Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas: Serangan Israel di Gaza bunuh 57 bagi gagalkan usaha pengantara

Jul 17, 2024 | 1:23 PM
Serangan berterusan dan menyeluruh Israel di Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 57 orang dan semakin memusnahkan wilayah yang terkepung itu.
Serangan berterusan dan menyeluruh Israel di Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 57 orang dan semakin memusnahkan wilayah yang terkepung itu. - Foto EPA-EFE

GAZA: Tentera Israel terus memerangi kumpulan Hamas di beberapa bahagian di Jaluran Gaza pada 16 Julai.

Menurut pegawai kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 57 orang terbunuh dalam pengeboman Israel di kawasan selatan dan tengah.

Kumpulan Hamas menuduh Israel meningkatkan serangan di Gaza untuk cuba menggagalkan usaha pengantara bagi mencapai perjanjian gencatan senjata.

Namun, Israel berkata serangan itu bagi menumpaskan kumpulan Hamas.

Di Rafah, bandar sempadan selatan tempat tentera Israel beroperasi sejak Mei, lima rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara ke atas sebuah rumah.

Serangan udara Israel ke atas sebuah kereta membunuh sekurang-kurangnya 17 rakyat Palestin dan mencederakan 26 yang lain di Khan Younis di selatan Gaza, kata pegawai itu.

“Kami sedang meneliti laporan yang menyatakan bahawa beberapa orang awam cedera akibat serangan itu,” kata pegawai itu lagi.

Penduduk dilaporkan membawa mayat dan penduduk yang cedera dengan kereta keldai dan beca ke hospital.

Di kem Nuseirat di tengah Gaza, sekurang-kurangnya empat warga Palestin terbunuh dalam serangan udara dan empat yang lain terbunuh di Sheikh Zayed di utara Gaza, kata mereka.

Beberapa jam kemudian, serangan udara Israel ke atas sekolah kendalian agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menempatkan keluarga yang dipindahkan di kem Nuseirat, membunuh 23 orang dan mencederakan ramai yang lain, kata pegawai kesihatan.

Antara yang terbunuh ialah wartawan tempatan, Encik Mohammad Meshmesh, menjadikan jumlah wartawan yang terbunuh dalam konflik itu kepada 160 orang, kata pejabat media pemerintah Gaza yang dikendalikan Hamas.

Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata ia telah menyerang sekumpulan “pengganas” yang telah beroperasi dari dalam sekolah, selepas mengambil langkah mengurangkan risiko kepada orang awam.

Israel berikrar untuk menghapuskan Hamas yang telah membunuh 1,200 orang dan menahan lebih 240 tebusan dalam serangan ke atas selatan Israel pada 7 Oktober.

Tentera berkata ia telah menghapuskan atau menangkap kira-kira 14,000 anggota kumpulan Hamas sejak permulaan perang.

Sekurang-kurangnya 38,713 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan balas Israel sejak itu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg