Topik diikuti
Pergi ke BHkuHamas serah respons rasmi pelan damai Gaza
Hamas serah respons rasmi pelan damai Gaza
Hamas serah respons rasmi pelan damai Gaza
KAHIRAH: Hamas bersama beberapa kumpulan Palestin mengumumkan mereka telah menyerahkan respons rasmi kepada pihak pengantara berhubung pelan hala tuju fasa kedua gencatan senjata Gaza yang dikemukakan wakil khas Gaza di bawah Lembaga Keamanan, Encik Nickolay Mladenov.
Dalam kenyataan bersama pada 15 Jun, kumpulan Palestin berkata respons itu bertujuan membantu menamatkan “penderitaan kemanusiaan yang tragik” di Gaza selain menghentikan kempen ketenteraan Israel di wilayah berkenaan.
Menurut kenyataan itu lagi sebarang kemajuan ke arah penyelesaian lebih menyeluruh mesti dimulakan dengan pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza serta pelaksanaan sepenuhnya syarat gencatan senjata yang telah dipersetujui sebelum ini.
“Pelaksanaan semua komitmen fasa pertama perlu dilakukan tanpa pilih kasih atau penangguhan, termasuk menghentikan sepenuhnya operasi ketenteraan dan memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan,” menurut kenyataan itu.
Hamas berkata pihaknya memberi respons positif terhadap pelan 15 perkara yang dibentangkan Mladenov pada Mei lalu, namun menegaskan proses pelaksanaan perlu dimulakan dengan memenuhi komitmen kemanusiaan seperti penghantaran bantuan makanan, bekalan bahan api, tempat perlindungan dan pembukaan semula semua lintasan sempadan.
Kumpulan itu juga menuntut pengaktifan jawatankuasa pentadbiran bagi mengurus penduduk Gaza serta pelaksanaan segera pelan pembinaan semula wilayah berkenaan.
Perkembangan terbaru itu berlaku selepas rundingan intensif selama seminggu di Kahirah yang melibatkan Hamas, beberapa kumpulan Palestin lain serta pengantara dari Mesir, Qatar dan Turkey.
Rundingan itu bertujuan menyelamatkan proses gencatan senjata yang semakin berdepan kebuntuan akibat pertikaian berhubung beberapa syarat utama pelan damai Gaza yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada September 2025.
Pelan damai 20 perkara itu bertujuan menamatkan perang di Gaza dan memulakan proses pembinaan semula wilayah tersebut selepas kemusnahan besar akibat konflik berpanjangan.
Fasa pertama perjanjian mula berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025 dan melibatkan gencatan senjata, pertukaran tahanan serta pengunduran awal tentera Israel dari beberapa kawasan di Gaza.
Bagaimanapun, Hamas mendakwa Israel gagal mematuhi beberapa komitmen penting dan masih meneruskan operasi ketenteraan di wilayah itu.
Walaupun berdepan pertikaian, Washington pada Januari lalu mengumumkan pelaksanaan fasa kedua yang merangkumi pengunduran lebih meluas tentera Israel, usaha pembinaan semula berskala besar serta permulaan proses membincangkan isu senjata kumpulan Palestin.
Namun pelaksanaan fasa kedua masih tergendala kerana perbezaan pandangan antara kedua-dua pihak.
Kumpulan Palestin menegaskan pengunduran penuh tentera Israel dan pembinaan semula Gaza mesti didahulukan, manakala Israel terus menuntut isu pelucutan senjata Hamas diberi keutamaan.
Menurut Hamas, pembinaan semula dan kestabilan jangka panjang tidak mungkin dapat dicapai selagi tentera Israel masih berada di Gaza.
Pelan hala tuju Mladenov turut merangkumi cadangan penempatan pasukan penstabil antarabangsa, pemulihan struktur pentadbiran awam serta pembangunan semula prasarana yang musnah akibat perang selama hampir dua tahun.
Konflik yang bermula pada Oktober 2023 telah memusnahkan sebahagian besar Gaza.
Menurut angka Palestin, lebih 73,000 penduduk terbunuh dan lebih 173,000 lagi cedera, dengan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Kira-kira 90 peratus prasarana awam di Gaza turut rosak atau musnah akibat serangan berterusan.
Dalam perkembangan berasingan, empat rakyat Palestin termasuk seorang jururawat dan anak lelakinya terbunuh dalam beberapa serangan udara Israel di Gaza pada 15 Jun.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Encik Mahmoud Basal, berkata jururawat Mohammed Al-Habil dan anaknya maut selepas sebuah apartmen di utara Bandar Gaza diserang tentera Israel.
Dalam satu lagi serangan di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza, seorang lelaki Palestin terbunuh apabila khemah menjahit pakaian menjadi sasaran serangan udara Israel.
Seorang wanita turut maut selepas dron Israel menyerang sekumpulan penduduk awam di bandar Al-Zawayda.
Tentera Israel setakat ini belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai insiden tersebut.
Pihak berkuasa kesihatan Gaza berkata hospital di wilayah itu menerima tujuh mayat dan enam mangsa cedera dalam tempoh 24 jam lalu.
Menurut mereka, jumlah korban sejak gencatan senjata diumumkan pada 10 Oktober 2025 kini meningkat kepada 992 orang, manakala 3,144 lagi cedera.
Secara keseluruhan, jumlah kematian sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023 meningkat kepada 73,003 orang dengan lebih 173,252 lagi cedera. – Agensi berita.
