Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas dakwa Israel langgar gencatan, desak undur dari Koridor Philadelphi

Mar 14, 2025 | 4:39 PM
Pekerja pertahanan awam Palestin membongkar mayat yang dikebumikan di kawasan hospital Al-Shifa di Bandar Gaza pada 13 Mac.
Pekerja pertahanan awam Palestin membongkar mayat yang dikebumikan di kawasan hospital Al-Shifa di Bandar Gaza pada 13 Mac. - Foto AFP

BANDAR GAZA: Kumpulan Hamas pada 13 Mac memperbaharui tuntutan agar tentera Israel berundur daripada selatan Gaza, menuduh Israel melanggar syarat gencatan senjata dalam rundingan pada fasa perjanjian seterusnya.

Jurucakap Hamas, Encik Hazem Qassem berkata bahawa tentera Israel sepatutnya berundur daripada sebidang tanah di sepanjang sempadan Gaza-Mesir di bawah fasa pertama gencatan senjata yang bermula pada 18 Januari.

Namun, Hamas menuduh Israel menyimpan tenteranya di Koridor Philadelphi yang strategik itu.

Israel menegaskan ia perlu mengekalkan kawalan ke atas koridor berkenaan untuk menghalang penyeludupan senjata ke wilayah Palestin daripada Mesir.

Encik Qassem menyatakan bahawa koridor itu telah menjadi salah satu titik penting dalam rundingan melibatkan perantara Qatar dan Amerika Syarikat di Doha pada fasa gencatan senjata seterusnya.

“Laporan menunjukkan cadangan baru sedang dibentangkan dengan tujuan untuk memintas perjanjian Gaza.

“Pertemuan diteruskan dengan perantara di Doha. Kami mematuhi apa yang dipersetujui dan memasuki fasa kedua,” tambahnya.

Tetapi beliau menegaskan bahawa Israel juga mesti memenuhi kewajipannya “berundur daripada seluruh Jaluran Gaza” dan “mulakan penarikan diri daripada Koridor Philadelphi” untuk meneruskan sebarang perjanjian fasa kedua bagi menamatkan perang yang bermula dengan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

“Israel tidak melaksanakan protokol kemanusiaan perjanjian Gaza. Israel telah menghentikan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza sejak 2 Mac untuk menyokong tuntutannya agar Hamas membebaskan semua baki tebusan.

“Kami tidak mahu kembali berperang lagi dan jika Israel meneruskan pencerobohannya, kami tidak mempunyai pilihan selain mempertahankan rakyat kami,” kata Encik Qassem lagi.

Fasa pertama gencatan senjata berakhir pada 1 Mac tanpa persetujuan bagi fasa berikutnya.

Israel setakat ini hanya bersetuju melanjutkan syarat gencatan senjata fasa pertama.

Fasa kedua bertujuan untuk membawa kepada pengunduran tentera Israel sepenuhnya daripada Gaza sebagai sebahagian daripada proses menamatkan perang yang telah memusnahkan Gaza dan menyebabkan puluhan ribu rakyat Palestin terkorban.

Perunding Israel pergi ke Doha minggu ini untuk mengambil bahagian dalam rundingan gencatan senjata itu. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg