Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel terus asak Gaza, sedia runding gencatan senjata

May 24, 2024 | 2:42 PM
Jaluran Gaza
Penduduk Palestin berdiri mengelilingi bot nelayan yang hangus dalam serangan udara Israel di pantai Mediterranean Rafah di selatan Jaluran Gaza pada 22 Mei, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dengan kumpulan Hamas Palestin. - Foto AFP

GAZA: Israel melancarkan serangan udara yang dahsyat ke atas Gaza pada 23 Mei, sambil turut menyatakan kesediaan untuk menyambung semula rundingan gencatan senjata yang terhenti sebelum ini.

Agensi pertahanan awam Gaza berkata dua serangan udara Israel yang berlaku sebelum subuh telah membunuh 26 orang, termasuk 15 kanak-kanak, di Bandar Gaza.

Jurucakap agensi, Encik Mahmud Bassal, berkata bahawa satu serangan melanda sebuah rumah di Al-Daeaj, membunuh 16 orang dan satu lagi membunuh 10 orang di dalam kawasan masjid.

Tiada komen segera daripada tentera Israel.

Pertempuran jalanan yang sengit juga berlaku di Jabalia dan Rafah. Sayap bersenjata Hamas dan sekutunya Jihad Islam berkata mereka telah melepaskan tembakan mortar ke arah tentera Israel.

Tekanan antarabangsa untuk gencatan senjata telah meningkat ke atas Israel dan Perdana Menterinya, Encik Benjamin Netanyahu, apabila tiga negara Eropah berkata pada 22 Mei bahawa mereka akan mengiktiraf pembentukan sebuah negara Palestin.

Tekanan itu bermula dengan pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memohon untuk mendapatkan waran tangkap atas tuduhan jenayah perang terhadap Encik Netanyahu dan menteri pertahanannya serta tiga pemimpin Hamas.

Israel dengan marah menolak tindakan itu, menyuarakan “kejijikan” terhadap permohonan ICC dan melabelkan sebarang pengiktirafan kenegaraan Palestin sebagai “ganjaran bagi keganasan”.

Pegawai kanan kementerian luar Israel, Encik Jacob Blitstein, memberitahu utusan Ireland, Norway dan Sepanyol bahawa akan ada “akibat serius” dalam hubungan mereka dengan Israel selepas mereka mengiktiraf negara Palestin.

Tetapi tekanan domestik juga meningkat apabila penyokong tebusan yang masih ditahan di Gaza, sekali lagi berhimpun di luar pejabat Encik Netanyahu, menuntut pembebasan mereka.

Sebuah video yang baru dikeluarkan menunjukkan lima askar wanita Israel, diikat dan muka beberapa daripada mereka dilihat berlumuran darah, ketika serangan Hamas lebih tujuh bulan lalu.

Serangan Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober itu telah membunuh lebih 1,400 orang dan 240 yang lain ditahan sebagai tebusan.

Serangan balas dan berterusan Israel pula telah membunuh lebih 35,000 rakyat Palestin, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg