Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas, Fatah bincang kerjasama pascaperang Gaza

Oct 10, 2024 | 1:11 PM
Seorang lelaki mendukung kanak-kanak ketika berpindah di kem Jabalia untuk pelarian Palestin di utara Gaza pada 9 Oktober sedang kumpulan Hamas dan Fattah  mengadakan rundingan mengenai pentadbiran pascaperang di Kahirah, Mesir pada 9 Oktober.
Seorang lelaki mendukung kanak-kanak ketika berpindah di kem Jabalia untuk pelarian Palestin di utara Gaza pada 9 Oktober sedang kumpulan Hamas dan Fattah mengadakan rundingan mengenai pentadbiran pascaperang di Kahirah, Mesir pada 9 Oktober. - Foto AFP

KAHIRAH: Pemimpin Hamas dan pergerakan Fatah pimpinan Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, membincangkan rancangan kerjasama pascaperang di Gaza dalam rundingan pusingan baru di Kahirah pada 9 Oktober, kata seorang pegawai Hamas.

Rundingan tersebut adalah yang pertama sejak dua kumpulan itu bertemu di China pada Julai dan bersetuju dengan gagasan membentuk pemerintah perpaduan Palestin bagi Gaza dan Tebing Barat, yang diduduki Israel.

Rancangan tersebut sebahagian daripada usaha yang telah lama berjalan tetapi gagal untuk memulihkan perpecahan yang berlaku apabila Hamas menguasai Gaza dalam konflik singkat dengan Fatah pada 2007.

Delegasi Hamas diketuai Encik Khalil Al-Hayya, komander kedua yang juga ketua perunding kumpulan berpangkalan di Qatar itu, kata pegawai media Hamas, Encik Taher Al-Nono.

Delegasi Fatah diketuai komander kedua yang juga ketua perundingnya, Encik Mahmoud Al-Aloul.

“Mesyuarat membincangkan pencerobohan Israel di Jaluran Gaza, dan cabaran yang dihadapi dalam perjuangan Palestin,” kata Encik Al-Nono.

Isu pentadbiran Gaza selepas perang Israel-Hamas berakhir adalah antara isu paling getir yang dihadapi rakyat Palestin.

Israel, yang memulakan kempen ketenteraannya untuk menghapuskan Hamas di Gaza selepas serangan Hamas ke atas penduduk di selatan Israel pada 7 Oktober 2023, telah menolak kemasukan kumpulan itu dalam pentadbiran pascaperang.

Hamas berkata ia tidak mempercayai Penguasa Palestin pimpinan Encik Abbas yang mentadbir sebahagian daripada Tebing Barat untuk melaksanakan tugas pentadbiran itu.

Kumpulan Palestin menyatakan rancangan pascaperang mereka adalah urusan dalaman, dan menolak syarat Israel.

Pada Julai, 14 kumpulan Palestin, termasuk Hamas dan Fatah, bertemu di China dan bersetuju untuk mencapai “perpaduan nasional yang menyeluruh” di bawah naungan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Seorang pegawai Palestin yang biasa dengan rundingan itu berkata, jika tiada pemerintah perpaduan dipersetujui, kumpulan itu mungkin cuba membentuk jawatankuasa untuk mengendalikan Gaza dan membantu menguruskan lintasan sempadannya.

Bentuk dan tanggungjawab jawatankuasa yang dicadangkan itu masih tidak jelas, kata pegawai berkenaan, yang enggan namanya disiarkan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg