TUBAS (Tebing Barat): Penguasa Palestin (PA) telah mengumpulkan militan yang berjuang menentang Israel dan mencabar pemerintahannya dengan tujuan menunjukkan bahawa mereka boleh membantu membentuk masa depan untuk rakyat Palestin selepas perang di Gaza.
PA yang dipimpin Presiden Mahmoud Abbas berkata pihaknya telah menambah kekuatan pasukannya di Tubas di Tebing Barat untuk mencegah pelanggaran undang-undang dan menafikan alasan Israel untuk menyerang wilayah yang diduduki Israel itu.
Musuh militannya – Hamas dan Jihad Islam – berkata PA sedang melaksanakan agenda Israel ketika Israel cuba menghapuskan mereka di Tebing Barat dan sekali gus memburukkan perpecahan lama antara militan dengan Encik Abbas.
Ia menyerlahkan kedudukan tidak menentu PA yang dibentuk pada 1994 sebagai batu loncatan kepada sebuah negeri di Tebing Barat dan Jaluran Gaza dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu kotanya.
Namun, prospek gagasan tersebut kelihatan sukar dicapai meskipun PA giat berusaha di peringkat antarabangsa sebagai cara untuk membawa keamanan.
PA mengawal Gaza sehingga 2007 apabila Hamas menghalau pasukan yang setia kepada Encik Abbas, tetapi kini terhad kepada kawasan Tebing Barat di bawah pengawasan tentera Israel.
Ketika Israel menyerang Gaza untuk menghapuskan Hamas, Amerika Syarikat telah berkata ia mahu melihat wilayah itu dan Tebing Barat bersatu di bawah PA.
Menurut pegawai Fatah dan sumber keselamatan, bagi Encik Abbas, 88 tahun, kempen di Tubas sebahagiannya adalah untuk melemahkan cengkaman musuh militan Palestin ke atas utara Tebing Barat.
Ia juga sebagai menyangkal pengkritik yang melihat PA sebagai tidak berkesan – reputasi yang telah membayangi usaha diplomatik oleh Amerika berhubung peranan yang mungkin dimainkannya di Gaza, kata bekas pegawai keselamatan PA dan seorang penganalisis.
Gabenor Tubas, Encik Ahmed al-Asaad, berkata PA telah memutuskan untuk menyerang dengan “tangan besi” terhadap apa yang disifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang dan anarki.
Dua anggota keselamatan PA telah cedera ketika pasukan mereka memerangi anggota ‘Batalion Tubas’, sebuah kumpulan bersenjata Jihad Islam, dan menahan sekurang-kurangnya tiga anggotanya termasuk ketuanya. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg