Topik diikuti
Pergi ke BHkuHamas lantik Khalil al-Hayya sebagai pemimpin baharu, ganti Yahya Sinwar
Hamas lantik Khalil al-Hayya sebagai pemimpin baharu, ganti Yahya Sinwar
Hamas lantik Khalil al-Hayya sebagai pemimpin baharu, ganti Yahya Sinwar
GAZA: Pergerakan Hamas melantik Encik Khalil al-Hayya, sebagai pemimpin politik baharunya selepas memenangi pemilihan dalaman yang berlangsung secara sulit.
Beliau sekali gus menggantikan Encik Yahya Sinwar, yang terbunuh dalam operasi tentera Israel di Gaza pada Oktober 2024.
Pelantikan itu diumumkan pada 20 Julai selepas Encik Hayya memperoleh sokongan besar dalam pusingan akhir pemilihan, menewaskan mantan Ketua Biro Politik Hamas, Encik Khaled Meshaal.
Seorang pegawai kanan Hamas berkata Encik Hayya dijangka memegang jawatan itu secara rasmi minggu depan selepas proses peralihan kepimpinan selesai.
Menurut sumber Hamas, pemilihan kali ini dijalankan menerusi mekanisme yang sangat sulit dan rumit berikutan ancaman keselamatan serta pembunuhan beberapa pemimpin kanan politik dan ketenteraan kumpulan itu oleh Israel sejak dua tahun lalu.
“Khalil al-Hayya dipilih dengan majoriti besar. Proses pemilihan dijalankan secara rahsia kerana keadaan keselamatan yang amat mencabar,” kata sumber itu.
Pelantikan Encik Hayya menandakan berakhirnya sistem kepimpinan sementara yang dikendalikan Majlis Kepimpinan Hamas, sebuah badan terdiri daripada lima anggota yang ditubuhkan selepas kematian Encik Sinwar.
Seorang lagi pegawai kanan Hamas berkata majlis itu akan dibubarkan dan semua anggotanya akan meletakkan jawatan sebelum struktur kepimpinan baharu dibentuk.
“Pejabat politik Hamas akan bermesyuarat di Istanbul dalam beberapa hari lagi bagi membentuk jawatankuasa baharu dan menyusun semula struktur kepimpinan organisasi,” katanya.
Encik Al-Hayya bukan nama asing dalam Hamas.
Sejak beberapa bulan lalu, beliau mengetuai rundingan tidak langsung dengan Israel menerusi pengantaraan Qatar dan Mesir bagi mendapatkan gencatan senjata di Gaza.
Beliau turut memainkan peranan utama dalam perjanjian gencatan senjata yang dicapai pada Oktober 2025, walaupun perjanjian itu gagal menghentikan sepenuhnya serangan Israel ke atas Gaza, yang masih berterusan sehingga kini.
Dilahirkan di Gaza pada 1960, Encik Hayya menyertai Hamas sejak pergerakan itu ditubuhkan pada 1987 dan dianggap antara pengasas utamanya.
Beliau pernah dipilih sebagai anggota Parlimen Penguasa Palestin pada 2006 selepas Hamas memenangi pilihan raya.
Kemenangan itu mencetuskan pertelingkahan politik dengan Fatah yang akhirnya membawa kepada perpecahan pentadbiran Palestin antara Gaza dengan Tebing Barat.
Sebelum ini, Encik Hayya berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi Hamas serta anggota Majlis Kepimpinan yang mengurus organisasi itu selepas kematian beberapa tokoh utama.
Pengaruhnya semakin meningkat selepas beberapa pemimpin kanan Hamas terbunuh pada 2024, termasuk Encik Yahya Sinwar; komander tentera, Encik Mohammed Deif; dan mantan Ketua Biro Politik, Encik Ismail Haniyeh, yang terbunuh dalam satu serangan ketika berada di Teheran.
Beroperasi dari Qatar dan Turkey membolehkan Encik Hayya bergerak lebih bebas untuk mengadakan rundingan dengan negara serantau, termasuk Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat tanpa sekatan ketat yang dikenakan Israel terhadap Gaza.
Beliau juga dikenali mempunyai hubungan baik dengan Hezbollah di Lebanon, selain Iran yang menjadi penyokong utama Hamas dari segi kewangan dan ketenteraan.
Seorang pegawai Hamas yang rapat dengannya menyifatkan Hayya sebagai pemimpin yang tenang, berdisiplin dan pragmatik.
“Beliau tidak mudah dipengaruhi emosi dan dihormati oleh anggota biro politik serta komander tentera Hamas,” katanya.
Walaupun dianggap lebih sederhana dalam pendekatan diplomasi berbanding beberapa pemimpin lain, Encik Hayya, tetap menegaskan perjuangan bersenjata adalah hak rakyat Palestin selagi pendudukan Israel berterusan.
Kehidupan peribadinya turut dipenuhi tragedi akibat konflik berpanjangan.
Beliau pernah dipenjarakan Israel selama tiga tahun pada penghujung 1990-an dan terselamat daripada sekurang-kurangnya empat cubaan pembunuhan.
Pada 2007, serangan Israel ke atas rumahnya di utara Gaza, mengorbankan isteri serta tiga anaknya.
Dalam perang Gaza pada 2014 pula, anak sulungnya, Encik Osama, terbunuh bersama isteri dan tiga orang anak mereka selepas kediaman mereka dibedil tentera Israel.
Pada 2025, seorang lagi anaknya, Encik Humam, maut dalam serangan Israel ke atas sebuah kompleks kediaman di Doha, Qatar.
Pada September 2025, Encik Hayya sendiri terselamat daripada satu lagi cubaan pembunuhan Israel di Doha, yang turut mengorbankan beberapa individu termasuk seorang anaknya dan ketua kakitangannya.
Penganalisis melihat pelantikan Hayya berlaku ketika Hamas berdepan tekanan ketenteraan dan politik yang semakin hebat selepas kehilangan ramai pemimpin tertinggi serta kemusnahan besar di Gaza.
Al Jazeera melaporkan Israel sering menyifatkan Encik Hayya sebagai pemimpin yang tegas dan mempunyai hubungan rapat dengan Iran.
“Israel melihat beliau sebagai seorang ‘hawk’ (umpama burung helang) yang lebih rapat dengan Iran berbanding beberapa negara Arab atau Turkey.
“Pelantikan ini mungkin memberi petunjuk mengenai hala tuju Hamas selepas ini,” katanya.
Proses pemilihan Encik Hayya itu mengambil masa beberapa bulan kerana melibatkan ahli Hamas di Gaza, Tebing Barat, penjara-penjara Israel dan komuniti Palestin di luar negara sebelum keputusan muktamad dicapai.
Pelantikan Encik Hayya dijangka menjadi penentu kepada hala tuju Hamas, terutama dalam usaha meneruskan rundingan gencatan senjata, mengurus pentadbiran di Gaza dan membina semula kepimpinan organisasi selepas kehilangan beberapa tokoh utamanya akibat perang yang masih berlarutan. – Agensi berita.
