KAHERAH: Kumpulan Hamas pada 11 Ogos meminta pengantara membentangkan rancangan berdasarkan rundingan sebelum ini, daripada terlibat dalam rundingan baru bagi perjanjian gencatan senjata di Gaza.
Pendirian kumpulan Palestin itu menimbulkan keraguan mengenai penyertaannya dalam sebuah mesyuarat pada 15 Ogos yang dirancang oleh pengantara.
Minggu lalu, pemimpin Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar menggesa Israel dan Hamas supaya bertemu bagi rundingan pada 15 Ogos, yang akan diadakan di Kahirah atau Doha untuk memuktamadkan perjanjian gencatan senjata Gaza dan perjanjian pembebasan tebusan.
Israel berkata ia akan menghantar perunding untuk menyertai mesyuarat itu. Hamas pada mulanya berkata ia sedang mengkaji tawaran itu tetapi kini membayangkan ia mungkin tidak menyertai pusingan baru rundingan itu.
“Hamas menyeru pengantara supaya membentangkan satu rancangan untuk melaksanakan apa yang dipersetujui oleh pergerakan ini pada 2 Julai 2024, berdasarkan visi (Presiden Joe) Biden dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
“Pengantara harus menguatkuasakan perkara ini ke atas pendudukan (Israel) daripada meneruskan rundingan lanjut atau cadangan baru yang akan memberi perlindungan kepada pencerobohan pendudukan dan memberinya lebih masa untuk meneruskan pembunuhan beramai-ramai rakyat kami,” tambah kenyataan itu.
Hamas berkata ia telah menunjukkan fleksibiliti sepanjang proses rundingan tetapi tindakan Israel, termasuk apa yang Hamas katakan sebagai pembunuhan ketua kumpulan itu, Encik Ismail Haniyeh, di Teheran akhir bulan lalu, menunjukkan ia tidak serius untuk meneruskan perjanjian gencatan senjata.
Israel tidak menafikan atau mengaku bertanggungjawab bagi pembunuhan tersebut.
Presiden Biden membentangkan cadangan gencatan senjata tiga fasa dalam satu ucapan pada 31 Mei.
Washington dan pengantara serantau sejak itu cuba mengatur perjanjian gencatan senjata Gaza untuk tebusan tetapi menghadapi halangan berulang kali.
Pengumuman rundingan terbaru itu dibuat selepas Hamas menamakan Encik Yahya Sinwar, yang didakwa menjadi dalang serangan 7 Oktober kumpulan itu di selatan Israel, sebagai pemimpin barunya, mencetuskan kebimbangan rundingan yang beluam nampak penghujungnya itu menjadi lebih sukar.
Secara berasingan, risiko perang Timur Tengah merebak meningkat selepas pembunuhan Encik Haniyeh dan seorang komander tentera Hezbollah, Encik Fuad Shukr, di Beirut, baru-baru ini menimbulkan ancaman tindakan balas terhadap Israel.
Israel melancarkan serangan ke atas Gaza selepas serangan pada 7 Oktober itu, yang membunuh 1,200 orang dan membuat lebih 240 orang menjadi tebusan Hamas.
Hampir 40,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel itu.
Serangan berterusan Israel itu meletak Gaza, yang dikepungnya, di ambang kebuluran dek kekurangan makanan, ubat-ubatan, bekalan elektrik dan air serta dilanda masalah penyakit berjangkit. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg