Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas, Fatah bincang isu dan usaha bersama di Gaza

Antara usul termasuk wujudkan jawatankuasa bagi kendali keperluan Gaza
Nov 5, 2024 | 3:40 PM
Hamas dan kumpulan Fatah telah mengadakan perbincangan di Kahirah, Mesir, mengenai isu dan perang Gaza yang berlanjutan lebih setahun.
Hamas dan kumpulan Fatah telah mengadakan perbincangan di Kahirah, Mesir, mengenai isu dan perang Gaza yang berlanjutan lebih setahun. - Foto REUTERS

JALURAN GAZA: Seorang pemimpin kanan Hamas mengumumkan pada 4 November bahawa pergerakan itu telah mengadakan perbincangan dengan Fatah tentang membentuk jawatankuasa bagi menguruskan isu berkaitan Gaza.

“Susulan pertemuan antara pimpinan pergerakan kami dengan pelbagai puak Palestin, kami mengadakan pertemuan dengan saudara-saudara kami di Fatah, dijemput dengan baik oleh Mesir,” kata pemimpin Hamas, Encik Osama Hamdan, dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen.

Beliau menambah bahawa kedua-dua pucuk pimpinan membincangkan isu utama, memberi tumpuan kepada perang di Gaza dan keperluan untuk tindakan bersatu berdasarkan konsensus Palestin, menolak sebarang pengaturan yang dikenakan.

Encik Hamdan menegaskan bahawa pengurusan hal ehwal Palestin, sama ada di Gaza, Tebing Barat atau diaspora Palestin, adalah perkara yang perlu ditentukan semata-mata melalui perjanjian peringkat nasional.

Menurut beliau, pertemuan dengan Fatah membincangkan idea seperti mewujudkan jawatankuasa untuk mengendalikan keperluan dan hal ehwal Gaza sehingga keadaan membenarkan pembentukan perpaduan negara.

Beliau menyifatkan suasana pertemuan itu sebagai “positif” dan “terbuka”.

Ini adalah kali pertama pengumuman rasmi dibuat mengenai pertemuan antara Hamas dengan Fatah bagi membincangkan pengaturan pascaperang untuk Gaza.

Pada 2 November, media Mesir melaporkan bahawa wakil daripada Fatah dan Hamas sedang mengadakan perbincangan di Kahirah, memetik seorang pegawai keselamatan Mesir sebagai menyatakan demikian.

Di samping itu, Encik Hamdan menegaskan semula keterbukaan pergerakannya terhadap sebarang cadangan bagi memastikan penamatan “pencerobohan”, pengunduran tentera Israel daripada Gaza, pemulangan orang yang dipindahkan, bantuan untuk penduduk, pencabutan sekatan, pembinaan semula dan perjanjian pertukaran banduan.

Mengenai pilihan raya presiden Amerika yang berlangsung 5 November, Encik Hamdan berkata: “Walau apa pun keputusannya, ia tidak melibatkan pergerakan itu.”

Menurut beliau, kedua-dua pentadbiran Amerika sebelum ini dan semasa, telah menjadi “rakan kongsi dan penyokong Israel dalam peperangannya terhadap rakyat Palestin dan bagi tujuan memenuhi kepentingan nasional mereka”.

Media sebelum ini melaporkan bahawa pemimpin Hamas dan pergerakan Fatah pimpinan Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, telah membincangkan rancangan kerjasama pascaperang di Gaza dalam rundingan pusingan baru di Kahirah pada 9 Oktober.

Rundingan tersebut adalah yang pertama sejak dua kumpulan itu bertemu di China pada Julai dan bersetuju dengan gagasan membentuk pemerintah perpaduan Palestin bagi Gaza dan Tebing Barat, yang diduduki Israel.

Rancangan tersebut sebahagian daripada usaha yang telah lama berjalan tetapi gagal untuk memulihkan perpecahan yang berlaku apabila Hamas menguasai Gaza dalam konflik singkat dengan Fatah pada 2007.

Dalam rundingan pada 9 Oktober itu, delegasi Hamas diketuai Encik Khalil Al-Hayya, komander kedua yang juga ketua perunding kumpulan berpangkalan di Qatar itu dan Fatah diketuai komander kedua yang juga ketua perundingnya, Encik Mahmoud Al-Aloul. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg