GAZA: Ketika Amerika Syarikat terus mendesak tercapainya gencatan senjata antara Israel dengan Hamas, keputusan akhir kumpulan pejuang itu kini banyak bergantung kepada pendirian ketua de facto baru mereka di Gaza, Encik Izz al-Din al-Haddad.
Encik Haddad, seorang komander Hamas yang dipercayai berusia sekitar 50-an, mengambil alih kepimpinan sayap tentera Hamas di Gaza selepas Israel membunuh Encik Muhammad Sinwar, menurut seorang pegawai perisikan Timur Tengah dan tiga pegawai pertahanan Israel.
Pada 3 Julai, jurucakap Tentera Israel, Brigedier Jeneral Effie Defrin, mengesahkan bahawa Encik Haddad kini merupakan pemimpin utama Hamas di Gaza.
Menurut sumber perisikan, Encik Haddad membantu merancang serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023 – serangan yang mencetuskan perang Gaza yang berlarutan hingga kini.
Beliau yang berasal dari Bandar Gaza, dikatakan telah menyatakan bahawa perang itu hanya akan berakhir dengan “perjanjian bermaruah” atau menjadi “perang pembebasan atau syahid”.
Beberapa rundingan tidak langsung antara Hamas dengan Israel telah gagal mencapai gencatan senjata yang berkekalan.
Namun perkembangan terbaru pentadbiran Encik Donald Trump, dilaporkan membantu merangka satu usulan baru – gencatan senjata selama 60 hari diikuti rundingan lanjut untuk menamatkan perang secara menyeluruh.
Setakat 3 Julai, pemimpin Hamas sedang mempertimbangkan cadangan tersebut.
Namun, jurucakap kanan Hamas, Encik Izzat al-Rishq, enggan mengulas.
Namun, menurut sumber rapat kumpulan berkenaan pada 3 Julai, Hamas mahu jaminan jelas bahawa cadangan gencatan senjata baru yang disokong Amerika untuk Gaza akan membawa kepada penamatan perang.
Tentera Israel pula memaklumkan prospek untuk mencapai perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan kini dilihat semakin cerah, selepas hampir 21 bulan sejak konflik antara Israel dengan Palestin tercetus.
Dalam satu kenyataan awal pagi 4 Julai, Hamas memaklumkan pihaknya sedang berbincang dengan beberapa puak Palestin lain mengenai cadangan gencatan senjata terbabit dan akan menyerahkan maklum balas kepada pihak pengantara sebaik rundingan itu selesai.
Sumber keselamatan Mesir berkata pengantara Mesir dan Qatar sedang berusaha mendapatkan jaminan Amerika dan masyarakat antarabangsa supaya rundingan penamatan perang dapat diteruskan sebagai usaha meyakinkan Hamas agar menerima cadangan gencatan senjata selama dua bulan.
Cabaran utama dalam rundingan itu ialah tuntutan Hamas agar gencatan senjata yang dicapai bersifat kekal.
Sebaliknya, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menegaskan operasi tentera akan diteruskan sehingga keupayaan pemerintahan dan ketenteraan Hamas dilumpuhkan sepenuhnya.
Encik Haddad, yang fasih berbahasa Hebrew, dikatakan pernah berada bersama tebusan di Gaza utara.
Beliau satu-satunya pemimpin kanan Hamas yang pernah memberi wawancara terbuka sejak Oktober lalu.
Dalam dokumentari, Al-Jazeera, yang disiarkan pada Januari 2024, beliau menyatakan: “Kepimpinan penjajah, yang disokong oleh Amerika dan Barat, akhirnya perlu tunduk kepada tuntutan kami yang adil.”
Tuntutan itu termasuk pengunduran Israel dari Gaza, penghentian perang, pembebasan tahanan Palestin, pembukaan semula sempadan, dan kemasukan bantuan serta barang keperluan.
Beliau turut mendedahkan Hamas telah memaklumkan sekutunya mengenai rancangan umum serangan Oktober, tetapi tidak menyatakan butiran masa sebenar.
Sejak 2024, beberapa tokoh kanan Hamas terbunuh, termasuk pemimpin tentera, Encik Muhammad Deif dan timbalannya Encik Marwan Issa.
Encik Haddad dan sekutunya Encik Raed Saad kini antara yang masih hidup dalam Majlis Ketenteraan Hamas.
Walaupun pasukan keselamatan Israel belum berjaya membunuh Encik Haddad, anak sulung beliau, Encik Suheib, disahkan terbunuh dalam perang.
Pada April, agensi risikan Israel Shin Bet, mengumumkan kejayaan membunuh, Encik Mahmoud Abu Hiseira, pembantu kanan, Encik Haddad.
“Israel tetap berhasrat membunuh al-Haddad dan Khalil al-Hayya, ketua perunding Hamas yang berpangkalan di Qatar,” kata Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, pada Mei.
Encik Haddad turut dikatakan mengambil inspirasi daripada perjuangan Chechen menentang Russia pada 1990-an – satu peperangan berdarah yang membawa kemusnahan besar.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 50,000 orang terbunuh sejak perang bermula – angka yang merangkumi orang awam dan pejuang.
Bandar Gaza musnah teruk, dan krisis kemanusiaan semakin memburuk apabila rakyat sukar mendapatkan makanan, air, dan tempat perlindungan.
Serangan Hamas pada Oktober 2023 mengorbankan sekitar 1,200 rakyat Israel, manakala kira-kira 250 orang dijadikan tebusan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg