Topik diikuti
Pergi ke BHkuRundingan damai Gaza di Kahirah temu jalan buntu
Rundingan damai Gaza di Kahirah temu jalan buntu
Pendirian kededua pihak jauh berbeza mengenai isu lucut senjata
Rundingan damai Gaza di Kahirah temu jalan buntu
KAHIRAH: Rundingan antara puak Palestin dengan negara pengantara di Mesir bagi mencapai penamatan kekal perang di Gaza dilaporkan menemui jalan buntu berhubung isu utama pelucutan senjata di wilayah itu, termasuk membabitkan Hamas.
Sumber Palestin yang mengetahui perkembangan rundingan tersebut berkata, perbincangan masih diteruskan, namun kedua-dua pihak mempunyai pendirian yang jauh berbeza mengenai isu senjata.
“Rundingan masih diteruskan dalam suasana wujudnya perbezaan pandangan yang jelas, dengan isu senjata kekal menjadi satu-satunya perkara yang masih dipertikaikan,” dedah sumber Palestin kepada agensi berita, AFP.
Sumber itu enggan dikenali kerana tidak dibenarkan bercakap secara terbuka mengenai rundingan tersebut.
Seorang lagi pegawai Palestin berkata, rundingan menunjukkan “perkembangan positif”, namun mengakui isu senjata antara perkara paling sukar untuk diselesaikan.
Katanya, keputusan kini bergantung kepada Israel dan negara pengantara termasuk Mesir, Qatar dan Turkey.
Menurut beliau, puak Palestin tetap berpegang kepada prinsip bahawa sebarang pelucutan senjata mesti disertai dengan “pengunduran penuh Israel dari Jaluran Gaza”.
Bagaimanapun, perkara itu dilihat masih sukar dicapai dalam masa terdekat.
Pelan damai yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hanya memperuntukkan pengunduran penuh tentera Israel dalam jangka panjang.
Ketika ini, tentera Israel masih menguasai kira-kira 60 peratus wilayah Gaza.
Encik Trump pada September mengumumkan pelan 20 perkara yang menggariskan rangka kerja gencatan senjata termasuk pembebasan tahanan Israel, pengunduran Israel dari Gaza, pembentukan pentadbiran teknokratik dan penempatan pasukan penstabil antarabangsa, selain gesaan supaya Hamas melucutkan senjata.
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata merangkumi penghentian pertempuran dan pertukaran tahanan antara Israel dengan Palestin.
Bagaimanapun, sumber Palestin mendakwa Israel terus melanggar perjanjian itu hampir setiap hari.
Di bawah fasa kedua, Israel dijangka melaksanakan pengunduran lanjut dari wilayah itu, manakala pasukan penstabil antarabangsa akan mengambil alih tanggungjawab keselamatan termasuk memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan dan bahan pembinaan semula.
Serangan Israel turut dilaporkan terus berlaku hampir setiap hari walaupun gencatan senjata diumumkan pada Oktober 2025 selepas dua tahun perang yang tercetus susulan serangan Hamas terhadap Israel pada Oktober 2023.
Kedua-dua pihak saling menyalahkan satu sama lain berhubung kebuntuan rundingan tersebut.
Hamas menuduh Israel gagal memenuhi komitmennya terutama berkaitan bantuan kemanusiaan, manakala Israel pula menuntut pelucutan sepenuhnya senjata Hamas sebelum sebarang kemajuan lanjut dapat dicapai di bawah pelan damai berkenaan.
Sumber Palestin turut memberitahu AFP bahawa wakil beberapa puak Palestin termasuk Hamas pada dasarnya bersetuju menyerahkan sebahagian senjata mereka kepada sebuah entiti Palestin khas yang masih belum diwujudkan.
Bagaimanapun, Israel sukar menerima cadangan itu dan ia tetap menuntut pelucutan senjata sepenuhnya di Gaza, bermula dengan Hamas.
Rundingan di Kahirah itu turut disertai kumpulan bersenjata utama Gaza termasuk Hamas dan sekutunya, Jihad Islam, tetapi tidak melibatkan parti Fatah yang menguasai Penguasa Palestin di Ramallah.
Hamas sebelum ini beberapa kali menyatakan mereka tidak menolak untuk menyerahkan sebahagian senjata, namun, hanya sebagai sebahagian daripada proses politik Palestin.
Bekas Ketua Hamas, Encik Khaled Meshaal, juga pernah mengusulkan agar senjata Hamas “dibekukan” atau disimpan, namun, israel menolak saranan tersebut. – Agensi berita.
