Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel, Hamas hampiri fasa kedua pelan damai Gaza

Dec 8, 2025 | 1:40 PM
bandar gaza, al remal
Pemandangan bangunan yang musnah di kejiranan Al Remal di Bandar Gaza pada 7 Disember ketika gencatan senjata antara Israel dengan Hamas sedang berlangsung. - Foto EPA

GAZA: Israel dan Hamas bersiap untuk beralih ke fasa kedua pelan gencatan senjata yang diterajui Amerika Syarikat sedang perbezaan pendirian semakin ketara mengenai peranan sebuah pasukan penstabil antarabangsa yang masih belum ditakrifkan mandatnya di Gaza.

Fasa kedua turut merangkumi pembentukan pemerintah Palestin sementara yang mengurus pentadbiran harian di bawah penyeliaan sebuah lembaga antarabangsa diketuai Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Seorang pegawai kanan Hamas memberitahu Al Jazeera bahawa kumpulannya bersedia mempertimbangkan “membekukan, menyimpan atau meletakkan senjata” sebagai sebahagian daripada perjanjian.

Namun, beliau menegaskan garis merah mereka: Hamas tidak akan menerima mana-mana pasukan antarabangsa mengendalikan proses pelucutan senjata.

Pegawai Hamas, Encik Basem Naim, berkata draf Amerika memerlukan “banyak penjelasan”.

“Kami bersedia berbincang tentang pembekuan atau penyimpanan senjata semasa gencatan senjata. Tetapi kami tidak akan menerima pasukan penstabil antarabangsa diberikan kuasa ke atas wilayah Palestin,” katanya.

Bagaimanapun beliau menyatakan Hamas menerima kehadiran pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di kawasan sempadan untuk memantau gencatan senjata dan mencegah peningkatan.

Kenyataan Hamas itu dibuat selepas Perdana Menteri Israel Encik Benjamin Netanyahu berkata beliau akan bertemu Encik Trump pada penghujung bulan untuk membincangkan peralihan fasa.

Fokus utamanya, kata beliau, adalah memastikan Hamas dilucutkan senjata sepenuhnya.

“Kita kini menuju fasa kedua yang tidak kurang mencabar, pelucutan senjata Hamas dan penamatan aktiviti ketenteraan Gaza,” katanya dalam sidang media bersama Canselor Jerman, Encik Friedrich Merz, di Baitulmakdis pada 7 Disember.

Encik Netanyahu turut menyentuh fasa ketiga pelan tersebut, iaitu usaha “menghapuskan fahaman ekstrem di Gaza”, sambil merujuk kepada pengalaman pascaperang di Jerman, Jepun dan beberapa negara Teluk.

“Ia juga boleh dilakukan di Gaza, tetapi Hamas mesti dibongkar,” katanya.

Setakat ini, fasa pertama hampir selesai dengan pemulangan mayat seorang rakyat Israel, Encik Noa Gvili, sebagai pertukaran dengan 15 jenazah rakyat Palestin.

Namun Israel menuduh Hamas menangguhkan proses kerana sebahagian mayat masih terperangkap di bawah runtuhan akibat serangan udara Israel.

Dalam perkembangan lain, Ketua Staf Tentera Israel,  Leftenan Jeneral  Eyal Zamir, menggambarkan “Garis Kuning” yang membahagikan kawasan Gaza di bawah kawalan Israel sebagai “sempadan baru”.

“Kami mempunyai kawalan operasi ke atas sebahagian besar Gaza dan akan kekal di garisan pertahanan ini.

Garis Kuning ialah garisan sempadan baru,” katanya.

Di bawah gencatan senjata yang ditaja oleh Amerika antara Israel dengan Hamas di Gaza, pasukan Israel telah berundur ke kedudukan di belakang apa yang dikenali sebagai Garis Kuning.

Walaupun pengunduran taktikal dilakukan, tentera Israel masih menguasai sekitar 53 peratus wilayah Gaza.

Pelan Encik Trump membuka ruang kepada penubuhan pasukan penstabil antarabangsa, namun butirannya tidak jelas.

Amerika menjangkakan “kehadiran pasukan di lapangan” seawal tahun 2026, dan Indonesia telah menyatakan kesediaan menghantar anggota.

Namun struktur pasukan penstabil, mandat dan bilangan anggota pasukan masih belum ditentukan.

Encik Netanyahu sendiri mengakui kekaburan pelan itu: “Apakah garis masa? Apakah pasukan yang akan masuk? Adakah kita bercakap tentang pasukan antarabangsa? Jika tidak, apakah alternatifnya? Semua ini masih dibincangkan.”

Tidak jelas sama ada kesediaan Hamas untuk “membekukan senjata” memenuhi tuntutan Israel untuk pelucutan sepenuhnya.

Encik Naim berkata kumpulannya masih mempunyai “hak untuk menentang”, dan peletakan senjata hanya boleh berlaku dalam rangka yang menuju kepada pembentukan negara Palestin.

Beliau tidak menolak kemungkinan gencatan jangka panjang selama lima hingga 10 tahun sebagai sebahagian daripada persetujuan politik yang lebih menyeluruh.

Encik Merz menyatakan sokongan kuat terhadap Israel tetapi menegaskan bahawa penyelesaian dua negara masih pilihan terbaik.

“Pengiktirafan negara Palestin hanya boleh berlaku pada penghujung proses, bukan pada permulaan,” katanya.

Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani memberi amaran bahawa gencatan terkini berada pada “titik genting” dan boleh runtuh tanpa kemajuan segera ke arah perjanjian kekal.

“Gencatan tidak akan lengkap selagi tidak ada pengunduran penuh tentera Israel serta pemulihan kestabilan dan kebebasan bergerak rakyat Palestin,” katanya.

Hubungan diplomatik juga diuji selepas serangan udara Israel ke atas Doha pada September, namun pegawai Israel dan Qatar dilaporkan bertemu dengan rakan sejawat Amerika dalam usaha memulihkan komunikasi. –Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg