Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel potong bekalan elektrik Gaza jelang rundingan fasa kedua gencatan senjata

Usaha tingkat tekanan ke atas Hamas supaya bebaskan baki tebusan
Mar 10, 2025 | 2:24 PM
Penduduk Palestin di bandar Beit Lahia, yang telah musnah di utara Gaza, meneruskan kehidupan meskipun dalam serba kekurangan dalam bulan Ramadan.
Penduduk Palestin di bandar Beit Lahia, yang telah musnah di utara Gaza, meneruskan kehidupan meskipun dalam serba kekurangan dalam bulan Ramadan. - Foto EPA-EFE

BAITULMAKDIS: Israel telah mengarahkan pemberhentian serta-merta bekalan elektrik Gaza pada 9 Mac dalam usaha meningkatkan tekanan ke atas Hamas supaya membebaskan baki tebusan, dalam pada ia bersedia untuk rundingan gencatan senjata baru dengan kumpulan Palestin itu.

Keputusan Israel itu dibuat seminggu selepas ia menyekat semua bekalan bantuan kemanusiaan ke wilayah yang dilanda perang dan hampir musnah keseluruhannya.

Fasa awal gencatan senjata berakhir pada 1 Mac dan kedua-dua pihak telah mengelak daripada kembali berperang habis-habisan walaupun keganasan sekali-sekala tercetus termasuk serangan udara pada 9 Mac yang Israel dakwa khusus untuk menyasarkan anggota militan.

Hamas telah berulang kali menggesa agar rundingan dimulakan segera bagi fasa kedua gencatan senjata yang dirundingkan hasil perantaraan Amerika Syarikat, Qatar dan Mesir bagi menamatkan perang secara kekal.

Israel berkata ia lebih cenderung melanjutkan fasa satu sehingga pertengahan April, dan menghentikan bantuan ke Gaza ekoran rundingan yang menemui jalan buntu.

Pada 9 Mac, Israel mengarahkan pula pemotongan bekalan elektrik ke Gaza.

“Saya baru sahaja menandatangani arahan untuk menghentikan bekalan elektrik serta-merta ke Jaluran Gaza.

“Kami akan menggunakan semua alat yang kami ada untuk membawa pulang tebusan dan memastikan Hamas tidak lagi berada di Gaza sehari selepas perang,” kata Menteri Tenaga Israel, Encik Eli Cohen, dalam satu kenyataan video.

Hanya beberapa hari selepas perang meletus pada 7 Oktober 2023, Israel memotong bekalan elektrik ke Gaza – memulihkannya pada pertengahan 2024.

Talian kuasa tunggal antara Israel dengan Gaza membekalkan loji penyahgaraman utama, dan rakyat Gaza kini bergantung kepada panel solar dan penjana berkuasa bahan api untuk menghasilkan elektrik.

Ratusan ribu rakyat Palestin kini tinggal di khemah di serata Gaza, dengan suhu pada waktu malam kini diramalkan sekitar 12 darjah Celsius.

“Kami menyeru perantara di Mesir dan Qatar, serta penjamin dalam pentadbiran Amerika supaya memastikan Israel mematuhi perjanjian... dan meneruskan fasa kedua mengikut syarat yang dipersetujui,” kata jurucakap Hamas, Encik Hazem Qassem.

Mengulas tindakan itu, Hamas menyifatkan ia sebagai ‘pemerasan’, istilah yang turut digunakan selepas Israel menyekat bantuan ke Gaza.

Tuntutan utama Hamas untuk fasa kedua termasuk pertukaran tebusan dengan tahanan Palestin, pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza, gencatan senjata kekal, pembukaan semula sempadan dan menarik balik sekatan, katanya.

Selepas bertemu pengantara, seorang lagi jurucakap Hamas, Encik Abdel Latif al-Qanoua, berkata penunjuk setakat ini “positif”.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata ia akan menghantar perwakilan ke Doha pada 10 Mac.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg