Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas: Isu Israel tangguh pembebasan tahanan Palestin dihurai

Tahanan Palestin akan dibebas serentak dengan penyerahan mayat tebusan Israel yang terbunuh
Feb 26, 2025 | 3:03 PM
Anggota kumpulan Hamas berkawal semasa penyerahan tiga tebusan Israel kepada wakil Palang Merah di Gaza pada 22 Februari. Israel bertegas Hamas tidak boleh mempunyai apa-apa peranan dalam pentadbiran Gaza pada masa hadapan.
Anggota kumpulan Hamas berkawal semasa penyerahan tiga tebusan Israel kepada wakil Palang Merah di Gaza pada 22 Februari. Israel bertegas Hamas tidak boleh mempunyai apa-apa peranan dalam pentadbiran Gaza pada masa hadapan. - Foto EPA-EFE

KAHIRAH: Hamas berkata pada 25 Februari bahawa delegasinya telah mencapai persetujuan mengenai penyelesaian isu kelewatan pembebasan tahanan Palestin oleh Israel.

Penyelesaiannya ialah membebaskan tahanan Palestin serentak dengan penyerahan mayat tebusan Israel yang terbunuh di bawah fasa pertama perjanjian gencatan senjata, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Hamas berkata delegasinya, yang diketuai pemimpinnya di Gaza, Encik Khalil Al-Hayya, telah mengulangi komitmen terhadap perjanjian gencatan senjata “dengan semua peringkat dan syarat yang telah ditetapkan”.

“Mereka (tahanan Palestin) akan dibebaskan serentak dengan mayat tebusan Israel yang dipersetujui untuk diserahkan semasa fasa pertama, sebagai tambahan kepada tahanan wanita dan kanak-kanak Palestin,” tambah Hamas.

Terdapat perselisihan mengenai pembebasan lebih 600 rakyat Palestin, yang ditangguhkan oleh Israel, menuduh Hamas melanggar perjanjian dengan mengadakan acara mengenai penyerahan tebusan Israel di Gaza.

Kenyataan Hamas menyatakan krisis yang boleh menjejas perjanjian gencatan senjata itu telah dapat dielakkan.

Tiada komen segera daripada Israel.

Pada 25 Februari, pegawai Israel berkata pihaknya sedang menimbangkan lanjutan gencatan senjata 42 hari di Gaza khusus untuk membawa pulang baki 63 tebusan.

Perjanjian mengenai masa depan wilayah Palestin ditangguhkan buat masa ini.

Fasa awal perjanjian gencatan senjata, yang dilaksanakan dengan sokongan Amerika Syarikat dan bantuan perantara Mesir dan Qatar pada 19 Januari, akan berakhir pada 1 Mac.

Namun, masih belum jelas apakah yang akan berlaku selanjutnya.

Pegawai Hamas, Encik Basem Naim, berkata kemajuan tidak boleh dibuat semasa tahanan masih ditahan, tetapi Hamas komited untuk gencatan senjata kekal dan pengunduran sepenuhnya tentera Israel.

Perjanjian itu, termasuk pembebasan 33 tebusan Israel sebagai balasan kepada kira-kira 2,000 banduan Palestin yang ditahan di penjara Israel dan pengunduran tentera Israel daripada Gaza, telah terselamat daripada pelbagai masalah.

Setakat ini, 29 tebusan Israel – di samping lima warga Thailand – telah dibebaskan sebagai pertukaran dengan ratusan banduan Palestin.

Empat lagi mayat tebusan dijangka diserahkan kepada Israel pada 27 Februari.

Perang meletus di Gaza ekoran serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh lebih 1,200 orang dan menahan lebih 240 tebusan.

Serangan balas Israel pula telah membunuh lebih 48,000 rakyat Palestin.

Israel bertegas Hamas tidak boleh memainkan peranan dalam pentadbiran Gaza dan juga menolak peranan Penguasa Palestin di wilayah itu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg