramai yang dikawal oleh lelaki bersenjata berpakaian tentera dengan ikatan kepala Hamas berwarna hijau.
“Saya teruja, saya sangat gementar kerana mereka selamat dan pulang ke pangkuan ibu masing-masing selepas ditahan Hamas selama 471 hari,” kata Cik Shay Dickmann, yang sepupunya ditemui terbunuh dalam serangan mengejut anggota Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober 2023.
Tentera Israel berkongsi video yang menunjukkan keluarga mereka menangis ketika menonton rakaman penyerahan tebusan kepada tentera Israel sebelum mereka dibawa pulang ke Israel.
Gambar yang dikongsi oleh keluarga itu menunjukkan tiga wanita itu memeluk ibu mereka di pusat penerimaan tetamu, dengan Cik Damari tersenyum lebar dan melambai tangan kepada keluarganya.
Selepas pagi yang mencemaskan, menunggu berita sama ada Cik Damari akan menjadi salah seorang daripada tiga tebusan yang dibebaskan pada 19 Januari, rakan-rakan dan kaum keluarganya menghela nafas lega.
“Kami tidak mempunyai sebarang tanda kehidupan daripadanya lebih setahun dan ini adalah kali pertama kami melihatnya berjalan. Kami hanya menunggu di sini untuk memeluknya dan menyatakan betapa kami sayangkannya,” kata Encik Guy Kleinberger.
Ketiga-tiga tebusan kemudian diterbangkan ke hospital di Tel Aviv dengan helikopter untuk pemeriksaan lanjut.
“Romi, Doron, Emily,” seluruh negara memeluk anda,” kata Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu.
Pembebasan tiga wanita itu, yang pertama daripada 33 tebusan yang akan dibebaskan dari Gaza di bawah fasa satu perjanjian itu, adalah sebagai pertukaran untuk 90 tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg