KAHIRAH: Tindakan Israel menggantung kemasukan barangan ke Gaza telah mula menjejas kawasan Palestin, dengan beberapa kedai roti ditutup dan pegawai memberi amaran tentang risiko kemungkinan pembuangan kumbahan tidak dirawat ke laut ke atas alam sekitar.
Penggantungan import makanan, ubat dan bahan api itu bertujuan menekan Hamas dalam rundingan gencatan senjata.
Hamas menyifatkan langkah itu sebagai “hukuman kolektif” dan menegaskan ia tidak akan memaksa pihaknya membuat konsesi dalam perbincangan fasa gencatan senjata selanjutnya.
Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) berkata tindakan Israel itu mengancam nyawa orang awam kerana kebanyakan 2.3 juta penduduk Gaza bergantung kepada bantuan.
Encik Nasser Al-Ajrami, ketua kesatuan pembuat roti Gaza, berkata bahawa enam daripada 22 kedai roti yang masih boleh beroperasi di kawasan itu telah ditutup selepas mereka kehabisan gas memasak.
“Baki kedai roti mungkin akan ditutup dalam masa seminggu atau lebih sekiranya mereka kehabisan diesel atau tepung, melainkan persimpangan di sempadan dibuka semula untuk membolehkan barangan itu masuk,” tambah Encik Nasser.
Israel menyekat kemasukan barangan ke dalam wilayah itu dalam perselisihan yang semakin teruk berhubung gencatan senjata yang telah menghentikan pertempuran sejak tujuh minggu lalu.
Langkah itu telah menyebabkan kenaikan harga makanan penting serta bahan api, memaksa ramai untuk mencatu makanan mereka.
Menteri Tenaga Israel, Encik Eli Cohen, berkata pada 9 Mac beliau telah mengarahkan Israel Electric Corporation berhenti menjual elektrik kepada Gaza, dalam apa yang disifatkannya sebagai satu cara menekan Hamas untuk membebaskan tebusan.
Langkah itu akan memberi sedikit kesan serta-merta, kerana Israel telah memotong bekalan kuasa ke Gaza pada permulaan perang.
Jurucakap loji pengagihan kuasa Gaza, menyatakan bahawa tindakan terbaru Israel itu akan menghalang orang ramai daripada mendapatkan air bersih dan menyebabkan mereka terdedah kepada “risiko alam sekitar dan kesihatan”.
“Majlis perbandaran kini terpaksa membiarkan air kumbahan mengalir ke laut, yang mungkin mengakibatkan risiko alam sekitar dan kesihatan yang melampaui sempadan Gaza,” tambahnya. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg