TEBING BARAT: Tentera Israel telah menghantar kereta kebal ke kawasan Tebing Barat yang diduduki pada 23 Februari, buat kali pertama dalam tempoh lebih 20 tahun.
Langkah itu diambil selepas Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengarahkan tentera bersiap untuk kekal lama di kawasan itu bagi memerangi kumpulan militan Palestin di kem pelarian seperti Jenin dan Tulkarm.
Keputusan itu dibuat ketika gencatan senjata di Gaza menghadapi masalah baru.
Encik Netanyahu menghentikan pembebasan tahanan Palestin yang sepatutnya dibebaskan di bawah perjanjian damai, sebagai tindak balas kepada paparan awam tebusan Israel yang diserahkan oleh Hamas di Gaza.
“Ini adalah langkah tindak balas yang tegas,” kata sumber dari pemerintah Israel.
Sejak sebulan lalu, puluhan ribu rakyat Palestin dipaksa meninggalkan rumah mereka di Tebing Barat akibat operasi tentera Israel yang menyasarkan kem-kem pelarian yang sesak.
Kem itu seperti Jenin, Tulkarm dan Nur Shams, menjadi kubu kuat kumpulan militan seperti Hamas dan Jihad Islam, yang disokong Iran.
Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, berkata sekitar 40,000 penduduk telah dipindahkan dari kem-kem tersebut, yang kini dikatakan kosong.
Encik Netanyahu memerintahkan peningkatan operasi selepas beberapa letupan berlaku di depoh bas berhampiran Tel Aviv pada 20 Februari.
Walaupun tiada korban jiwa dalam kejadian itu, ia membangkitkan kenangan buruk tentang serangan bom bunuh diri semasa Intifada dua dekad lalu.
“Kami akan memerangi keganasan dengan segala cara dan di mana-mana sahaja,” kata Encik Katz semasa berucap pada 23 Februari.
Jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Encik Nabil Abu Rudeineh, mengutuk tindakan Israel.
“Ini adalah peningkatan bahaya oleh Israel yang tidak akan membawa kestabilan atau keamanan,” katanya dengan nada kesal.
Tentera Israel melaporkan mereka telah menahan 26 militan dan merampas tiga senjata api serta pelbagai senjata lain dalam operasi yang meliputi Jenin, Tulkarm, dan Nur Shams.
Operasi itu kemudian meluas ke Nablus, Qabatiya, dan Deir Qaddis di selatan.
Pasukan Israel turut memusnahkan rumah, merobohkan prasarana penting seperti jalan raya, serta melumpuhkan bekalan air dan elektrik.
Hamas, yang telah bertempur dengan tentera Israel di Gaza selama lebih setahun sejak serangan pada 7 Oktober 2023, berkata penggunaan kereta kebal menunjukkan ancaman besar yang dihadapi Israel daripada kumpulan militan di kem tersebut.
“Ini bukti kekuatan kami,” kata seorang wakil Hamas.
Ketika pertempuran di Gaza berhenti buat sementara di bawah gencatan senjata 42 hari dan konflik dengan Hezbollah di Lebanon juga terhenti, Israel kini memberi perhatian di Tebing Barat.
Dalam perkembangan di Gaza, Israel menyatakan negara itu menangguhkan pembebasan ratusan tahanan Palestin yang sepatutnya dibebaskan sehari sebelum itu, sehingga Hamas memenuhi syarat yang ditetapkan.
Menurut Pejabat Encik Netanyahu, Israel menangguhkan penyerahan 620 tahanan dan banduan Palestin sehingga kepastian diberikan mengenai pembebasan tebusan seterusnya tanpa cara yang memalukan.
Kenyataan itu merujuk kepada penyerahan tebusan oleh Hamas yang menurut pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), melanggar undang-undang antarabangsa kerana tidak dilaksanakan secara hormat.
Rumah Putih menyokong keputusan Israel untuk menangguhkan pembebasan tahanan Palestin, dengan alasan layanan kejam Hamas terhadap tebusan Israel sebelum ini.
Hamas menegaskan rundingan dengan Israel melalui negara perantara mengenai perkembangan seterusnya dalam perjanjian gencatan senjata bergantung kepada pembebasan tahanan Palestin, seperti yang dipersetujui sebelum ini.
Ahli biro politiknya, Encik Basem Naim, berkata masa depan gencatan senjata itu bergantung kepada pembebasan 620 tahanan Palestin, seperti yang sudah dipersetujui.
“Sekiranya ada rundingan dengan Israel melalui perantara mengenai langkah seterusnya, ia mestilah bergantung kepada pembebasan 620 tahanan Palestin yang dipersetujui sebagai pertukaran untuk empat mayat dan enam tahanan Israel yang dibebaskan pada 22 Februari.
“Perantara mesti memastikan bahawa musuh mematuhi syarat perjanjian seperti yang dinyatakan dalam teks yang dipersetujui,” katanya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg