Topik diikuti
Pergi ke BHkuHamas dilapor sedia serah senjata polis di Gaza
Hamas dilapor sedia serah senjata polis di Gaza
Hamas dilapor sedia serah senjata polis di Gaza
KAHERAH: Hamas dilapor bersedia menyerahkan ribuan senjata automatik dan peralatan milik pasukan polis serta perkhidmatan keselamatan dalaman di Gaza, dalam satu langkah yang dilihat sebagai perubahan ketara dalam pendirian kumpulan itu.
Dua pegawai Hamas yang enggan dikenali berkata kepada The New York Times, senjata tersebut boleh diserahkan kepada jawatankuasa pentadbiran Palestin yang disokong Amerika Syarikat, yang ditubuhkan bagi mengurus Gaza di bawah pelan gencatan senjata.
“Langkah ini sebahagian daripada persediaan untuk penyerahan kuasa penuh kepada pentadbiran baharu,” kata Hamas dalam kenyataan bertulis.
Namun, cadangan itu tidak melibatkan pembubaran sayap ketenteraan Hamas, sekali gus menunjukkan kumpulan tersebut masih mahu mengekalkan pengaruh di Gaza.
Pelan damai yang dikendali Amerika Syarikat menuntut pelucutan senjata sepenuhnya Hamas serta penyingkiran mereka daripada pentadbiran Gaza, sebagai syarat utama bagi pengunduran tentera Israel dan usaha pembinaan semula wilayah itu.
Apabila ditanya sama ada senjata sayap ketenteraan juga akan diserahkan, pegawai Hamas tidak memberikan jawapan jelas.
Penganalisis menganggarkan sayap ketenteraan Hamas memiliki puluhan ribu senjata automatik serta senjata berat seperti roket anti-kereta kebal, jauh melebihi aset pasukan polis.
Kenyataan itu dibuat ketika wakil Hamas dan pihak berkaitan sedang mengadakan rundingan di Kaherah bagi mencari jalan ke arah gencatan senjata kekal.
Sejak serangan 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang di Gaza, pemimpin Hamas di Gaza jarang berkomunikasi dengan media antarabangsa atas faktor keselamatan. Walaupun begitu, kepimpinan di Gaza kekal memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju rundingan dan masa depan politik kumpulan itu.
Menurut penganalisis politik, kenyataan tersebut mungkin menandakan perubahan strategi Hamas dalam menghadapi tekanan antarabangsa.
“Hamas mungkin cuba mengelak daripada menolak pelan damai secara terbuka,” kata Profesor Sains Politik Universiti Al Azhar di Gaza, Encik Mkhaimar Abusada. “Jika mereka benar-benar menyerahkan senjata polis, ia boleh membuka ruang kepada rundingan lebih besar mengenai pelucutan senjata secara menyeluruh,” katanya.
Pegawai Hamas turut memaklumkan bahawa kumpulan itu telah mengadakan sekurang-kurangnya tiga pertemuan di Bandar Gaza dengan kumpulan bersenjata lain dan pegawai pemerintah bagi membincangkan peralihan pentadbiran kepada jawatankuasa baharu. “Hamas telah melengkapkan semua persiapan untuk penyerahan kuasa penuh,” kata mereka.
Bagaimanapun, proses itu masih tertangguh kerana jawatankuasa pentadbiran baharu belum beroperasi sepenuhnya di Gaza dan kini hanya berfungsi dari Kaherah. Sebagai langkah awal, pihak berkuasa di Gaza telah membekukan pelantikan baharu dan kenaikan pangkat dalam sektor awam.
Walaupun tidak menuntut perwakilan rasmi dalam pentadbiran baharu, Hamas memberi isyarat bahawa mereka tetap mahu terlibat dalam politik Palestin. Kumpulan itu juga menegaskan akan terus menentang Israel sehingga sebuah negara Palestin merdeka ditubuhkan.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, sebelum ini berikrar untuk melucutkan senjata Hamas secara paksa jika perlu, meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan konflik baharu.
Di lapangan, penduduk Gaza terus berdepan kesan peperangan yang berpanjangan. “Kami rakyat biasa di Gaza hanya mahu keadaan ini berakhir,” kata Encik Saed Abu Aita, 45 tahun, yang kehilangan dua anak perempuan dalam serangan udara Israel. “Kami mahu Hamas meletakkan senjata dan tentera Israel berundur,” katanya lagi. - Agensi berita
