Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas sedia bebaskan 34 tebusan Israel bagi perjanjian ‘fasa pertama’

Rundingan diatur perantara Qatar, Mesir dan Amerika giat diusahakan di tengah-tengah serangan udara besar-besaran Israel yang berterusan di Gaza
Jan 6, 2025 | 10:45 AM
Penunjuk perasaan memegang potret tebusan yang ditawan di Gaza oleh Hamas sejak serangan 7 Oktober, semasa demonstrasi yang menggesa tindakan diambil untuk memastikan pembebasan mereka, di luar ibu pejabat Kementerian Pertahanan Israel di Tel Aviv pada 4 Januari.
Penunjuk perasaan memegang potret tebusan yang ditawan di Gaza oleh Hamas sejak serangan 7 Oktober, semasa demonstrasi yang menggesa tindakan diambil untuk memastikan pembebasan mereka, di luar ibu pejabat Kementerian Pertahanan Israel di Tel Aviv pada 4 Januari. - Foto AFP

GAZA: Seorang pegawai Hamas menyatakan kumpulan itu bersedia membebaskan 34 tebusan dalam “fasa pertama” sebagai sebahagian daripada potensi perjanjian dengan Israel.

Kenyataan pada 5 Januari ini muncul selepas Israel mengesahkan rundingan tidak langsung mengenai gencatan senjata dan pembebasan tebusan telah disambung semula di Qatar.

Rundingan ini, yang diatur oleh perantara Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat, berlangsung ketika Israel melancarkan serangan udara besar-besaran di Gaza, mengorbankan sekurang-kurangnya 23 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, menurut laporan pasukan penyelamat.

Menurut pegawai Hamas yang tidak mahu namanya didedahkan, pembebasan tebusan ini melibatkan wanita, kanak-kanak, orang tua dan mereka yang sakit.

“Hamas bersedia membebaskan 34 tebusan, sama ada hidup atau mati. Namun, kumpulan ini memerlukan masa seminggu untuk mengesahkan senarai itu,” katanya.

Israel bagaimanapun menyatakan Hamas masih belum menyerahkan senarai nama tebusan yang akan dibebaskan. “Usaha pembebasan tebusan sedang berlangsung, termasuk rundingan oleh delegasi Israel di Qatar,” kata Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz.

Usaha para perantara dari Amerika dan negara Arab untuk mencapai perjanjian semakin dipertingkatkan.

Rundingan tebusan ini memberi sedikit sinar harapan kepada kedua-dua pihak yang terlibat dalam konflik.

Qatar sebelum ini menyatakan keyakinan bahawa momentum rundingan semakin meningkat selepas kemenangan Encik Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada November lalu.

Namun, hubungan tegang antara Hamas dan Israel sering kali menimbulkan halangan baru dalam usaha mencapai persetujuan.

“Kejayaan perjanjian ini bergantung kepada kesediaan kededua pihak untuk menyesuaikan syarat dan melaksanakan rundingan dengan telus,” kata seorang pemerhati politik tempatan.

Dalam masa yang sama, konflik di Gaza semakin memuncak.

Pada 5 Januari, serangan udara Israel di kawasan Sheikh Radwan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak. “Kami terpaksa menggunakan tangan untuk mencari mangsa yang tertimbus,” kata jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Encik Mahmud Bassal.

Tentera Israel menyatakan bahawa mereka telah menyerang lebih daripada 100 “sasaran pengganas” dalam tempoh dua hari sebelumnya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Gaza yang dikuasai Hamas melaporkan 88 kematian dalam tempoh 24 jam terakhir akibat serangan udara itu.

Antara kejadian yang paling tragis ialah serangan di kem pelarian Nuseirat, yang mengorbankan lima anggota sebuah keluarga. Rakaman dari lokasi kejadian menunjukkan petugas penyelamat mengangkut mangsa yang cedera dan mayat ke hospital.

Tentera Israel turut melaporkan bahawa serangan mereka menyasarkan lokasi pelancaran roket yang digunakan oleh militan. Israel mendakwa salah seorang pemimpin militan yang terlibat dalam serangan pada Oktober 2023 telah dibunuh dalam pertempuran jarak dekat di utara Gaza.

Ketegangan juga merebak ke Tebing Barat, di mana seorang remaja Palestin berusia 17 tahun terbunuh dalam serbuan tentera Israel di kem pelarian Askar berhampiran Nablus. Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan dua lagi cedera dalam serangan tersebut.

Ketegangan terus memuncak di wilayah Palestin yang diduduki susulan perang genosid Israel ke atas Gaza, yang telah meragut lebih 45,800 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak 7 Oktober 2023. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg