BAITULMAKDIS: Hamas berikrar pada 18 Oktober bahawa ia tidak akan membebaskan tebusan yang ditawan semasa serangannya ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, sehingga perang Gaza berakhir, sedang ia berkabung atas kematian pemimpinnya Encik Yahya Sinwar.
Pembunuhan Encik Sinwar, dalang serangan paling besar dalam sejarah Israel, telah menimbulkan harapan untuk titik perubahan dalam perang, termasuk untuk keluarga tebusan Israel dan warga Gaza yang mengalami krisis kemanusiaan yang mengerikan.
Tetapi pegawai Hamas yang berpangkalan di Qatar, Encik Khalil al-Hayya, yang meratapi Encik Sinwar dalam satu kenyataan video, mengulangi pendirian kumpulan itu bahawa tiada tebusan akan dibebaskan “kecuali pencerobohan terhadap rakyat kita di Gaza dihentikan”.
Tentera Israel menyerang Gaza dengan serangan udara pada 18 Oktober, dengan penyelamat menemui mayat tiga kanak-kanak Palestin dari runtuhan rumah mereka di utara wilayah itu, menurut agensi pertahanan awam Gaza.
“Kami sentiasa berfikir bahawa apabila saat ini tiba, perang akan berakhir dan kehidupan kami akan kembali normal,” kata seorang penduduk Gaza, Encik Jemaa Abou Mendi, 21 tahun kepada agensi berita AFP.
“Tetapi malangnya, realiti di lapangan adalah sebaliknya. Peperangan tidak berhenti, dan pembunuhan berterusan tanpa henti.”
Encik Sinwar adalah orang paling dikehendaki Israel, dan kematiannya – diumumkan oleh tentera Israel pada 17 Oktober – memberi tamparan hebat kepada kumpulan yang sudah lemah.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menyebut pembunuhan Encik Sinwar sebagai “tanda penting dalam kemerosotan pemerintahan jahat Hamas”.
Walaupun ia tidak menyatakan berakhirnya perang, ia adalah “permulaan akhir”, tambahnya.
Ada yang memuji berita kematian Encik Sinwar sebagai petanda perkara yang lebih baik akan datang.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, yang pemerintahnya merupakan penyedia senjata utama Israel, berkata kematian Encik Sinwar adalah “peluang untuk mencari jalan menuju keamanan, masa depan yang lebih baik di Gaza tanpa Hamas”.
Dalam satu kenyataan bersama, Encik Biden dan pemimpin Jerman, Perancis dan Britain menekankan “keperluan segera untuk membawa pulang tebusan kepada keluarga mereka, untuk menamatkan perang di Gaza, dan memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada orang awam”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg