KAHIRAH: Seorang pegawai kanan Hamas berkata pusingan baru rundingan gencatan senjata Gaza bermula pada 11 Mac di ibu negara Qatar, Doha.
“Pusingan baru rundingan gencatan senjata bermula hari ini. Pergerakan kami menangani rundingan ini secara positif dan bertanggungjawab,” kata Encik Abdul Rahman Shadid, dalam satu kenyataan.
Israel juga telah menghantar satu pasukan untuk menyertai rundingan yang bertujuan melanjutkan gencatan senjata yang rapuh di Gaza, tetapi setakat ini tidak mengulas mengenai rundingan tersebut.
“Kami berharap pusingan rundingan ini membawa kemajuan ketara ke arah memulakan fasa kedua,” ujar Encik Shadid.
Beliau turut melahirkan harapan agar utusan Amerika Syarikat di Timur Tengah, Encik Steve Witkoff, akan membantu “memulakan rundingan untuk fasa kedua perjanjian gencatan senjata”.
“Pentadbiran Amerika memikul tanggungjawab kerana sokongan yang tidak berbelah-bahagi terhadap pemerintah Israel,” tambahnya.
Fasa 42 hari pertama perjanjian gencatan senjata berakhir pada awal Mac tanpa persetujuan bagi melanjutkan fasa berikutnya yang bertujuan untuk menjamin pengakhiran peperangan yang meletus selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel.
Terdapat pandangan berbeza tentang cara meneruskan perjanjian – Hamas mahu rundingan segera untuk fasa seterusnya manakala Israel mahu melanjutkan fasa pertama.
Menerusi satu kenyataan pada 10 Mac, Hamas menuduh Israel mengingkari perjanjian gencatan senjata kerana “enggan memulakan fasa kedua”.
Menjelang pusingan baru rundingan tersebut, Israel telah menghentikan bekalan elektrik ke satu-satunya loji penyahgaraman Gaza, satu langkah yang dikutuk Hamas sebagai “pemerasan kejam dan tidak boleh diterima”.
Israel juga telah menyekat penghantaran bantuan ke Gaza di tengah-tengah kebuntuan mengenai gencatan senjata.
Hamas berkata dalam satu kenyataan berasingan: “Menolak penyaluran makanan, ubat-ubatan, bahan api dan bantuan asas telah menyebabkan kenaikan harga makanan dan kekurangan bekalan perubatan yang serius, memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza.”
Fasa awal gencatan senjata yang diusahakan oleh Qatar, Mesir dan Amerika bermula pada 19 Januari dan telah membantu mengurangkan permusuhan selepas lebih 15 bulan pertempuran tanpa henti di Gaza. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg