Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas, pengantara terus rundingan gencatan senjata tanpa Israel

Mar 5, 2024 | 1:14 PM
Anggota keselamatan kendalian Hamas menjalankan rondaan bagi memastikan ketenteraman awam dan harga barangan dikawal di Rafah pada 4 Mac.
Anggota keselamatan kendalian Hamas menjalankan rondaan bagi memastikan ketenteraman awam dan harga barangan dikawal di Rafah pada 4 Mac. - Foto REUTERS

KAHIRAH/RAFAH: Wakil Hamas dan pengantara Mesir meneruskan rundingan di Kahirah untuk melaksanakan gencatan senjata di Gaza, meskipun Israel memutuskan untuk tidak menghantar delegasi.

Ia dijalankan ekoran desakan Washington agar gencatan senjata dilaksanakan bagi membolehkan pembebasan tebusan dan mengurangkan malapetaka kemanusiaan di Gaza.

Rundingan gencatan senjata yang bermula pada 3 Mac, dianggap sebagai peluang terakhir persetujuan bagi menghentikan peperangan seketika yang diharap dapat dilaksanakan pada permulaan Ramadan pada 10 Mac.

Israel enggan mengulas secara terbuka mengenai rundingan di Kahirah. Satu sumber memberitahu agensi berita Reuters bahawa ia menjauhkan diri kerana Hamas enggan memberi senarai nama tebusan yang masih hidup dalam tawanannya susulan serangan pada 7 Oktober.

Hamas yang mengawal Gaza berkata mereka akan memberikan senarai tersebut hanya apabila mereka bersetuju dengan syarat yang ditetapkan.

“Rundingan di Kahirah diteruskan untuk hari kedua, tidak kira sama ada delegasi Israel hadir atau tidak di Mesir,” kata seorang pegawai Hamas kepada Reuters pada 4 Mac.

Dua sumber keselamatan Mesir berkata orang tengah yang mempunyai hubungan dengan Israel, membenarkan rundingan diteruskan walaupun mereka tidak hadir.

Sumber Palestin yang rapat dengan rundingan itu berkata perbincangan kekal “goyah”, dengan Israel berkeras dengan tuntutannya untuk hanya gencatan senjata sementara bagi membebaskan tebusan dan Hamas pula meminta jaminan bahawa perang dihentikan.

Di Washington, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, berkata gencatan senjata sementara adalah penting untuk perjanjian tebusan dan menggesa Hamas menerima syarat yang ditawarkan.

Sebagai tanda ketegangan antara Washington dengan pemerintah sayap kanan pimpinan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu; Naib Presiden Amerika, Cik Kamala Harris, pada 4 Mac telah bertemu Encik Benny Gantz, saingan politik Encik Netanyahu yang menyertai kabinet perangnya dalam pakatan perpaduan nasional pada permulaan perang.

Selepas pertemuan mereka, pihak pentadbiran berkata dalam satu kenyataan bahawa Cik Harris telah membincangkan “kepentingan” untuk mencapai perjanjian tebusan dan “menyatakan kebimbangannya yang mendalam tentang keadaan kemanusiaan di Gaza”.

Jurucakap keselamatan negara Rumah Putih, Encik John Kirby, memberitahu pemberita bahawa Amerika masih berharap untuk memuktamadkan perjanjian gencatan senjata untuk tebusan menjelang permulaan Ramadan, tetapi Hamas masih belum bersetuju.

Cadangan yang dibincangkan membayangkan gencatan senjata selama 40 hari, pembebasan sekitar 40 daripada lebih 100 tebusan yang masih ditahan Hamas sebagai balasan kepada pembebasan sekitar 400 tahanan Palestin yang berada di penjara Israel.

Israel akan berundur dari beberapa kawasan, lebih banyak bantuan akan dibenarkan masuk ke Gaza, dan penduduk akan dibenarkan pulang.

Israel berkata ia tidak akan menamatkan perang sehingga Hamas dihapuskan.

Hamas pula bertegas bahawa ia tidak akan membebaskan semua tebusan Israel tanpa perjanjian menamatkan perang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg