GAZA: Hamas berkata pada 30 Mei ia telah memaklumkan kepada pengantara bahawa ia tidak akan menyertai lebih banyak rundingan tatkala pencerobohan masih berterusan, tetapi bersedia bagi “perjanjian lengkap”, termasuk pertukaran tebusan dengan tahanan, jika Israel menghentikan perang.
Rundingan yang menyaksikan Mesir dan Qatar selaku perantara bagi mengatur gencatan senjata antara Israel dengan Hamas dalam perang Gaza, berulang kali terhenti dengan kedua-dua pihak menyalahkan satu sama lain.
Kenyataan terkini Hamas dikeluarkan ketika Israel meneruskan serangan ke atas bandar Rafah di selatan Gaza, yang ditadbir kumpulan Palestin itu, walaupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mengeluarkan perintah supaya menghentikan serangan tersebut.
“Hamas dan puak-puak Palestin tidak akan menerima menjadi sebahagian daripada dasar meneruskan rundingan gencatan senjata memandangkan berlakunya pencerobohan, pengepungan, kebuluran dan pembunuhan beramai-ramai rakyat kami,” kata kenyataan Hamas itu.
“Hari ini, kami memaklumkan pengantara mengenai pendirian jelas kami bahawa jika Israel menghentikan perang dan pencerobohannya terhadap rakyat kami di Gaza, kesediaan kami adalah mencapai persetujuan lengkap yang merangkumi perjanjian pertukaran menyeluruh,” tambahnya.
Israel menolak tawaran Hamas yang lalu sebagai tidak mencukupi dan berkata ia bertekad menghapuskan kumpulan itu.
Menurut Israel, serangannya ke atas Rafah tertumpu pada menyelamatkan tebusan dan menumpaskan kumpulan Hamas yang menjadi ancaman utama terhadapnya.
Tekanan antarabangsa bagi gencatan senjata meningkat ke atas Israel dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu apabila tiga negara Eropah – Ireland, Norway dan Sepanyol – berkata pada 22 Mei mereka akan mengiktiraf pembentukan sebuah negara Palestin.
Tekanan itu bermula dengan pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memohon waran tangkap atas tuduhan jenayah perang terhadap Encik Netanyahu dan menteri pertahanannya serta tiga pemimpin Hamas.
Pegawai kanan Kementerian Luar Israel, Encik Jacob Blitstein, memberitahu utusan Ireland, Norway dan Sepanyol bahawa akan ada “akibat serius” dalam hubungan mereka dengan Israel, selepas mereka mengiktiraf negara Palestin.
Tekanan domestik itu juga meningkat apabila penyokong tebusan yang masih ditahan di Gaza sekali lagi berhimpun di luar pejabat Encik Netanyahu menuntut pembebasan mereka.
Sebuah video yang baru dikeluarkan menunjukkan lima askar wanita Israel diikat dan muka beberapa daripada mereka dilihat berlumuran darah ketika serangan Hamas ke atas Israel hampir lapan bulan lalu.
Ketua Hamas, Encik Ismail Haniyeh, sebelum ini dipetik sebagai berkata pergerakannya akan terlibat dalam memutuskan pemerintahan selepas perang di Gaza bersama puak Palestin yang lain.
Hampir 36,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan berterusan Israel di seluruh Gaza, kata kementerian kesihatan wilayah itu.
Israel melancarkan operasi berterusan itu selepas Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh lebih 1,400 orang dan menahan sekitar 250 tebusan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg