KAHERAH/TEL AVIV: Hamas pada 4 Julai berkata pihaknya telah memberi respons positif terhadap usulan gencatan senjata di Gaza yang diusahakan Amerika Syarikat, dan bersedia memulakan rundingan bagi melaksanakan perjanjian yang merangkumi langkah pembebasan tebusan serta rundingan ke arah menamatkan konflik.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, sebelum ini mengumumkan ‘usulan akhir’ bagi gencatan senjata selama 60 hari dalam perang yang telah berlarutan hampir 21 bulan antara Israel dan Gaza, dan menambah bahawa beliau menjangka akan mendapat maklum balas daripada kedua-dua pihak tersebut dalam masa terdekat.
Menerusi kenyataan di laman web rasminya, Hamas memaklumkan bahawa kumpulan itu telah menyelesaikan rundingan dalaman serta perbincangan bersama pelbagai kumpulan dan gerakan Palestin berhubung cadangan terbaru yang dikemukakan oleh pihak pengantara bagi menghentikan pencerobohan ke atas rakyat di Gaza.
“Gerakan ini telah menyerahkan maklum balas kepada para pengantara yang kami anggap sebagai saudara, dengan semangat positif.
“Hamas bersedia sepenuhnya, dengan penuh kesungguhan, untuk segera memulakan pusingan baru rundingan mengenai mekanisme pelaksanaan kerangka ini,” menurut kenyataan itu.
Sebagai petunjuk bahawa cabaran masih membelenggu kedua-dua pihak, seorang pegawai Palestin berkata masih wujud kebimbangan berhubung bantuan kemanusiaan, laluan di lintasan Rafah ke Mesir, serta ketidaktentuan tarikh pengunduran tentera Israel daripada Gaza.
Encik Trump, pada 1 Julai, dilaporkan berkata Israel telah bersetuju dengan “syarat-syarat yang perlu untuk memuktamadkan” gencatan senjata selama 60 hari, yang akan membuka ruang kepada usaha menamatkan perang oleh sekutu rapat Amerika itu, di wilayah Palestin.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, yang dijadual bertemu Encik Trump di Washington pada 7 Julai, masih belum mengulas kenyataan Presiden Amerika itu.
Encik Netanyahu berulang kali menegaskan bahawa Hamas perlu melucutkan senjata mereka – satu perkara yang enggan dibincangkan oleh kumpulan itu – yang dipercayai masih menahan sekitar 20 orang tebusan.
Menurut sumber media Israel, seorang pegawai berkata Israel telah menerima dan kini sedang meneliti maklum balas Hamas terhadap cadangan gencatan senjata.
Seorang pegawai keselamatan Mesir pula memberitahu Reuters bahawa Mesir, bersama Qatar yang menjadi pengantara dalam rundingan gencatan senjata, telah meneliti maklum balas Hamas dan berkata “ia mengandungi petunjuk positif bahawa satu perjanjian hampir dicapai, namun masih terdapat beberapa tuntutan daripada pihak Hamas yang perlu diperhalusi”.
Encik Trump turut berkata beliau akan bersikap “amat tegas” terhadap Encik Netanyahu berhubung keperluan untuk melaksanakan gencatan senjata di Gaza dengan segera, sambil mendakwa pemimpin Israel itu juga mahukan perkara yang sama.
Serangan Israel selama semalaman meragut sekurang-kurangnya 138 nyawa rakyat Palestin di Gaza dalam tempoh 24 jam lalu, menurut pegawai kesihatan tempatan.
Pegawai kesihatan di Hospital Nasser, Khan Younis, selatan Gaza, berkata tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas kawasan khemah pelarian di sebelah barat bandar itu sekitar 2 pagi, mengorbankan 15 rakyat Palestin.
Sementara itu, di Tel Aviv, keluarga dan rakan-rakan kepada tebusan yang masih ditahan di Gaza turut menyertai penunjuk perasaan yang berkumpul di hadapan bangunan Kedutaan Amerika sempena Hari Kemerdekaan negara itu, menggesa Encik Trump supaya menjayakan perjanjian bagi membebaskan semua tahanan. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg