BAITULMAKDIS: Tentera Israel mengumumkan pada 21 Februari bahawa salah satu mayat yang dikembalikan oleh Hamas bukan milik mana-mana tahanan yang ditahan di Gaza.
Ia menuduh Hamas melanggar gencatan senjata yang memang rapuh.
Dua jenazah yang dikembalikan dikenali sebagai Kfir Bibas, seorang bayi berusia sembilan bulan, dan abangnya yang berusia empat tahun, Ariel.
Manakala satu lagi mayat yang sepatutnya ibu mereka, Cik Shiri Bibas, tidak sepadan dengan mana-mana tahanan yang dikenal pasti dan masih belum dikenali, kata tentera Israel dalam satu kenyataan.
“Ini adalah pelanggaran yang sangat serius oleh pertubuhan pengganas Hamas, yang menurut perjanjian sepatutnya mengembalikan empat tahanan yang telah meninggal dunia,” kata tentera Israel.
Ia turut menuntut pengembalian mayat Cik Shiri dan semua tahanan lain.
Sementara itu, keluarga Encik Oded Lifshitz, salah seorang tahanan yang dibebaskan, mengesahkan bahawa mayatnya telah dikenal pasti.
Tidak ada reaksi segera daripada Hamas berkenaan dakwaan tersebut.
Tentera Palestin menyerahkan empat keranda hitam dalam satu acara awam yang tersusun rapi pada 20 Februari, dengan disaksikan oleh ribuan rakyat Palestin dan puluhan militan Hamas yang bersenjata.
Ia menjadi satu acara yang dikecam Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Emcik Antonio Guterres, sebagai tidak menghormati jenazah.
Mayat yang dikatakan milik kanak-kanak tersebut, ibu mereka, dan Encik Lifshitz, diserahkan mengikut perjanjian gencatan senjata Gaza yang dicapai pada Januari, dengan sokongan Amerika Syarikat dan melalui usaha perantara Qatar dan Mesir.
Orang ramai di Israel berhimpun di sepanjang jalan berhampiran sempadan Gaza untuk memberi penghormatan ketika konvoi membawa keranda tersebut melalui kawasan tersebut.
Di Tel Aviv, beberapa orang berkumpul, ada yang menangis, di dataran awam bertentangan dengan Ibu Pejabat Pertahanan Israel yang dikenali sebagai Dataran Tahanan.
Dalam ucapan yang dirakam setelah mayat-mayat tahanan diserahkan, Encik Netanyahu berikrar memusnahkan Hamas, sambil berkata:
“Empat keranda ini” memaksa Israel untuk memastikan langkah “lebih tegas dari sebelumnya” agar serangan 7 Oktober tidak akan berulang.
Kfir Bibas berusia sembilan bulan ketika keluarga Bibas, termasuk ayah mereka Encik Yarden Bibas, diculik di Kibbutz Nir Oz, salah sebuah dari beberapa ruang masyarakat dekat Gaza yang diserang Hamas.
Hamas mengumumkan pada November 2023 bahawa Kfir dan ibunya telah terbunuh dalam serangan udara Israel, tetapi kematian mereka tidak disahkan oleh pihak berkuasa Israel.
Encik Bibas merupakan antara tahanan hidup yang dipulangkan dalam pertukaran pada awal Februari.
Sementara itu, Encik Lifshitz, bekas wartawan berusia 83 tahun, diculik dari kibbutz Nir Oz, tempat beliau membantu menubuhkan masyarakat tersebut.
Isterinya, Cik Yocheved, yang berusia 85 tahun ketika itu, turut diculik bersamanya dan dibebaskan dua minggu kemudian, bersama seorang wanita lain.
Pemulangan mayat itu menandakan pengembalian pertama melibatkan mayat dalam perjanjian gencatan senjata yang sedang berlangsung.
Tentera Israel menyatakan bahawa kanak-kanak Bibas dibunuh semasa dalam tahanan pada November 2023 oleh “pengganas”.
Pejabat Perdana Menteri Israel sebelumnya menyatakan bahawa Encik Lifshitz dibunuh oleh Islamic Jihad, satu lagi kumpulan militan di Gaza.
Ketua Pusat Perubatan Forensik Israel, Dr Chen Kugel, kemudian mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa Encik Lifshitz telah dibunuh lebih setahun lalu.
Pemulangan mayat itu akan diikuti dengan pemulangan enam tahanan hidup pada 22 Februari sebagai pertukaran untuk ratusan lagi rakyat Palestin.
Ia dijangka melibatkan kebanyakan wanita dan kanak-kanak yang ditahan oleh tentera Israel di Gaza semasa perang. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg