Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas serah mayat 4 tebusan, Israel bebaskan tahanan Palestin

Pertukaran terakhir sebagai sebahagian daripada gencatan senjata di Gaza
Feb 27, 2025 | 3:54 PM
Kaum keluarga mendakap tahanan Palestin yang dibebaskan daripada penjara Israel ketika mereka tiba dengan bas di Ramallah, Tebing Barat, pada 27 Februari.
Kaum keluarga mendakap tahanan Palestin yang dibebaskan daripada penjara Israel ketika mereka tiba dengan bas di Ramallah, Tebing Barat, pada 27 Februari. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Hamas telah menyerahkan mayat empat tebusan Israel sementara ia menunggu pembebasan ratusan tahanan Palestin dari penjara pada 27 Februari.

ia merupakan pertukaran terakhir sebagai sebahagian daripada gencatan senjata yang rapuh di Gaza.

Gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Januari dan setakat ini berjalan dengan baik meskipun terdapat banyak halangan.

Tetapi, fasa pertama gencatan senjata akan berakhir minggu ini dan nasib fasa seterusnya, yang bertujuan untuk menamatkan perang, masih tidak jelas.

Hamas berkata ia belum menerima sebarang cadangan setakat ini.

Selepas kebuntuan berhari-hari, pengantara Mesir berjaya mendapatkan penyerahan mayat empat tebusan Israel terakhir dalam fasa pertama perjanjian itu dan pembebasan 620 rakyat Palestin sama ada yang ditahan oleh tentera Israel di Gaza atau dipenjarakan di Israel.

Israel enggan membebaskan tahanan pada 22 Februari selepas Hamas menyerahkan enam tebusan dalam satu upacara di Gaza.

Dalam upacara itu, Hamas mempamerkan tebusan hidup dan keranda yang membawa mayat tebusan di atas pentas di hadapan orang ramai di Gaza sebelum menyerahkan mereka – satu amalan yang mendapat kritikan tajam, termasuk dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun, penyerahan terakhir mayat tebusan dilakukan tanpa upacara sebegitu.

Empat mayat itu telah diterima oleh Israel, kata pejabat Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, pada awal pagi 27 Februari.

Hamas sebelum ini telah mengenal pasti mayat tersebut sebagai, Encik Tsachi Idan, 50 tahun; Itzhak Elgarat, 69 tahun; Ohad Yahalomi, 50 tahun; dan Shlomo Mantzur, 86 tahun; yang kesemuanya telah ditawan dalam serangan di selatan Israel pada 7 Oktober 2023.

Menurut Kementerian Kesihatan Israel, pasukan forensik Israel dijangka mengesahkan identiti mereka.

Israel telah mengadakan pemeriksaan seumpama itu sebelum ini, selepas Hamas menyerahkan mayat seorang wanita yang tidak dikenali dan bukannya Shiri Bibas.

Mayat yang betul dihantar pada hari berikutnya.

Menurut sumber Hamas, tahanan Palestin yang akan dibebaskan termasuk 445 lelaki dan 24 wanita dan kanak-kanak bawah umur yang ditahan di Gaza.

Ia turut melibatkan 151 banduan yang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana serangan maut ke atas Israel.

Rakaman video menunjukkan sebuah bas yang membawa sekumpulan tahanan Palestin yang dibebaskan meninggalkan penjara Ofer Israel di Tebing Barat yang diduduki Israel dan tiba di bandar Ramallah beberapa minit kemudian.

Kumpulan itu turun dari bas dengan diiringi sorakan daripada ratusan orang yang berkumpul menyambut kepulangan mereka, dengan beberapa lelaki yang dibebaskan dijulang oleh orang ramai.

Tidak diketahui dengan segera bila tahanan seterusnya akan dibebaskan.

Fasa pertama gencatan senjata itu melibatkan pertukaran 33 tebusan Israel dengan sekitar 2,000 tawanan dan tahanan Palestin, dan pengunduran tentera Israel dari beberapa kawasan di Gaza serta kemasukan bantuan kemanusiaan.

Tetapi, dengan gencatan senjata selama 42 hari yang akan tamat pada 1 Mac, masih tidak jelas sama ada fasa lanjutan seterusnya bakal menyaksikan pembebasan lebih ramai daripada baki 59 tebusan Israel atau sama ada rundingan boleh dimulakan pada peringkat kedua perjanjian itu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg