RAFAH: Ketua militia Palestin yang didakwa menerima sokongan Israel, Yasser Abu Shabab, dilapor terbunuh pada 4 Disember di bandar Rafah.
Demikian menurut seorang pegawai keselamatan Israel yang enggan dinamakan kerana berkongsi maklumat sensitif.
Menurut pegawai itu, Abu Shabab maut dalam satu pergelutan di timur Rafah, namun keadaan sebenar kematiannya masih belum jelas.
Abu Shabab, seorang lelaki Badwi dalam lingkungan usia 30-an, menjadi tokoh utama dalam projek Israel membina kumpulan militia di Gaza bagi mengekang pengaruh Hamas.
Bagaimanapun, kematiannya segera mencetuskan versi berbeza daripada pelbagai pihak.
Kumpulan Popular Forces, militia yang diketuai Encik Abu Shabab, menegaskan beliau ditembak ketika “cuba menyelesaikan pertikaian” dalam kalangan keluarga Abu Seneima, ujar kenyataan rasmi kumpulan itu.
Ia turut menolak dakwaan Hamas bertanggungjawab atas kematiannya, dan menyifatkan laporan sedemikian sebagai “mengelirukan”.
Namun, kenyataan awal daripada suku Badwi Tarabin, suku asal Abu Shabab, menuduh beliau “dibunuh oleh pihak lawan” dan mengecamnya sebagai pengkhianat.
“Beliau telah mengkhianati rakyat Palestin,” tambah kenyataan itu.
Pihak Israel mengakui telah membekalkan senjata kepada Popular Forces, tetapi kumpulan itu menafikannya.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, sebelum ini berkata pemerintah Israel telah “mengaktifkan” beberapa kabilah di Gaza yang menentang Hamas.
“Apa salahnya?” kata beliau. “Ia hanya membawa kebaikan dan menyelamatkan nyawa askar Israel.”
Namun reputasi Abu Shabab, dalam kalangan penduduk Gaza jauh lebih rumit.
Beliau dituduh terbabit dalam kegiatan merompak trak bantuan kemanusiaan, menjadikannya antara individu paling dibenci di Rafah.
Sepanjang akhir 2024, pemilik syarikat pengangkutan Gaza, pemandu trak dan pegawai bantuan antarabangsa menuduh Abu Shabab menjalankan operasi rompakan yang tersusun.
Pegawai Kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Georgios Petropoulos, menyifatkannya sebagai “orang tengah berpengaruh yang menguasai timur Rafah”.
Dalam satu temu bual pada November 2024, Abu Shabab menafikan dia merompak sejumlah besar trak bantuan, namun mengakui kumpulannya yang bersenjata raifal, Kalashnikov – telah menahan beberapa trak sejak perang bermula.
“Kami ambil untuk makan, bukan untuk dijual,” katanya.
“Setiap orang lapar akan ambil bantuan.”
Beliau turut menuduh Hamas sebagai pencuri utama bantuan, dakwaan yang dinafikan Hamas.
Sumber lain mendakwa kematiannya mungkin berpunca daripada perebutan kuasa dalaman.
Dalam kenyataannya, Hamas berkata nasib yang menimpa Abu Shabab, adalah “balasan yang menanti setiap pengkhianat yang menjadi alat kepada pendudukan Israel,” namun tidak mengaku terlibat dalam pembunuhan itu.
Radio Tentera Israel pula memetik sumber keselamatan yang mendakwa Abu Shabab meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Soroka di Beersheba.
Namun, pihak hospital menafikan beliau meninggal dunia di sana.
Popular Forces pula berikrar meneruskan perjuangan Abu Shabab “sehingga pengganas terakhir disingkirkan dari bumi Gaza dan masa depan yang cerah dibina untuk rakyat yang percaya kepada keamanan”.
Sejak gencatan senjata antara Israel dengan Hamas bermula hampir lapan minggu lalu, Abu Shabab, disebut sebagai antara beberapa pemimpin militia anti-Hamas yang berebut pengaruh menjelang fasa kedua Pelan Damai Gaza yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Pelan itu melibatkan pembentukan pemerintah sementara, penempatan pasukan penstabil antarabangsa, pengunduran tentera Israel dan perlucutan senjata Hamas. – Agensi berita.
Fasa pertama sudah menyaksikan Hamas bersetuju menyerahkan semua 48 tebusan hidup dan mayat yang masih ditahan, sebagai pertukaran kepada pembebasan ratusan tahanan Palestin serta penarikan sebahagian tentera Israel.
Encik Trump pada 3 Disember berkata fasa kedua tersebut “akan berlaku tidak lama lagi”. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg