Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas masih kuasai Gaza meski makin lemah

Dec 9, 2025 | 12:54 PM
Hamas, Gaza, Israel
Meskipun anggota Hamas semakin berkurangan akibat perang, namun mereka masih menguasai dan mentadbir Jaluran Gaza. - Foto AFP

BAITUKMAKDIS: Sejak tentera Israel berundur dari sebahagian Jaluran Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata pada Oktober, Hamas telah bertindak pantas untuk mengisi kekosongan tersebut.

Pasukan polisnya keluar ke jalan-jalan raya, anggotanya telah menghukum mati penentangnya dan pegawainya dikatakan telah mengenakan bayaran ke atas beberapa barangan mahal yang diimport ke Gaza, kata ahli perniagaan tempatan.

Selama dua tahun perang, komander tertinggi Hamas dan beribu-ribu anggotanya telah terbunuh, dan senjata kumpulan itu telah berkurangan dengan banyaknya.

Ia kini mengawal kurang dari separuh wilayah di Gaza, dengan selebihnya diduduki oleh Israel.

Namun, kuasa Hamas tampak bangkit semula di Gaza, kata pegawai keselamatan Israel dan seorang pegawai perisikan Arab yang mahu nama mereka dirahsiakan, lapor The New York Times.

“Hamas terjejas teruk tetapi ia masih enggan mengaku kalah... Ia masih wujud,” kata Encik Shalom Ben Hanan, bekas pegawai kanan di Shin Bet, agensi perisikan domestik Israel.

Kebangkitan semula Hamas merupakan halangan besar kepada rancangan pentadbiran Presiden Donald Trump, untuk membina semula Gaza yang bebas daripada Hamas.

Rancangan itu melibatkan semua prasarana ketenteraan Hamas, termasuk terowong dan kemudahan pengeluaran senjatanya, dimusnahkan.

Encik Ben Hanan, yang menerima taklimat daripada kepimpinan Shin Bet, berkata walaupun barisan Hamas kian berkurangan, namun ia masih mempunyai sekitar 20,000 anggota di Gaza.

Bahkan, Hamas dengan cepat menggantikan komander yang terbunuh dalam perang, kata Brigedier Jeneral Erez Winner, yang memainkan peranan kanan dalam tentera Israel sehingga Mac.

Kumpulan itu mempunyai banyak tempat untuk bersembunyi dan menyimpan senjata memandangkan lebih separuh daripada rangkaian terowong bawah tanah masih utuh, kata pegawai Israel dan Arab.

Hamas masih menjalankan operasi pusat pemerintah di Gaza, termasuk perkhidmatan keselamatan, kata Encik Ben Hanan.

Bekalan roketnya telah berkurangan, tetapi mereka masih mempunyai senjata lebih ringan seperti senapang automatik, bom tangan roket dan mortar.

Pegawai kanan Hamas, Encik Husam Badran, berkata kumpulan itu bersedia membenarkan jawatankuasa teknokrat Palestin mengambil alih pentadbiran Gaza.

Selain mewujudkan keselamatan, Hamas juga dikatakan berusaha mengumpul dana dengan mengenakan cukai ke atas sebilangan kecil barangan komersial, seperti komputer dan panel solar, tambah empat ahli perniagaan Gaza.

Bagaimanapun, ketua pengarah pejabat media yang dikawal Hamas di Gaza, Encik Ismail Thawabteh, menafikan pihaknya mengutip sebarang cukai ke atas barangan import. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg